Nizar JAwab Isu Lilin!




Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan beliau menghadiri upacara menyalakan lilin bagi memperingati Teoh Beng Hock di sini pada Jumaat lalu dan mendakwa Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang salah.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Perak itu menegaskan, beliau hanya menghadiri sidang akhbar mengenai majlis menyalakan lilin anjuran DAP.

Ekoran itu, katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib memberikan komen atas laporan berita yang salah.

”Dia (Harun) baca Utusan Malaysia yang lapor tidak betul, jadi dia komen atas laporan yang salah. Dengar betul-betul, saya tidak kata dia buat komen yang salah tetapi buat komen atas laporan yang salah.

”Saya tidak hadir upacara pemasangan lilin itu tetapi saya cuma hadir sidang akhbar mengenai pemasangan lilin itu dan gambar yang disiarkan adalah semasa sidang akhbar tersebut di pejabat DAP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohammad Nizar mengulas kenyataan Harun bahawa beliau tidak sepatutnya hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan seperti laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Selain kenyataan Harun, Utusan Malaysia turut menyiarkan gambar Mohammad Nizar berdiri di sebelah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sambil memegang lilin.
Malah kata Harun, Pas sendiri telah membuat garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri para pemimpin serta ahli parti itu.

Pada masa sama, Harussani pula menyifatkan tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah haram di sisi agama kerana ia menyerupai ajaran Kristian.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, beliau tidak menyalahkan Harun, Zambry mahupun Harussani kerana membuat komen terhadapnya itu.

”Bukan salah Zambry, Mufti Perak, Dewan Ulama Pas dan bukan salah sesiapa pun yang membuat komen kerana Utusan Malaysia buat laporan fitnah.
”Saya cuma kasihan kepada mereka kerana membuat komen atas laporan berita yang tidak betul,” katanya.

Mohammad Nizar berkata, pemberita yang melaporkan berita salah itu membuat fitnah besar dan beliau akan menuntutnya semasa di akhirat.


sesamaislam

No comments

Powered by Blogger.