MB selangor..betul ke cerita ni?

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam kesal kerana sebagai wakil rakyat, beliau sendiri terpaksa menunggu lama untuk bertemu dengan Menteri Besar (MB), Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengemukakan masalah rakyat.

Menurutnya, usaha beliau untuk bertemu dengan MB bagi memberikan gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di kawasan Parlimennya sering menemui jalan buntu kerana beliau hanya dapat berjumpa dengan Setiausaha Politik MB, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Sebagai Exco yang memegang portfolio Pembangunan Tanah, seharusnya lebih prihatin dan memberikan perhatian yang lebih utama kepada masalah yang berkaitan tentang hak pemilikan tanah.

“Beliau perlu membuktikan ketelusan dalam mentadbir. Saya bukan hendak menyerang beliau tetapi MB sepatutnya sedar inilah cara permainan politik dan seharusnya beliau perlu turun padang untuk berjumpa dengan rakyat yang berhadapan dengan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Manikavasagam berkata, kebanyakan rakyat yang datang mengadu masalah yang berkaitan dengan isu tanah ini terdiri daripada orang Melayu.

“Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat. Malahan, saya mendapat laporan isu hak pemilikan tanah ini bukan sahaja berlaku di kawasan Parlimen saya iaitu Kampung Perepat tetapi juga di Batu Arang, Kuala Selangor, Batu Caves, Ampang dan Subang.

“Kes ini sangat serius di mana hak orang miskin telah dirampas. Beliau perlu mengambil tindakan segera supaya tidak akan berlaku penyelewengan terhadap orang yang berhak,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar seharusnya menyelesaikan isu pokok terlebih dahulu kerana lambat laun masalah lain pula akan timbul seperti pencemaran alam sekitar dan sebagainya.

“Beliau adalah MB dan kuasa berada di tangannya. Mungkin beliau takut, saya pun tidak tahu kenapa..,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengakui yang beliau juga terpaksa berhadapan dengan beberapa kesusahan ketika berusaha untuk mengumpulkan maklumat tentang hak pemilikan tanah.

“Pelbagai alasan yang diberikan antaranya, fail hilang, tidak cukup maklumat dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, beliau juga tidak menafikan kejayaan kerajaan PR dalam memperjuangkan hak rakyat seperti memberikan air percuma, bantuan kepada warga emas.

“Apa yang saya harapkan adalah semua kesulitan ini segera berakhir. Kita perlu segera bertindak kerana rakyat telah memilih kita sebagai wakil rakyat kerana mereka mahukan perubahan.

“Jangan sampai mereka bosan dan mengubah haluan kepada pihak yang lama,” katanya lagi.

Sinar Harian 3Julai2009

No comments

Powered by Blogger.