RM100 juta hasil keuntungan judi untuk pendidikan, kata Najib

Oleh Shannon Teoh

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Sekurang-kurangnya RM100 juta daripada keuntungan aktiviti perjudian akan disalurkan kepada sekolah-sekolah vernakular dan mubaligh menerusi “perbincangan rapat” bersama komponen Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian selepas melancarkan dana Community Chest yang diuruskan oleh sebuah konsortium ahli-ahli perniagaan yang membayar lebih RM2 bilion kepada Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (PMP) milik bilionair Ananda Krishnan tahun lalu.

Dana pendidikan didukung oleh Putrajaya itu diketuai oleh Tan Sri Lim Kok Tay dari Genting, yang menyumbangkan sumbangan awal RM26 juta kepada 61 sekolah hari ini, kebanyakannya bagi sekolah vernakular dan menjanjikan minimum RM100 juta setiap tahun mulai tahun depan.

“Dana ini akan diagih-agihkan menerusi perbincangan rapat dengan parti-parti seperti MCA, Gerakan dan MIC dan juga pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan ia diagihkan dengan adil,” kata beliau di SJK (C) Confucian petang ini.

Langkah kerajaan mengehadkan pembiayaan kepada sekolah-sekolah vernakular telah menjadi punca rasa tidak puas hati di kalangan komuniti Cina dan India.

Akhbar Straits Times melaporkan bulan lalu bahawa eksekutif-eksekutif kewangan yang terlibat dalam perjanjian itu percaya ia boleh memperbaiki penerimaan Barisan Nasional (BN) di kalangan masyarakat Cina dan India yang sokongan mereka beralih kepada Pakatan Rakyat dalam jumlah yang banyak pada pilihan raya umum 2008.

Najib yang dijangka memanggil pilihan raya umum ke-13 dalam waktu terdekat menambah, “penyelesaian kreatif” akan melengkapi usaha kerajaan dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua.

“Kami tidak boleh memenuhi kesemua keperluan komuniti,” katanya.

Kata Najib, adalah penting “model-model baru” diusahakan untuk mencapai apa yang kerajaan sasarkan.

Selain Lim, lembaga pemegang amanah terdiri daripada timbalan pengerusi Genting Tun Hanif Omar, Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong, ketua Kumpulan Lion Tan Sri William Cheng dan Tan Sri G. Gnanalingam dari Westports.

Genting memiliki separuh daripada Jana Pendidikan Malaysia, konsortium yang membeli PMP.

No comments

Powered by Blogger.