Pemandu treler tak dipengaruhi dadah, alkohol

KULAIJAYA: Pemandu treler yang menyebabkan lima terbunuh termasuk empat sekeluarga apabila kenderaan dipandunya merempuh belakang Proton Wira Aeroback di persimpangan lampu isyarat pekan Kelapa Sawit, Kilometer 42, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, petang kelmarin disahkan bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata pemandu berusia 35 tahun itu sudah diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan alkohol bagi memastikan dia bebas daripada pengaruh kedua-dua bahan itu.

“Berdasarkan keputusan, lelaki berkenaan disahkan tidak mengambil dadah atau di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.

“Bagaimanapun, dia dikenakan perintah reman selama tiga hari, berakhir esok bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.



Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur kecuaian dalam kes berkenaan sehingga menyebabkan kematian lima mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, semua mangsa dalam perjalanan dari Taman Muhibah, Saleng ke Ayer Hitam. Bagaimanapun, kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan kemudian dirempuh sebuah treler 10 tayar yang dipercayai dipandu laju dari arah belakang.

Akibat rempuhan kuat itu, kereta itu tertolak ke depan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori pasir, menyebabkan ia tersepit di antara dua kenderaan berat.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai pegawai Bank Rakyat, Zakaria Marjone, 40, dan isterinya, Hawa Kassim, 40, dua anak mereka, Nor Fatin Nadia, 13 dan Mohd Amirul Fahmi, 10 serta seorang anak jiran, Awaludin Norisham, 1.BH

No comments

Powered by Blogger.