'MCA akan berpisah dengan Umno jika laksana hudud'

Hazlan Zakaria

MCA hari ini mengulangi pendiriannya yang anti-hudud sehingga akan sanggup berpisah dengan sekutu lamanya, Umno, jika parti Melayu itu melaksanakan perundangan Islam itu.

Presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek berkata, jika Umno mahu melaksanakan hudud, MCA tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya.

Beliau menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan persidangan menjadikan negara berpendapatan tinggi satu realiti, di Subang Jaya hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau memahami bahawa sebagai orang Islam, orang Melayu dalam Umno mesti menerima hudud tetapi beliau menghargai hakikat bahawa tiada pemimpin Umno yang mendesak pelaksanaannya, tidak seperti PAS yang mahu berbuat demikian.

"Apa yang jelas ialah MCA menentang hudud," katanya dengan tegas.

Chua mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Umno sebagai parti orang Islam, mesti menerima undang-undang hudud, sambil berkata bukan lagi masanya bagi perundangan Islam itu dilaksanakan di Malaysia yang penduduknya berbilang agama.

No comments

Powered by Blogger.