Menfitnah Orang Mati - Malaysia Boleh?

MEMFITNAH ORANG MATI- MALAYSIA BOLEH ?

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu akhirnya didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth dengan pertuduhan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Sepertimana yang semua tahu Mahkamah telah menetapkan wang jaminan sebanyak RM 15,000-00 . Pihak pendakwa pula pada asalnya menawarkan jaminan sebanyak RM 50,000-00. Saya membantah tawaran pendakwa tersebut yang saya sifatkan sebagai tidak masuk akal kerana tujuan jaminan hanya sekadar untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah .

Saya hujahkan jaminan RM 50,000-00 adalah terlalu tinggi dan boleh dikira bersifat menghukum tertuduh sedangkan prinsip undang-undang jenayah adalah seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah. Saya juga hujahkan Mohd Sabu bukanlah “flight risk” ( orang yang berisiko akan melarikan diri ) kerana terbukti meskipun beliau dihentam habis-habisan selama lebih kurang 17 hari tanpa henti oleh Utusan dan pihak-pihak lain beliau tidak melarikan diri. Saudara Aminuddin Zulkifli yang turut membantu saya juga berhujah bahawa Mohd Sabu juga telah berkerjsama dengan pihak polis apabila diminta hadir ke Balai Polis sehari sebelum beliau didakwa.

Isu sama ada Mohd Sabu benar-benar memfitnah polis-polis di Bukit Kepong masih awal untuk ditentukan . Namun apa yang menarik untuk dilihat nanti adalah bagaimana sistem kehakiman negara ini akan mendepani isu tuduhan memfitnah polis-polis di Bukit Kepong pada tahun 1950 tersebut..

Pihak pendakwa yang berketuakan Peguam Negara yang penuh kontroversi, Tan Sri Ghani Patail memilih untuk mendakwa Mohd Sabu kerana dikatakan memfitnah polis-polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong. Kini semua orang tahu isu Bukit Kepong juga tidak dapat lari dari seorang individu yang bernama Mat Indera .

Dalam perbahasan yang kita boleh baca di media-media massa dan juga alam siber timbul polemik adakah benar polis-polis di Bukit Kepong tersebut benar-benar wira sebenar atau mereka juga boleh didakwa sebagai petualang bangsa kerana berkhidmat dengan penjajah British ? Timbul juga polemik yang sama iaitu sama ada Mat Indera yang diburu dan digantung oleh Penjajah British adalah seorang wira atau seorang petualang kerana melawan British ?

Dalam keadaan polemik yang timbul dan masih belum selesai itu memang susah untuk akal kita menerima bagaimanakah dan kenapakah hanya orang yang dikatakan memfitnah polis-polis di Bukit Kepong dan keluarga mereka sahaja didakwa di Mahkamah sedangkan mereka yang mendakwa Mat Indera seorang yang berfahaman Komunis yang dikatakan kejam dan ganas ( seperti dakwaan Menteri Besar Johor ke atas Mat Indera ) tidak pula didakwa oleh Ghani Patail ? Inilah risko yang Najib dan Kerajaan BN tanggung apabila mereka membawa isu pentafsiran sejarah ke dalam dewan Mahkamah .

Ramai yang mungkin pernah menonton filem Titanic. Di dalam filem tersebut digambarkan First Officer William McMaster Murdoch ( tokoh bangsawan yang kaya raya ) yang berkahwin dengan wanita biasa yang dilakonkan oleh Kate Winslet adalah orang yang kejam dan telah menembak para penumpang kapal Titanic yang karam itu . Apa yang berlaku selepas kematian William McMaster Murdoch didapati bahawa bukan sahaja tiada kejadian tembakan berlaku pada malam kapal Titanic karam malahan William McMaster Murdoch adalah hero sebenar di dalam tragedi tersebut kerana beliaulah yang telah memberikan jaket keselamatannya kepada penumpang dan akhirnya beliau sendiri yang mati bersama-sama kapal Titanic yang karam. Bagaimanapun Pengarah dan Penerbit filem Titanic , James Cameron bernasib baik kerana tidak tinggal di Malaysia . Jika tidak, tidak mustahil beliau juga mungkin akan didakwa seperti Mohd Sabu.

