Darihal kuman dan PPSMI

Apakah kuman? Bagaimanakah dengan tiba-tiba 'kuman' telah muncul dalam perbendaharaan kata Melayu? Sebaiknya soalan ini dimajukan kepada Tun Dr Mahathir selaku ahli perubatan. Beliau pernah berkhidmat sebagai doktor sebelum menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Iklan




Syahadan, dengan sebab merebaknya penyakit antarabangsa baru-baru ini, salah seorang menteri, Dr Rais Yatim menegur media supaya terus menggunakan ungkapan selesema babi berbanding H1N1.

Lebih Melayu dan punya jatidiri yang tinggi agaknya. Daripada suatu segi, ada baiknya juga. Hal ini menunjukkan bahawa kita tidak pernah miskin istilah dan fakir dalam mencipta ungkapan baru. Tahniah!

Orang Melayu mewah bahasa! Kaya dengan pendirian dan jiwa mereka tidak mudah goyah. Kalaupun goyah, semua itu terhasil akibat salah caturan pemimpin Melayu sendiri yang memang sedia lemah daya fikirnya.

H1N1 adalah sejenis virus. Virus H1N1. Tapi, untuk mudah disebut marilah kita menggelarnya sebagai kuman. Sama ada ia bakteria atau virus, ia tetaplah kuman; sejenis makhluk Allah yang halus lagi seni dan mampu mendatangkan kesan buruk dalam kehidupan manusia, mengancam kemanusiaan jika pesakit itu tidak teguh imannya ketika diuji.

Menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 'kuman' adalah organisma halus (tidak terlihat oleh mata kasar) yang wujud di udara, air dan tanah dan pada makhluk hidup dan mati, yang penting kepada manusia kerana kesan-kesan kimianya dan kadangkala menyebabkan penyakit.

Juga, kamus tersebut merujuk kuman sebagai bakteria dan basil. Manakala istilah basil pula adalah ungkapan Indonesia - Belanda yang merujuk kepada sejenis kuman juga.

Basilus adalah suatu istilah biologi, demikian menurut Kamus Dewan. Ia merujuk kepada sejenis bakteria yang berbentuk batang di mana sesetengahnya boleh mengakibatkan penyakit kepada haiwan vertebrat atau kepada serangga.

Ilmu kuman, dirujuk Kamus Dewan sebagai 'ilmu mengenai berbagai-bagai bakteria (yang menyebabkan penyakit). Kuman juga adalah kata kiasan yang merujuk kepada sesuatu yang halus atau seni (seperti debu dan lain-lain).

Selain itu, ada perkataan kuman yang disandarkan kepada zat lain; 'kuman air' yang bermaksud kutu dalam air yang menyebabkan kudis.

Sementara itu, Kamus Dewan menafsirkan 'kumin' sebagai 'sesuatu atau bahagian sesuatu yang sangat kecil (halus), benda seni. Sesudah itu, marilah kita menelusuri makna beberapa pepatah Melayu yang terkait dengan kuman ini.

Peribahasa Melayu mengenai kuman

Memang ajaib sekali. Bangsa Melayu kita, tanpa sebarang teropong seperti yang digunakan saintis zaman ini telah mampu melihat kuman yang sangat halus itu. Peralatan apakah yang telah mereka gunakan untuk melihat kuman?

Adakah Melayu itu sudah ada teknologi dan kepakaran untuk melihat kuman sebelum tibanya pengaruh penjajahan Eropah dalam bidang ilmu kedoktoran? Wallahu'alam...

Lihat sahaja beberapa peribahasa Melayu mengenai kuman ini. Contohnya, 'kuman menjadi barah' (pekung) iaitu perkara kecil menjadi besar kerana dibiarkan.

Mungkin, contoh mudah dalam hal ini ialah - wang rasuah yang diberikan kepada para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno sejak zaman Tun Mahathir akan merebak sebagai pekung barah terhadap parti itu, sehingga menyebabkan bekas PM itu sendiri terpaksa menanggung akibat barah rasuah sebanyak RM200 dalam pertandingan perwakilan di Kubang Pasu dulu.

Mungkin contoh bidalan ini silap. Harap Tun Mahathir boleh membetulkannya, insya Allah.

'Kuman di seberang lautan tampak, gajah (bertengger) di pelupuk mata tiada tampak'. Maksud peribahasa ini, kesalahan orang lain dapat dilihat sedangkan kesalahan diri sendiri tidak disedari.

Contoh yang mungkin mudah dalam hal ini ialah - Najib boleh berunding dengan Obama dan berbangga kerana Obama hubungi beliau untuk membebaskan tahanan Guantanamo. Sedangkan, tahanan ISA di Kamunting masih belum dibebaskan lagi. Mungkin peribahasa yang sesuai di sini; tahanan Guantanamo di USA nampak, tahanan Kamunting di Malaysia tidak kita nampak.

Mungkin Najib kurang bersetuju. Harap beliau sudi membetulkannya dan memberi imbuhan peribahasa baru guna memperkaya peribahasa Melayu pasca moderen.

Peribahasa lain mengenai kuman ialah - 'matilah kuman kena pelantik sekalian alam limpah darahnya'. Bermaksud, orang kebanyakan berkahwin dengan orang bangsawan, menjadi buah mulut orang akan halnya.

