One Malaysia dan Ujian Pahit di Manek Urai

oleh: Mohd Affandi Hassan
Kata slogan One Malaysia: Rakyat didahulukan; pencapaian diutamakan. Inilah slogan lanjutan daripada slogan “Bersih Cekap dan Amanah”, yang juga bergema dalam slogan “Terbilang Gemilang Cemerlang” (atau sekira-kira begitu urutannya; harap dibetulkan jika salah). Dari sudut mana pun dimulai, ketiga-tiga slogan ini tidak bermakna langsung. Misalnya, slogan amanah itu ternyata dibenci oleh para pemimpin UMNO sendiri, dengan membuktikan mereka lebih sukakan rasuah daripada bersikap Bersih Cekap Amanah. Ini mereka buktikan dalam pemilihan mereka yang terbaru diadakan, yang menghukum (mengapa pula dihukum?) tokoh-tokoh yang pernah menjeritkan Bersih Cekap Amanah itu dalam ucapan mereka dengan melakukan rasuah secara besar-besaran dalam pemilihan ketua di semua peringkat.
Slogan Badawi yang terkenal itu pun tidak bermakna apa-apa, hingga pencetusnya dihumban ke luar dari kepemimpinan UMNO oleh Muhyiddin Yassin dan Najib Tun Razak yang juga bosan dengan slogan yang begitu menakutkan mereka. Selepas orang betul baik itu dihumban ke luar gelanggang, maka bergemalah slogan baru One Malaysia, mengambil semangat PPSMI yang menggunakan bahasa Inggeris dengan slogan “Inggeris didahulukan; bahasa Melayu dipinggirkan”. Bagaimana pula slogan One Malaysia tidak bermakna apa-apa dan karut saja? Ini dibuktikan oleh TPM yang secara terang-terang pernah melempar Slogan Badawi dengan tuan-tuannya sekali. Katanya mengulas kekalahan UMNO di Manek Urai: “Kita tak perlu buat jambatan, kerana pengundi tidak mahu.
Tidak pilih UMNO. Jika mereka pilih UMNO, baru kita buat jambatan. Kita ikut kehendak rakyat kerana rakyat didahulukan” (atau sekira-kira begitu dilaporkan, yang betul-betul macam ucapan TPM semuanya berbeza dalam akhbar). Bagaimana kita boleh baca penegasan TPM dalam konteks One Malaysia? Tidak boleh, kerana terang-terang rakyat tidak didahulukan, pencapaian tak diutamakan. Jika rakyat didahulukan, tidak timbul tidak mahu buat jambatan walaupun kalah, kerana kalah atau menang tidak menentukan “rakyat didahulukan” atau tidak. Jika betul rakyat didahulukan, mereka mesti diberikan jambatan yang dijanjikan kepada mereka, lagi pula bilangan pengundi yang mahukan jambatan itu hampir sama dengan yang tidak mahu, berselisih 65 undi saja.

Bolehkah suara mereka dimatikan begitu saja? Jika mereka lembu sekali pun, mereka diberi rumput supaya tidak mati kebuluran. Mereka telah berkorban besar memilih calon UMNO, tidak munasabah sama sekali suara dan kemahuan mereka ditendang begitu saja. Jadi jika rakyat tidak didahulukan, bagaimana pula pencapaian boleh diutamakan? Kedua-duanya mesti bergerak seiring, tidak boleh yang satu ada, yang satu lagi tidak perlu ada. Jadi jelas dari segi logik dan cara berfikir manusia siuman, slogan One Malaysia ini karut, tidak boleh dipakai, bohong dan beracun jika kenyataan TPM dijadikan bukti. Tetapi slogan itu masih boleh dipakai, jika pemimpin UMNO betul-betul beriman dengan ajaran tauhid, yang faham makna taklif dalam kehidupan seorang pemimpin Muslim.
Tidak perlu berjanji apa-apa, mahu buat atau tidak mahu buat berasaskan umpan dimakan atau tidak. Jika umpan tidak dimakan, sungai tidak semestinya ditabur racun, atau airnya dikeringkan, habislah mampus semua ikan di dalam sungai. Oleh itu, jika rakyat memang perlukan jambatan, tidak perlu diumpan mereka dengan jambatan dalam pilihan raya seperti di Manek Urai. Jika memang jambatan itu diperlukan, buat saja, tidak perlu berdolak-dalik. Jika tidak diperlukan, mengapa pula dijadikan umpan untuk mendapat undi? Kamu berkata UMNO pun boleh bawa orang Islam ke syurga jika pangkah UMNO; mengapa pula orang yang pangkah UMNO kamu biarkan, kamu mungkiri janji kamu sendiri dengan membuat keputusan begitu biadab jambatan itu tidak perlu.

Lihat, bagaimana One Malaysia senang-senang makan tuan, jika orang yang menjeritkan slogannya tidak jujur. Semua orang tahu dan mengaku kejujuran itu baik dan dituntut dilakukan oleh semua orang. Kalau benar, mengapa pemimpin politik tidak boleh bertindak jujur? Jahatkah orang yang jujur dan menunaikan janji? Janji itu amanah, bukan slogan yang boleh dipermainkan. Jika kamu tahu janji itu amanah, apa akan jadi kepada kamu jika kamu mungkiri janji kamu? Kamu akan dituduh berbohong, dan pembohong tidak layak menjadi pemimpin. Pembohong hanya layak menjadi pelawak, kerana semua pelawak adalah pembohong besar. Tidak pantas bagi ketua-ketua UMNO senang-senang begitu saja mahu jadi pelawak.

Orang yang tahu serba sedikit tamadun Kelantan, budaya rakyat Kelantan, akan faham bahawa perkataan “pelawak” itu bererti pembohong. Tidak percaya? Tanyalah para pemimpin UMNO Kelantan yang tidak pernah pelawak itu, walaupun ada di antara mereka yang secara tabii suka berbohong.

No comments

Powered by Blogger.