Sebagai peguam yang mengetuai pasukan pembela Mohd Sabu ini saya masih tertanya-tanya di dalam hati bagaimanakah orang yang sudah meninggal dunia boleh difitnah ? Saya juga tertanya bagaimakah mereka akan dipanggil menjadi saksi-saksi untuk memberi keterangan di Mahkamah bahawa mereka difitnah ? Seram sejuk setiap kali saya memikirkan hal tersebut .

Pengetahuan undang-undang saya yang terhad terhadap undang-undang fitnah mengajar saya bahawa di bawah sistem “common-law” peraturan yang terpakai di dalam kes fitnah adalah “reputasi seseseorang itu adalah bersifat rapuh ( perishable ) sepertimana rapuhnya seseorang manusia itu . Peraturan atau prinsip tersebut dinyatakan di dalam doktrin yang dinyatakan dalam bahasa Latin “ actio personalis moritur cum persona (“ hak peribadi seseorang di dalam kes fitnah mati sebaik matinya seseorang itu )

Seorang hakim Inggeris iaitu Sir James Stephen telah seawal tahun 1887 menyatakan “The dead have no rights and can suffer no wrongs.” ( orang yang mati tidak ada hak dan tidak akan menederita sebarang salah laku ke atas dirinya ).

Bagi mereka yang menekuni sejarah hidup orang-orang ternama di dunia ini seperti Elvis Presley, Queen Victoria , Abraham Lincoln dan Winston Churchill misalnya mereka pasti akan menemui tuduhan-tuduhan yang berbaur fitnah ke atas tokoh-tokoh ternama tersebut.

Sebagai contoh Elvis Presley dituduh seorang yang mempunyai keinginan seks ke atas kanak-kanak ( pedophile ). Queen Victoria pula dituduh seorang lesbian. Abraham Lincoln pula dituduh sebagai seorang penzina gay ( gay adulterer ) dan Winston Churchill pula didakwa konspirator pembunuh.

Kesemua tuduhan tersebut yang diterbitkan beberapa tahun kebelakangan ini adalah secara jelas fitnah per se ( maksudnya fitnah yang terlalu serius sehingga tidak perlu dibuktikan mereka telah menanggung kerugian akibat fitnah tersebut ). Bagaimanapun tuduhan-tuduhan tersebut juga berkongsi elemen yang sama iaitu kenyataan-kenyataan tersebut dibuat selepas tokoh-tokoh ternama tersebut meninggal dunia. Oleh yang demikian pihak penerbit yang menerbitkan kata-kata atau tuduhan-tuduhan tersebut tidak dibawa ke Mahkamah kerana mereka dilindungi oleh satu peraturan yang telah lama bertahan “ kamu tidak boleh memfitnah orang mati”.

Tidak dinafikan ramai dari kita dibesarkan dengan ajaran jangan bercakap perkara tidak baik ke atas orang yang sudah mati namun undang-undang yang masih terpakai sehingga kini adalah undang-undang yang tidak menyalahkan orang yang berbuat demikian ( memfitnah orang yang mati ). Adakah undang-undang di Malaysia menyimpang dari prinsip undang-undang yang saya sebut tadi sama-sama lah kita tunggu dan lihat !!!

1 comment

Unknown said...

memang ini sejarah yang menarik, hanya bercakap tenhtqang sejarah seseorqang itu didakwa di mahkamah, sebenarnya agendanya nak bunuh karakter mat sabu oleh umno. bukan masalah kes bekas polis itu. mereka tak kisah pun, yang lebih sangat adalah puak yang anti mat sabu. mungkin tak lama lagi ada orang kena dakwa sebab mengajar matematik, gografi, fizik, biologi, dan apa subjek pun. nanti ada orang kena dakwa sebab menghina hang tuah, orang kena dakwa menghina sultan mahmud mangkat dilambung, dan macam-macam, semua ini agenda politik, bukan faktor kes sangat.

Powered by Blogger.