Misalnya seorang wanita bawahan yang cantik rupawan seperti model luar negara dan dinikahi bangsawan istana tempatan, kelak akan menjadi buah mulut orang juga akhirnya apabila didera.

Atau, model Mongolia yang menjalin hubungan dengan VIP di Malaysia, tentulah akan menjadi buah mulut orang kelak jika tubuhnya diletupkan dengan bom C4 akibat terlalu banyak meminta komisen hasil daripada pembelian kapal selam.

Peribahasa 'mencungkil kuman dengan alu' pula bermaksud membuat pekerjaan yang sia-sia. Contohnya, usaha meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan murid dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah sia-sia. PPSMI adalah usaha kerajaan yang sia-sia bagaikan 'mencungkil kuman dengan alu' adanya.

Mungkin kita boleh menyusun pepatah dan peribahasa baru; 'bagai mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris' jika kerajaan suka membuat pekerjaan yang sia-sia kelak. Wallahu'alam...

Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran, merangkap TPM mungkin boleh menyemak semula peribahasa tentang kuman dalam Kamus Dewan terbitan DBP ini. Apatah lagi, DBP adalah agensi yang berada di bawah kementerian beliau sendiri.

Kuman dalam manukrip Melayu

Tiadalah kita sempat menelusuri semua manuskrip Melayu yang terkait dengan makhluk Tuhan yang dipanggil kuman ini.

Bagaimanapun, ada contoh kisah termasyhur mengenai kuman dalam peristiwa Raja Melaka meminang Puteri Gunung Ledang.

Antara syarat-syarat peminangan yang diberikan puteri itu kepada Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah adalah ...

1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
7 dulang hati nyamuk.
7 dulang hati kuman.
7 tempayan air mata anak dara.
7 tempayan air pinang muda.
1 mangkuk darah anak raja

Untuk seketika, marilah kita anggap kisah itu adalah kisah benar untuk menyedapkan ceritera mengenai kuman ini. Yang menariknya, Tun Seri Lanang lewat Sulalatus Salatin itu telah menjelaskan bahawa semua permintaan itu telah berjaya ditunaikan termasuk 'membedah' kuman untuk dimasukkan ke dalam tujuh dulang.

Yang tak dapat ditunaikan hanyalah semangkuk darah anak raja sahaja. Mungkin ini cuma cerita kiasan ke atas kezaliman pemerintah sahaja. Namun, apa yang menarik perhatian kita ialah kefahaman rakyat umum mengenai kehadiran kuman itu di dalam masyarakat Melayu.

Kerap tergambar dalam fikiran kita bahawa ilmu kepawangan, kedukunan Melayu hanya terkait dengan semangat jahat serta gangguan iblis dan syaitan sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Tapi dengan tiba-tiba pula sudah ada istilah kuman pula? Yang paling menarik, sehingga kini kita boleh menterjemahkan bakteria, virus itu dengan istilah Melayu, iaitu kuman. Dalam hal ini, ternyata kita tidak miskin istilah sains!

Bakteria dan virus adalah istilah biologi. Malahan penemuan bakteria dan virus di Eropah itu berlaku lewat berbanding Melayu yang sudah maju kerana bangsa ini sudah memajukan idea berhubung kehadiran kuman dalam masyarakat mereka.

Barangkali, ketika masyarakat Eropah baru mahu keluar daripada zaman kegelapan 'Dark Ages', kita sudah ada pengertian terhadap konsep kuman. Jika kuman boleh dirujuk kepada bakteria dan virus sebagai istilah biologi, maka secara tidak langsung bangsa Melayu sudah pun maju dalam bidang biologi.

Kita sudah sempurna sains dan teknologi sebelum kehadiran penjajah! Kita tak perlu terjemahkan bakteria dan virus ke dalam bahasa Melayu kerana sudah wujud istilah kuman.

Maka terbatallah PPSMI itu yang kononnya kita miskin istilah sains dan sebagainya lagi. Hatta dalam perkara yang seni dan halus seperti kuman itu pun, orang Melayu sudah tahu.

Maka, kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini ketika beliau mempersoalkan, "Belajar bahasa Inggeris untuk fahamkan ilmu sains. Kenapa nak minta orang terjemah untuk anda?", boleh kita debatkan semula. Tapi kalau nak didebatkan kenyataan itu lebih lanjut, kita perlukan tajuk baru yang panjangnya berjela-jela pula.

Sebelum kita membahaskan kenyataan Tun Dr Mahathir itu, sebagai ahli perubatan, doktor yang berpengalaman, kita mahu juga bertanya kalau-kalau beliau dapat menjawab soalan kita ini.

"Sejak bila orang Melayu mengenal makhluk yang dinamakan kuman ini sehingga wujud beberapa pepatah mengenainya?"

Jawapannya tentu banyak sekali. Tapi, apa yang pasti, Ketika orang Melayu mula mencipta istilah kuman dan mula faham pengertian, konsep, gambaran mengenai kuman, pada masa itu belum ada dasar yang memaksa Melayu era zaman keemasannya (Kesultanan Melayu Melaka, Sriwijaya, Majapahit dll) belajar, berguru dalam bahasa penjajah; baik Inggeris mahu pun Portugis! Wallahu'alam ...

8:30 p.m, 30 Jun
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _

No comments

Powered by Blogger.