Kuliah isu babi untuk Umno Kedah

UNTUK kali ketiga Umno di Kedah telah berjaya menghasut orang kampung untuk mengadakan demonstrasi membantah (apa yang disifatkan mereka) kewujudan pusat ternakan babi di tempat mereka.
Iklan




Demonstrasi yang diadakan di Sungai Tok Pawang itu mengecam kerajaan negeri kerana kononnya membenarkan pembukaan pusat babi di kampung itu.

Demonstrasi pertama berhubung isu babi ini didakan di Jabi. Ia diikuti dengan demonstrasi di hadapan Majlis Daerah Pendang. Semua dalang dalam demonstrasi itu adalah pemimpin Umno tempatan. Buktinya setiap kali demonstrasi diadakan, pemimpin Umno yang turut hadir muncul memberi ulasan.

Babi sangat sensitif dengan orang Melayu. Mudah sangat bagi Umno membangkitkan kemarahan orang kampung (yang tidak faham isu sebenar) terhadap pihak lain, terutamanya terhadap kerajaan negeri Kedah, iaitu hanya dengan menjaja cerita kononnya kerajaan negeri akan membenarkan pusat babi akan dibuka di kampung mereka.

Sejak dulu, kini dan selamanya, Umno akan terus menerus memperdaya orang Melayu dengan isu-isu yang tidak berpijak di bumi nyata.

Saya pernah menulis keluaran lalu bahawa kewujudan pusat pemotongan babi tidak semudah membuka gerai roti canai tepi jalan. Tetapi hendak menjelaskan sesuatu isu kepada Umno bukan perkara mudah.

Hendak cerita bab hukum hudud terpaksa ambil masa berpuluh tahun untuk fahamkan mereka (itu pun sampai sekarang masih belum faham) inikan pula nak cerita isu babi yang tidak pernah tercatat dalam mana-mana kitab terdahulu dan tidak diajar pula di surau-surau.

Saya akan cuba menceritakan dalam bahasa yang mudah difahami oleh ahli-ahli Umno supaya lepas ini mereka tidak ghairah lagi untuk adakan demonstrasi demi demonstrasi setiap kali terdengar ura-ura pusat pemotongan babi akan diadakan di sesuatu tempat.

Cadangan dari pengusaha

Pertama, cadangan mewujudkan pusat pemotongan babi mestilah datangnya dari pengusaha. Ia bukan datang dari Menteri Besar atau anggota Exconya. Menteri Besar dan Exco bukan pengusaha babi.

Banyak kerja lain mereka nak buat untuk kesejahteraan rakyat. Pengusahalah yang mesti bertungkus lumus ke hulu ke hilir mencari tapak yang difikirkan sesuai.

Jika dalam setiap demonstrasi isu babi tajaan Umno mereka mengecam kerajaan negeri kerana kononnya bercadang 'mahu membuka pusat babi', itu adalah tuduhan tidak betul. Cadangan lokasi semuanya datang dari pengusaha.

Lokasi di Jabi, Pendang dan Sungai Tok Pawang; semuanya baru di peringkat cadangan. Sewaktu peringkat cadangan, Umno tidak perlu kerah orang kampung membantah lagi kerana terdapat beberapa proses yang terpaksa dilalui oleh pengusaha.

Setelah pihak berkuasa tempatan menyiasat Jabi dan Pendang, ia tidak sesuai kerana tiada zon penampan dengan kawasan penempatan orang ramai.

Di mana tempat pun pengusaha perlu dapatkan sokongan dan kelulusan pihak berkuasa tempatan, pihak penguasa tanah dan Jabatan Alam Sekitar. Semua jabatan tersebut menetapkan piawaian tertentu sebelum memberi kelulusan. Salah satu jabatan tidak beri sokongan maka permohonan akan tertolak. Pengusaha perlu cari lokasi lain pula.

Mungkin pengusaha boleh guna 'cara mudah' iaitu menyogok pegawai dari jabatan yang memberi kelulusan. Tapi kaedah itu juga sukar untuk berlaku kerana para pegawai tahu dosa pahala, atau sekurang-kurangnya mereka takut akan siasatan SPRM.

Mereka mungkin pernah bermimpi dibelasah dan dihumban melalui tingkap oleh penyiasat SPRM. Walaupun cuma mimpi, tapi menakutkan juga.

Selepas tiga pihak tadi memberi kelulusan, barulah sokongannya diajukan kepada menteri berkaitan. Menteri yang berhak keluarkan permit pusat pemotongan babi, berasaskan sokongan tiga pihak tadi. Menteri juga berhak untuk tidak keluarkan permit walaupun disokong tiga jabatan tadi.

Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah yang dianggap sebagai bakal Menteri Besar Kedah oleh sebahagian ahli Umno menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak menjelaskan kepada penduduk tempatan mengenai pembukaan pusat pemotongan babi. Sebab itulah, katanya, berlaku demonstrasi bantahan oleh penduduk. Dato' Bashah rupanya termasuk di kalangan ahli Umno yang tidak faham.

Kerajaan akan menerangkan kepada rakyat setelah lokasi tersebut diluluskan oleh Menteri. Pihak berkuasa tanah, kerajaan tempatan dan Jabatan Alam Sekitar akan diminta memberi penjelasan kepada penduduk tempatan. Kalau baru di peringkat cadangan, apa yang hendak dijelaskan kepada rakyat? Lulus ke tidak pun belum tahu.

Umno nampaknya beriya-iya sangat nak menjuarai isu babi bagi menarik sokongan rakyat, khususnya orang Melayu. Sebenarnya mereka tersilap. Penutupan pusat babi haram di Kampung Berjaya yang tidak dapat dilakukan oleh Umno selama 30 tahun, sewaktu jadi kerajaan, cukup untuk jadi pukulan maut kepada Umno.

Umno patut cari isu lain untuk mencari pengaruh, bukan isu babi. Walhal sewaktu jadi kerajaan dulu, Umno tidak pernah sentuh isu babi.

Di Sungai Tok Pawang. Nun dicelah bukit sana dikhabarkan terdapat ladang babi haram yang dibuka secara kecil-kecilan. Orang kampung semua tahu, tapi tidak pula kedengaran dulu Umno mengadakan demonstrasi membantah.

Tiba-tiba apabila terdapat ura-ura sebuah pusat pemotongan babi mahu diwujudkan di situ, wujud pula bantahan. Sepatutnya mereka lega dengan adanya pusat pemotongan sebab ia akan 'menghapuskan' babi-babi yang diternak.

Pernah terjadi sewaktu bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sedang berucap di sebuah perhimpunan rakyat yang diadakan di sebuah kampung Siam di Daerah Pendang, seekor babi terlepas dari kandang dan meluru di celah-celah orang ramai sehingga menimbulkan kegemparan.

Secara spontan Dr Mahathir berkata, "Biag pi lah, dia pun nak mai dengag (ucapan) jugak ...."

Di sekitar perkampungan masyarakat keturunan Siam itu, mereka membela babi macam orang Melayu bela kambing empat lima ekor di tepi rumah. Tidak pernah terdengar pula sejak dulu ahli-ahli Umno atau wakil rakyat BN setempat buat demonstrasi membantah orang Siam bela babi dalam kampung.

Sekarang baru nak jadi juara babi, tak payahlah ...

No comments

Powered by Blogger.