Mahfuz selar kenyataan Noh Omar

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyelar kenyataan Menteri Pertanian, Dato' Noh Omar yang melarang pegawai-pegawai di kementerian berkenaan daripada menghadiri sebarang kursus, seminar ataupun mesyuarat yang diadakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.
Iklan




"Kita minta agar beliau benar-benar memahami bidang kuasa kerajaan negeri, kerajaan pusat termasuklah kementerian," ujarnya kepada Harakah.

Sambil menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak bijak, Mahfuz menegaskan bahawa alasan yang diberikan oleh Menteri yang berkenaan tidak munasabah.

"Keputusan yang dibuat menteri ke atas pegawai agensi dan Kementerian Pertanian supaya tidak hadir ke program anjuran kerajaan Pakatan Rakyat adalah suatu keputusan yang tidak demokratik dan tidak munasabah," kata Mahfuz.

Dalam satu kenyataan Noh yang dikeluarkan Utusan Malaysia muka surat 3 pada 22 Julai lalu, beliau dilaporkan sebagai berkata alasan yang diberikan iaitu kegagalan kerajaan negeri memberikan dana dan sumbangan kepada jabatan serta kementerian.

"Jika dilihat kepada negeri selain yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, adakah mereka memberikan sumbangan yang lebih kepada kementerian tersebut berbanding negeri Pakatan Rakyat?" ujar Mahfuz.

Tegasnya, sumber yang dimiliki kerajaan negeri adalah terhad berbanding kerajaan pusat.

"Sebaliknya, kerajaan negeri telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada kerajaan pusat khususnya berkaitan hal ehwal tanah.

"Mereka kena terima hakikat bahawa mereka memerlukan sumbangan kerajaan pembangkang kerana tanpa kerjasama kerajaan negeri yang memberikan tanah, sudah tentu kementerian tidak boleh menjalankan sebarang pembanguann pertanian," katanya lagi.

Ahli parlimen Pokok Sena itu turut menyifatkan kenyataan Noh itu sebagai seorang yang tidak berpendidikan.

"Ia kenyataan seorang pemimpin yang tidak bersekolah, nampaknya beliau perlu masuk belajar di Tadika Kemas semula," demikian ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.