Hudud: Umno dicabar nyatakan pendirian rasmi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Umno didesak supaya mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pendirian parti itu menyokong hasrat Kelantan untuk melaksanakan hudud.

“Umno sepatutnya sudah lama mengeluarkan arahan kepada wakil rakyatnya yang beragama Islam agar menyokong usaha Kerajaan Negeri Kelantan ini dan Terengganu suatu ketika dahulu untuk laksanakan hudud,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Nazmi Nik Din.

Ini, katanya memandangkan Umno selalu mendakwa parti itu parti terbesar mewakili umat Islam di negara ini.

“Jadi kita nak dengarlah sama ada Umno bercakap benar ataupun tidak untuk membela umat Islam, kalau bukan Islam tak sokong hudud itu kita fahamlah, yang masalahnya Umno dakwa parti itu bela Islam, jadi kita nak tahu pendirian mereka tentang hudud sepertimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Kelantan.

“Kita juga nak tahu berkenaan pendirian Umno di bawah pimpinan Najib sekarang berkenaan surat yang dihantar oleh bekas PM dulu kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang mengugut mahu dikenakan tindakan terhadap Kelantan sekiranya melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (II) yang mana ianya masih lagi tersimpan di pejabat Menteri Besar sepertimana yang dilaporkan dalam Harakahdaily semalam,” ujar beliau lagi.

Menurut laporan Harakahdaily semalam, Perdana Menteri ketika itu ialah Dr Mahathir Mohamad dengan tegas menjelaskan dalam surat tersebut tidak akan memberi kerjasama kepada Kelantan apabila hudud dilaksanakan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, surat yang dihantar Dr Mahathir dahulu atas sifatnya sebagai Perdana Menteri.

Beliau dipetik berkata, “saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar Perdana Menteri akan tamat tempoh kuatkuasa apabila beliau tidak lagi berada pada jawatan tersebut.

“Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan Perdana Menteri.. Lucu sekali cabaran Tun Mahathir.”

“Saya juga memohon Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menarik balik surat tersebut dan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama,” ulas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam respons beliau melalui facebook semalam sepertimana dipetik dari Harakahdaily.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 meluluskan Kanun Jenayah Syariah (II).

Kemudian diikuti oleh Negeri Terengganu setelah dimenangi oleh PAS pada tahun 2004 di bawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu pada waktu itu iaitu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

No comments

Powered by Blogger.