Kelantan pesat membangun biarpun didera Pusat

Oleh Lanh

BIARPUN Kelantan dinafikan peruntukan projek rumah awam kos rendah (RAKR), namun industri pembinaan di negeri ini terus berkembang.Tentunya ramai tidak menyedari sejak 1990 sehingga sekarang sejumlah RM91.6 juta peruntukan projek RAKR dinafikan terhadap Kelantan.

Peruntukan tersebut disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-6 sehingga RMK-9. Sedangkan negeri-negeri di bawah teraju BN peruntukan diterima setiap tahun.Apakah ini yang dinamakan 1Malaysia atau Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan?

Di satu sudut rakyat Kelantan didera dan di penjuru lain pula Serambi Makkah dicerca.Biarpun disisih atau dianaktirikan, namun kerajaan Kelantan tidak pernah putus ikhtiar.

Projek perumahan untuk rakyat masih mampu dilaksanakan dengan kederat yang ada.

Peranan itu antaranya dipikul Bahagian Projek dan Hartanah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Bagi melihat dari dekat usaha yang dilakukan Pengurus Bahagian Projek dan Hartanah PKINK, Mohd Shah Ab Kadir berkata, peranan agensi itu menyediakan kemudahan tempat tinggal dan ruang niaga kepada rakyat Kelantan.

“PKINK memastikan kawasan yang sesuai dibangunkan dengan perbandaran tersusun.

PKINK juga berperanan mencadangkan kepada kerajaan negeri bagi mengambil balik tanah sekiranya didapati ada kesesuaian dibangunkan.

“Sekiranya pemilik tanah bersedia menjualnya, tidak perlu kepada Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi membangunkan lokasi tersebut,” katanya.

PKINK mempunyai empat anak syarikat yang terlibat secara langsung dengan projek pembinaan.

Paling dikenali Binaraya PKINK Sdn Bhd. Ia memang tidak asing lagi di Kelantan.

Hampir seluruh jajahan terdapat projek perumahan yang dikendalikan Binaraya.

Antara projek yang telah siap dibina adalah pembinaan rumah teressebanyak 80 unit di Taman Kifayah Binaraya Fasa 2 Jeli melibatkan kos hampir RM8 juta.

Selain itu, pembinaan rumah teres dua tingkat sebanyak 28 unit di Desa Mardhiah Binaraya Mukim Panchor, Pengkalan Chepa membabitkan kos lebih RM5 juta.

Syarikat pemaju hartanah kedua milik PKINK iaitu Profil Impian Sdn Bhd. Syarikat terbabit membangunkan 50 unit rumah teres dua tingkat fasa 4B di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa membabitkan kos lebih RM10 juta.

Sinaran Pantai Timur Consortium Bhd pula terbabit membangun rumah kedai di kawasan bebas cukai di Rantau Panjang. Projek tersebut meliputi rumah kedai tiga tingkat, Bazar Abdul Rahman Auf dan cadangan membina hotel. Kompenan perniagaan itu dibangunkan di kawasan seluas 10 ekar.

Pembinaan hotel akan dilaksanakan dengan usahasama syarikat swasta lain.

PKINK juga memiliki SPP Development Sdn Bhd. Syarikat tersebut menyiapkan projek perumahan di Taman SPP Permai, Kota Warisan Fasa 2 dan Taman SPP Indah.

“Agak membanggakan pada ekspo hartanah pada 2009, SPP mencatat jualan sehingga RM3.5 juta dalam tempoh empat hari.

“Syarikat berkenaan juga sedang menumpu perhatian kepada pembangunan di Pantai Cahaya Bulan, Jalan Sri Cemerlang, Mukim Apam, Pasir Mas dan Bandar Baru Tunjung,” kata Mohd Shah.

Selain tumpuan kepada projek perumahan, sebuah lagi syarikat milik PKINK iaitu Kelkon Sdn Bhd terbabit dengan projek berskala lebih besar. Kelkon membina bangunan sekolah, pejabat kerajaan, jalan, jambatan dan perumahan.

Anak syarikat kepada Kelkon iaitu Kijang Kuari Sdn Bhd dan Kelmix. Manakala Prokel Management Sdn Bhd pula bertanggungjawab mengurus bangunan milik PKINK.

Mohd Shah berkata, PKINK merancang membina perumahan di Mukim Apam, Pasir Mas sebanyak 820 unit di kawasan seluas 80 ekar.

Projek fasa 1 sebanyak 400 unit meliputi pembinaan rumah teres, rumah kedai, banglo berkembar dan rumah kos rendah.

“Kerja-kerja menambun tanah sedang dijalankan sekarang. Projek itu kemungkinan besar akan dikenali sebagai SEDC Perdana.

“Kedudukannya begitu strategik kerana tidak jauh dari projek Halal Park dan sekolah integrasi. Lokasinya juga tidak jauh dari projek bandar baru Pasir Mas yang sedang dibangunkan sekarang,” kata Mohd Shah.

Di Tanah Merah PKINK dengan kerjasama syarikat swasta, Pasir Puteh Development Corporation (PPDC) membangunkan Taman Barakah mengandungi 750 unit rumah teres.

Terminal bersepadu di Tunjung Bercakap mengenai perancangan jangka panjang Mohd Shah memberitahu PKINK sedang merancang membina terminal pengangkutan bersepadu di kawasan seluas 30 ekar di Bandar Baru Tunjung.

Katanya, kerja-kerja pengambilan tanah sedang dijalankan sekarang dan dijangka projek itu dimulakan tahun hadapan.

Projek berkenaan bakal mengandungi lot parkir bas dan teksi, rumah kedai, hotel, kondominium dan masjid. Anggaran kos pembangunan sebanyak RM522 juta akan dibangunkan secara usahasama dengan syarikat lain.“

Projek itu dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan pusat bandar Kota Bharu. Bas ekspres tidak perlu lagi masuk ke kawasan bandar. Perkhidmatan bas bandar akan disediakan untuk ke pusat bandar,” ujarnya.

Berdasar kepada perkembangan pesat sekarang, Mohd Shah menjelaskan Kota Bharu hari ini sudah jauh berubah. Kepesatan urbanisasi berbeza berbanding 20 tahun lalu.

Oleh itu, ramai menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengulangi skrip lama dengan dakwaan Kelantan tidak membangun. Biar pun didera, teraju di bawah ulama mampu bingkas, meninggalkan Umno dengan seribu mimpinya.

No comments

Powered by Blogger.