Hudud: The Star pun fitnah Guan Eng juga

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Yang dikatakan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tentang hukum hudud ialah, kesemua ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti akan meletak jawatan jika undang-undang jenayah Islam itu dipaksa menjadi sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Pendirian itu dibuat sebagai tanda kepimpinan DAP bertanggungjawab sepenuhnya dengan prinsip perjuangannya yang berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Tetapi yang dilaporkan oleh The Star pula ialah kononnya Guan Eng mengugut untuk meletak jawatan dari Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat, dan ini telah mencetuskan kecaman dan kritikan pihak kawan dan lawan terhadap DAP.

Menurut Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari, apa yang sebenarnya dikatakan oleh Guan Eng adalah, jika hukum hudud dimasukkan dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga Pakatan Rakyat, semua ahli CEC DAP akan melepaskan jawatan mereka dalam parti.

“Ia tidak bererti DAP ugut untuk keluar dari Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat atau keluar dari Pakatan Rakyat. Tidak timbul soal DAP akan meninggalkan Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam surat terbukanya hari ini kepada The Star yang telah menyiarkan dua versi berita yang sama, beliau berkata akhbar harian yang dikuasai MCA itu pada mulanya telah menyiarkan berita yang tepat pada 25 September 2011.

Bagaimana pun, katanya, versi berita yang sama pada 26 September 2011 telah diubah dan dipalsukan menjadi kononnya Guan Eng telah mengugut untuk meletak jawatan daripada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat jika hudud dijadikan sebahagian daripada Dasar Bersama atau Buku Jingga.

Beliau menuntut supaya The Star menjelaskan bagaimana berita yang sama boleh diubah sebegitu rupa, dan mengapa berita yang tepat ditukar menjadi berita palsu.

Isu hukum hudud yang sering menimbulkan kontroversi telah dibangkitkan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar PAS Kelantan supaya melaksanakannya segera, walau pun bekas Perdana Menteri itu sendiri yang penghalang terbesar sewaktu berkuasa dahulu.

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat menyahut cabaran Mahathir, Pengerusi DAP Karpal Singh telah mengingatkan semua pihak bahawa perkara itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak ada dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Karpal turut meminta semua pihak yang terlibat supaya berbincang dengan lebih mendalam di kalangan kepimpinan Pakatan.

Lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia serta media kawalan BN termasuk TV3 telah memutarbelitkan isu untuk memburukkan Pakatan, walau pun UMNO sendiri telah menolak sebarang usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Semalam, setiausaha agung parti-parti komponen Pakatan serta wakil mereka telah bermesyuarat dan mendapati laporan media kawalan UMNO dan BN adalah bohong, dan tidak timbul isu DAP keluar dari Pakatan.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang hadir di mesyuarat itu menjelaskan kepimpinan Pakatan Rakyat saling menghormati pendirian dan perbezaan ideologi parti masing-masing, dan kerana itu berpegang kepada Dasar Bersama.

“Sekarang Tun Mahathir tiba-tiba menjadi pengacau dan jurucakap kepada UMNO untuk membangkitkan perkara itu. Tetapi dalam masa yang sama, semua orang faham UMNO sebenarnya tak nak hukum hudud.

“Apa yang dibangkitkan itu sebenarnya tak timbul kerana ia merupakan isu yang sudah lama, ia pula ia tidak dinyatakan di dalam Buku Jingga. Kalau tak ada dalam Buku Jingga, itu bukanlah dasar Pakatan Rakyat,” jelasnya. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.