Hishammuddin Bohong, Kaitkan Harimau Tamil

Oleh K KABILAN

Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy marah dengan pembohongan berterusan yang disebarkan kerajaan bahawa beliau mencari sokongan pertubuhan pengganas untuk membantu gerakannya.

Tuduhan palsu terakhir oleh kerajaan tercetus minggu lalu apabila Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein memberitahu Parlimen, Waythamoorthy telah meninggalkan Malaysia pada 28 November 2007 untuk mencari sokongan antarabangsa dan mengatur usaha untuk bertemu pemimpin Harimau Tamil (Tamil Tigers).

P Waythamoorthy dan polis 231107 “Ini sama sekali merepek. Saya cabar menteri untuk memberi bukti perkara ini secara terbuka, jika memang dia ada,” P Waythamoorthy. Beliau kini berada di New Delhi, India dan akan kembali ke pengkalannya di London akhir minggu ini.

Beliau meninggalkan Malaysia apabila kerajaan menyerbu Hindraf pada akhir 2007. Sejak itu, beliau memimpin gerakan tersebut dari London.

“Kerajaan terus mengulang-ulang dengan menyatakan saya mencari sokongan kumpulan pengganas, ini tidak berasas dan tidak berdasar. Dan minggu lepas Hishammuddin telah menyatakan perkara yang sama berdasarkan maklumat yang nampaknya diperolehi dari laporan risikan.

“Saya berasa aneh kerajaan terus mengulang-ulang tuduhan lama yang sama tanpa memberi sebarang bukti. Jika mereka ada bukti, kenapa tidak dedahkannya,” tanya beliau.

Beliau menyatakan beliau sedia pulang ke tanahair dan mendesak Hishammuddin mendakwanya di mahkamah kerana menderhaka atas tuduhan hubungan dengan Harimau Tamil.

Waythamoorthy juga mendesak Menteri Dalam Negeri menyediakan paspot baru untuknya agar beliau boleh kembali ke Malaysia.

Paspot beliau telah dibatalkan oleh kerajaan dan beliau kini berkelana di luar negara menggunakan dokumen perjalanan khas Bangsa-Bangsa Bersatu yang diberikan setelah beliau mendapat status pelarian politik oleh kerajaan British.

Tuduhan Tak Berasas

Beliau menambah isu hubungan Hindraf dengan pertubuhan pengganas, khususnya Harimau Tamil, pertama kali disebut oleh Peguam Negara, Abdul Gani Patail pada 5 Disember 2007 dan kemudiannya diperkukuhkan dengan kenyataan oleh Ketua Polis Negara pada 13 Disember 2007.

Inilah juga justifikasi yang digunakan untuk menahan lima pemimpin Hindraf di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Disember 2007. Mereka telah dibebaskan bulan Mei tahun ini.

Waythamoorthy berkata hingga hari ini tidak ada seorang pun di dalam kerajaan dapat mempertahankan dakwaan mereka tentang tuduhan hubungan dengan Harimau Tamil ini.

“Dakwa saya di mahkamah atas hubungan dengan pengganas dan ini akan memberi saya peluang untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak ada bukti apa pun,” katanya.

Hindraf menjadi musuh utama awam selepas pergerakan tersebut membangkitkan kes-kes pemusnahan kuil di negara ini pada 2007.

Perarakan awam gerakan ini menjadi begitu popular, bermula dengan perarakan beramai-ramai di Kuala Lumpur pada November 2007 di mana hampir 30,000 orang mengambil bahagian.

Setelah itu kerajaan mula bertindak dengan menahan pemimpin-pemimpin utamanya, yang berakhir dengan tahanan dalam ISA, dan ketika itulah Waythamoorthy berangkat ke United Kingdom bagi meneruskan pergerakan tersebut dari sana. Kerajaan telah mengharamkan Hindraf pada Oktober lalu.

Respon terakhir Hishammuddin terhadap tuduhan hubungan Waythamoorthy dengan pengganas muncul dalam bentuk jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

No comments

Powered by Blogger.