Hadiah Kemenangan Buat Tok Guru

729c164160256c0ac199ee1ee6283360


Keputusan rasmi Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan, menang dengan majoriti “nyawa-nyawa ikan” sebanyak 65 undi.

PAS mendapat 5,348 undi sementara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Keputusan tersebut diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya Adnan Hussin di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, pada jam 9.01 malam.

DUN tersebut mempunyai 12,293 pengundi berdaftar, termasuk 25 pengundi pos, dan 10,631 atau 87 peratus keluar mengundi hari ini.

(Sumber: Malaysiakini)

Nampaknya pengundi Manek Urai telah menghadiahkan kekalahan kepada UMNO sempena 100 hari Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Jumlah majoriti yang kecil pasti menimbulkan pelbagai spekulasi. Mungkin ada orang melihat bahawa pengaruh PAS dan Pakatan Rakyat semakin merosot, manakala BN mula mengembalikan pengaruhnya yang menjunam sejak PRU 2008. Selain itu, rasuah dan politik wang juga dikatakan menjadi penyebab utama PAS gagal mempertahankan jumlah majoritinya.

Namun, Barisan Nasional patut berbangga kerana mereka mendapat banyak undi “simpati” daripada pengundi atas pagar, barangkali sebagai menghargai Tok Pa yang dilihat lebih mesra rakyat daripada pemimpin yang terdahulu. Tetapi undi simpati itu tidak mencukupi untuk BN memecahkan rekod kekalahan yang dipegangnya sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Jambatan baru tidak mampu mengenepikan royalti minyak. Malahan sesetengah pihak berpendapat, calon UMNO tewas kerana jambatan baru itu. Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjanjikan “jambatan bersyarat” yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rasuah, calon UMNO ada peluang menang. Kerana jambatan itu, pengundi membenci UMNO.

Selain itu, terdapat suara nakal mengatakan Muhyiddin sengaja menawarkan “jambatan bersyarat” yang tidak pernah dilakukan mana-mana pemimpin sebelum ini, untuk memastikan UMNO kalah. Apabila UMNO kalah, maka terlepaslah Najib Razak untuk membaiki rekod 100 harinya yang telah dikritik hebat oleh Tun Mahathir Mohamad. Pendapat ini belum tentu betul kerana barangkali ada pihak tertentu sengaja mahu melaga-lagakan Najib dan Muhyiddin.

Sebelum itu, Tok Pa ada mengumumkan UMNO ada peluang besar untuk merampas kerusi Manek Urai. Pemimpin UMNO yang lain juga kelihatan yakin. UMNO suka sangat cah keting dan tidak mustahil kali ini juga UMNO kalah kerana cah keting.

Walau bagaimanapun, isu “antiperpaduan Melayu-Islam” yang cuba dikaitkan dengan Tuan Guru Nik Aziz ternyata gagal. Biarpun serangan ke atas Nik Aziz bertubi-tubi dari segenap penjuru – oleh UMNO dan orang PAS sendiri – tetapi tokoh kebanggaan rakyat Kelantan itu tetap tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Nik Aziz dilabel sebagai tokoh “keras kepala” yang antiperpaduan UMNO-PAS yang disinonimkan dengan perpaduan Melayu-Islam, padahal hakikatnya tidak begitu.

Perpaduan UMNO-PAS tidak ada kaitan dengan perpaduan Melayu. Melayu bukan ada dalam UMNO dan PAS sahaja. Melayu ada dalam PKR, DAP, Gerakan, PPP dan lain-lain. Kenapa Melayu dalam UMNO dan PAS sahaja harus disatukan? Melayu dalam parti lain tidak cukup keMelayuannya? Dan bagaimana pula dengan Melayu yang tidak menganggotai mana-mana parti yang menghuni di segenap tanah air? Oleh sebab itulah, ketegasan Tuan Guru Nik Aziz menolak perpaduan UMNO-PAS dilihat masuk akal. Lagipun, perpaduan Melayu yang sejati tidak seharusnya “dicemari” kepentingan politik kepartian.

Majoriti pengundi Manek Urai, seperti rakyat Kelantan yang lain masih sayang kepada Tok Guru. Maka tidak keterlaluan apabila saya katakan bahawa kemenangan ini adalah hadiah kepada Tok Guru sebagai penawar hati yang ditohmah oleh pelbagai pihak, lawan dan kawan, semata-mata kerana mempertahankan identiti PAS yang tidak pernah tunduk kepada desakan mana-mana parti.

Akhir sekali, lupakan dahulu manek Urai, kita tumpukan isu lebih besar – tuntutan royalti minyak bernilai RM1 bilion. Anwar Ibrahim berjanji akan membawa isu ini ke Parlimen. Harapan kita, agar kerajaan pusat tidak liat mempertahankan kebatilannya.

No comments

Powered by Blogger.