Hudud: Pakatan jangan masuk jerat Umno-BN, kata pemimpin PAS

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 23 Sept — Pemimpin-pemimpin kanan PAS mengambil tindakan segera ‘merawat mudarat politik’ pagi ini dengan menggesa kepimpinan Pakatan Rakyat agar memberi fokus ke atas isu-isu kebajikan rakyat dan tidak terperangkap dengan serangan Umno-BN termasuk soal hukum hudud sekarang.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

“Isu ucapan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu, isu bendera (Jalur Gemilang), isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalih perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini.

Beliau juga menggariskan terdapat banyak isu lain iaitu warga asing diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum ke-13, undang-undang baru bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk pilihan raya umum ke-13 kerana ia mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” katanya.

Selepas isu membabitkan Mohamad yang dikenakan tuduhan di mahkamah baru-baru ini, sejak kelmarin PAS diselubungi kontroversi berkaitan hukum hudud. Ia turut mengheret sekali DAP.

Kata Tuan Ibrahim, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka.

Justeru kata beliau, Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi sebegini.

“Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi supaya Pakatan Rakyat terus berbalah dengan mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit,” kata beliau.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan fokus ke atas isu-isu semasa lebih penting bagi menghadapi pilihan raya umum.

Beliau memberi amaran Pakatan Rakyat akan berakhir jika pemimpin-pemimpinnya tidak berhati-hati dengan terperangkap dengan isu ‘tidak perlu buat masa sekarang’, yang dibesarkan oleh Umno-BN sekarang.

“Ia (Pakatan) seharusnya berupaya untuk kekal fokus dengan isu-isu, ia akan membantu kami keluar daripada serangan dan menghadapi pilihan raya... kita ada tugas penting untuk memenuhi pengharapan rakyat sekarang... menghadapi pilihan raya umum dan menang,” kata beliau sambil menyifatkan dua isu yang dilihat akademik iaitu negara Islam dan hukum hudud boleh dibincangkan kemudian.

“Kita tidak wajar berdebat atau membincangkan isu-isu bersifat akademik ini pada waktu genting menjelang pilihan raya umum ke-13,” katanya.

“Kita tahu apa yang difikirkan oleh musuh-musuh kami, jadi mereka akan menggunakan isu seperti ini, hudud dan negara Islam untuk melemahkan Pakatan Rakyat,” kata beliau sambil menambah, “isunya bukan sangat menguasai kerajaan pusat, tetapi lebih daripada itu ialah mewujudkan sistem dua parti di negara ini... untuk itu kita kena kekal kukuh dan mantap dalam Pakatan.”

Dengan turut merujuk kepada pendirian PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno tahun lalu, wakil rakyat penggal pertama ini berharap kepimpinan perikatan dengan segera menyelesaikan isu terbaru ini.

“Malah isu ini telah disentuh oleh (Pengerusi DAP) Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan tahun lalu dan semuanya berjalan lancar, dan tiba-tiba menjadi isu semula sekarang,” katanya agak kecewa dengan perkembangan semasa.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah menjangkakan isu ini akan dibangkitkan semula, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata: “Saya memang sudah menjangkakan isu ini (hudud) akan berkembang jadi rumit macam hari ini.”

“Sebab itu, saya memaklumkan Setiausaha Agung (PAS, Datuk Mustafa Ali) dan mengadakan satu sidang media semalam,” kata beliau, yang sidang media semalam mendakwa kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Tanjong Malim kelmarin bertujuan menggugat kedudukan Pakatan Rakyat.

Isu hukum hudud muncul semula susulan idea yang dibangkitkan pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru pada Selasa lalu.

Ia berkembang sehingga semalam apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tengah hari semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Kelmarin, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.

No comments

Powered by Blogger.