Bandar Kota Bharu makin bersih - SUK

(Hrkh) - Bandar Kota Bharu sebelum ini terpalit masalah kekotoran kini semakin bersih hasil kesungguhan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Iklan




Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias berkata, antara pencapaian ketara Kota Bharu sejak diisytihar sebagai bandar raya Islam (BRI) pada 2005 ialah tahap kebersihannya.

"Tahap kebersihan memang jelas banyak perbezaannya. Bandar sekarang jauh lebih bersih berbanding sebelum dilancarkan BRI," katanya selepas merasmikan majlis itqan dan penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang anggota MPKB-BRI 2009 di Taman Perbandaran Tengku Anis semalam.

Oleh itu beliau berharap setiap warga bandar memberi kerjasama bagi memastikan tahap kebersihan bandar Kota Bharu dapat dipertingkatkan lagi.

Beliau juga berkata, pencapaian pentadbiran kerajaan negeri sejak mengamalkan program 5S begitu memberangsangkan, di mana semua jabatan telah mempraktiknya.Image

Selain dari itu katanya, kerajaan negeri juga telah mendapat Persijilan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi jabatan-jabatan negeri.

"Kita juga mempunyai satu kod etika bagi Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri yang telah diperkenalkan tahun lepas," katanya.

Mengenai cadangan pemberian bonus kepada kakitangan awam, beliau berkata, setiap pekeliling Perkhidmatan Awam daripada kerajaan Persekutuan akan juga diterima pakai di Kelantan.

Ditanya cadangan persatuan penulis dan budayawan di negeri ini supaya kerajaan negeri menghidupkan semula anugerah kepada aktivis bidang terbabit katanya, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kegiatan mereka.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi tumpuan terhadap kemajuan yang mereka lakukan dan kalau ada cadangan yang baik kita boleh diangkat kepada kerajaan negeri," ujarnya.

ImageTerdahulu ketika berucap beliau berkata, kerajaan negeri menyedari matlamat pembentukan budaya kerja cemerlang akan dapat direalisasikan apabila program pembaharuan yang diperkenalkan dilaksana secara menyeluruh semua jentera pentadbiran.

Pada majlis itu pegawai dan kakitangan MPKB-BRI melafazkan Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam termasuk menumpukan taat setia kepada Sultan Kelantan, kerajaan negeri dan Yang Dipertua MPKB-BRI.

Seramai lebih 50 kakitangan MPKB-BRI berbagai sektor menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Haji Mohd Fauzi Che Mamat, Yang Dipertua MPKB BRI, Haji Ahmad Mahmood dan ahli-ahli Majlis MPKB -BRI.

No comments

Powered by Blogger.