Pakatan bincang isu hukum hudud Rabu ini, kata Anwar

Oleh Lisa J. Ariffin

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Pakatan Rakyat akan menyelesaikan isu terbaru membabitkan hasrat PAS mahu mengadakan hukum hudud pada mesyuarat kepimpinan perikatan itu Rabu ini.

Sehubungan itu Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju bahawa kesemua parti perlu mencapai konsensus berhubung isu sensitif ini - yang melibatkan pendirian DAP dan PAS sejak sekian lama.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat sebenarnya diadakan untuk membincangkan Bajet 2012 yang akan dibentangkan bulan depan tetapi kepimpinan perikatan turut bersetuju untuk menyentuh perkara berkaitan isu hudud.

“Mesyuarat telah dijadualkan untuk membincangkan soal bajet dan juga isu (hudud) yang telah dijadikan besar oleh media,” kata beliau merujuk kepada liputan media ke atas isu hukum hudud sejak awal minggu lalu.

Bagaimanapun Anwar menekankan bahawa isu hudud bukan sesuatu yang baru, malah PAS juga jelas dengan pendirian mereka.

Semalam, Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh menggesa Pakatan Rakyat memanggil mesyuarat tergempar kepimpinan dengan segera bagi menyelesaikan kontroversi berkaitan hukum hudud.

Karpal yang sebelum ini secara terbuka mengkritik hasrat kerajaan negeri Kelantan menegaskan, pihaknya akan sentiasa menolak pembentukan negara Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kelewatan menangani isu semasa ini akan menjejaskan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Islam.

“Mesyuarat tergempar mesti diadakan dengan segera untuk menjelaskan pendirian Pakatan dalam isu ini dan kontroversi ini mesti berakhir,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

No comments

Powered by Blogger.