Dokumentari Malaysia dibayar syarikat Israel, Apco

KUALA LUMPUR: FBC Media, syarikat produksi program televisyen berpusat di London dilapor mempunyai kontrak dengan syarikat pelobi Amerika Syarikat berpusat di London, Apco Worldwide yang mempunyai kaitan dengan Israel.

Apco membayar AS$80,000 kepada FBC pada 2008 untuk meningkatkan kesedaran tentang polisi di Malaysia, menjurus kepada urusan perniagaan dan pelaburan serta usaha memerangi keganasan.

Perkara itu didedahkan menerusi penyiasatan khas dijalankan akhbar The Independent, berkaitan FBC yang mengambil keuntungan jutaan ringgit dari Kerajaan Malaysia untuk menghasilkan dokumentari bagi penyiaran British Broadcasting Corporation (BBC).

Kerajaan Malaysia sebelum ini membayar sebanyak RM77 juta setahun kepada Apco Wordwide, sebagai syarikat perunding perhubungan.

Syarikat itu juga dibayar untuk mengilhamkan slogan 1 Malaysia yang meniru konsep One Israel.

Pendedahan itu pada Mac tahun lalu telah menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung dari menghadiri sidang parlimen selama hampir setengah tahun.

Dalam artikel yang ditulis Ian Burrel dan Martin Hickman 17 Ogos lalu, BBC telah menggantung semua program FBC, yang sejak 2009 telah menghasilkan sekurang-kurangnya 4 dokumentari berkaitan Malaysia.

Dokumentari itu termasuk isu-isu kontroversi seperti industri minyak sawit, pemuliharaan hutan serta isu orang asli.

BBC memutuskan untuk tidak mengambil program TV daripada FBC selepas mengetahui FBC mengaku telah bekerja untuk kerajaan Malaysia.

Dalam masa yang sama, CNBC, syarikat penyiaran berunsur perniagaan yang dimiliki syarikat gergasi rangkaian NBC Amerika, telah menarik balik program mingguan World Business, yang dihasilkan oleh FBC yang banyak mengaitkan Malaysia.

Sejak 2 tahun lalu, FBC telah menghasilkan sekurang-kurangnya 10 program untuk CNBC yang memaparkan Najib Razak.

No comments

Powered by Blogger.