Exco Selangor Nafi Ada Kaitan Dengan Kematian Teoh

SHAH ALAM, 24 Julai - Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu hari ini menafikan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Menurut Ronnie, dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, malah sengaja direka oleh pihak tertentu untuk memburuk-burukan imejnya sebagai ecxo dan juga pemimpin yang mewakili DAP Selangor.

“Saya tidak tahu,kenapa saya dikaitkan dengan beliau (Beng Hock) sedangkan beliau tidak pernah bekerja dengan saya. Dia hanya bekerja dengan Ean Yong Hian Wah,”Ronnie mengulas dakwaan pihak tertentu dalam sebuah laman blog yang mengaitkan beliau dengan insiden kematian Teoh, baru-baru ini.

Menurut Ronnie, blog berkenaan turut mengaitkannya dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, terlibat dalam skandal salah guna peruntukan DUN di Sungai Pelek dan Sungai Panjang.

Katanya, senarai peruntukan kedua-dua Exco yang disiarkan dalam laman blog itu telah direka oleh penulis, sedangkan peruntukan sebenar telah disenaraikan dalam laman web rasmi mereka.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan, Ronnie bagaimanapun enggan berbuat demikian.

“Saya tidak akan membuat sebarang laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana saya tidak percaya kepada mereka kerana sebelum ini mereka tidak pernah mengambil apa-apa tindakan terhadap setiap laporan yang saya,”katanya.

Sementara itu, Ean turut mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang memburuk-burukkan Adun Pakatan Rakyat melalui blog.

“Sebuah blog yang bernama Truth For Teoh Beng Hock, baru-baru ini dilancarkan telah mempamerkan maklumat mengenai peruntukan dan mendakwa DAP menyalahguna kuasa.Ini amat jelas bahawa pihak tertentu mempunyai agenda politik yang kotor dan cuba mengaitkan kematian Teoh disebabkan dia melakukan kesalahan”,katanya.

Ean juga meminta SPRM memberi penjelasan, bagaimana maklumat sulit ini boleh dipamerkan dalam blog berkenaan tanpa sebarang kawalan.

“Kebanyakan maklumat yang dipamerkan dalam blog tersebut adalah sulit dan telah diserahkan kepada SPRM dan bagaimana maklumat ini boleh diambil keluar tanpa pengawalan oleh pihak berkuasa. Saya mahu SPRM beri jawapan kepada kita mengapakah maklumat sulit demikian boleh dipamerkan,”katanya.

No comments

Powered by Blogger.