MB Kedah Jawab Kenyataan Dari Mukhriz Dan Dr Asri

Siapa kata saya tak mampu, MB Kedah bidas Mukhriz


ALOR SETAR, 22 Sept — Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau masih mampu mentadbir Kedah dan tidak perlu digantikan buat masa ini.

“Siapa kata saya tak mampu ... saya bukan profesionalkah. Apa Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar) profesional?

“Kedah sekarang lebih baik dari masa diperintah Barisan Nasional. Saya tidak hutang dengan kerajaan pusat untuk bayar gaji. Hasil balak sampai RM70 juta setahun. Masa BN cuma RM8 juta. Banyak pula buat projek membazir,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“BN bagi JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) guna duit pusat. Saya bagi MKK (Majlis Keselamatan Kampung) guna duit negeri,” kata Azizan kepada pemberita semasa diminta mengulas cadangan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir supaya beliau digantikan dengan Exco Datuk Amiruddin Hamzah kerana kesihatannya terjejas.

Kedudukan beliau menjadi isu ekoran laporan media bahawa kepimpinan parti berhasrat menggantikan dengan orang lain.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang antara lain beliau tidak pernah mendesak atau meminta Azizan agar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Justeru, Hadi menegaskan Azizan akan kekal dalam jawatannya yang disandang sejak Mac 2008.

“Beliau kekal Menteri Besar Kedah. Cuma kini sedang berehat kerana masih dalam rawatan,” kata beliau pada 2 September lalu.

Laporan sebuah akhbar menyebut bahawa kepimpinan PAS sedang mengambil langkah untuk menggantikan Azizan yang kini kurang sihat selepas diserang sakit jantung bulan lalu.

Azizan dipetik berkata beliau tiada rancangan untuk bercuti panjang ekoran masalah kesihatan semasa.

Bagaimanapun Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah tidak menafikan ada usaha untuk memintanya bercuti panjang dan jawatan dipangku oleh pihak lain.

Mengenai komen bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa tiada perubahan dibuat untuk memartabatkan Islam di Kedah berbanding Kelantan, Azizan berkata kedua-dua negeri berbeza dan tidak boleh dibandingkan.

Katanya, Kelantan ditabir PAS lebih 30 tahun dan menang dengan majoriti banyak.

“Saya menang 16 kerusi sahaja dan terpaksa berkongsi dengan sekutu bukan dari PAS. Banyak perkara yang hendak dibuat kena runding dulu dengan mereka.

“Contohnya larangan pusat hiburan beroperasi pada bulan Ramahan baru-baru ini ... walaupun keputusan awal kita melarang tetapi selepas runding larangan itu ditarik balik.

“Kita baru perintah tidak sampai sepenggal, simpatilah sama dengan saya,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.