Isunya bukan hapus kuota, tapi laksana keadilan- Azmin Ali

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghapus kuota Bumiputera sekadar untuk mencari populariti semata-mata, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

Azmin berkata, isu yang perlu diberi perhatian oleh Najib bukan menghapuskan kuota berkenaan, tetapi jauh lebih penting ialah melaksanakan prinsip keadilan dalam pentadbiran beliau.

“Pengumuman itu sekadar mencari populariti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,”

“Soalnya, beranikah Najib melaksanakan prinsip keadilan dalam pentadbirannya?” katanya ketika ditemui pada Forum Politik Malaysia Pasca ISA, anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar malam tadi.

Azmin diminta mengulas kenyataan Najib semalam bahawa kuota 30 peratus yang selama ini diperuntukkan untuk Bumiputera akan dihapuskan kelak.

Beliau menegaskan, isu kuota bumiputera selama ini tidak mempunyai makna kepada orang Melayu kerana ia hanya dibolot segelintir kroni yang rapat dengan pemimpin Umno.

“Kalau Najib faham apa itu prinsip Keadilan, beliau tidak akan mendukung perjuangan Perkasa (yang menolak pemansuhan kuota bumiputera),” kata Azmin.

“Sebab itu saya tegaskan, soalnya ialah prinsip keadilan yang sepatutnya diamal dalam pentadbiran mana-mana pemerintah,” katanya.

Malaysia telah memperkenalkan tindakan afirmatif untuk membasmi kemiskinan pada tahun 1971 dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang tamat pada 1990.

Selepas puluhan tahun pelaksanannya, DEB bukan lagi dianggap sebagai mekanisme pengagihan kekayaan tetapi digunakan untuk mengekalkan kuasa Umno dan rasuah. Selepas 1991, polisi-polisi kerajaan masih mengekalkan semangat lama DEB.

Pada Mac tahun lalu, Najib memperkenalkan Model Ekonomi Baru dengan kuota pemilikan berasaskan kaum dihapuskan secara beransur.

Sementara pada masa yang sama statistik kerajaan menunjukkan peratus rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan adalah kaum Melayu.

Rekod menunjukan, Saham Melayu-Bumiputera ketika ini hanya berbaki RM2 bilion berbanding RM54 bilion sejak diperkenalkan seperti mana diakui sendiri oleh Najib Razak.

No comments

Powered by Blogger.