PEMBINA tolak PPSMI
Ucapan Pengerusi PEMBINA, YAB Datuk Hj. Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor, di Kolokium PPSMI, di Bangunan UMNO, Shah Alam, 27 Jun 2009
Bismillah hirrahman nirrahim,
Bismillah hirrahman nirrahim,
Assalam mualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
Saya melanjutkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah subhanahu wataala kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapat saya berucap sepatah dua kata dalam majlis Kolokium PPSMI ini.
Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Tan-Tan Sri, Puan–Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Profesor-Profesor, cendekiawan-cendekiawan, pencinta-pencinta bahasa, Pengarah-Pengarah, Kesatuan-Kesatuan dan Persatuan-Persatuan Guru, Persatuan PIBG, Alumni, Pengarah Pelajaran Negeri atau wakilnya, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengetua-Pengetua, Guru Besar, Guru-Guru, para wartawan dan hadirin sekalian.
Kepada penbentang-pembentang kertas kerja, khasnya Yang Amat Berbahagia lagi amat Mulia, tokoh ilmuan yang tersohor, Profesor DiRaja Ungku A. Aziz, sekalung bunga dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan atas komitmen dan kesudian Pak Ungku menerima undangan PEMBINA bagi merasmikan Kolokium dan seterusnya memberi ucaptama di majlis ini.
Begitu juga kepada Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron, Profesor Datin Dr. Juriah Long dan Prof. Madya Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah, jutaan terima kasih juga saya ucapkan atas sumbangan yang diberi.
Saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama di majlis ini oleh kerana komitmen kerja yang dijadualkan lebih awal. Sesungguhnya saya terasa rugi kerana tidak dapat mengikuti pembentangan dan kertas kerja dan ucaptama Profesor DiRaja.
Terima kasih kita ucapkan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyatakan bahawa keputusan sama ada PPSMI ini akan ditamatkan atau tidak, akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Tan-Tan Sri, Puan-Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
PEMBINA berpendapat dan berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar terhadap pendidikan Negara mestilah dibuat berdasarkan kepada perancangan rapi, tidak dilakukan secara ‘ad hoc.’ Ia mesti dilakukan setelah meneliti hasil kajian ilmiah dan saintifik, serta berlandaskan kepada fakta dan data yang sah dan boleh dipercayai. Fakta dan data yang tepat hanya didapati melalui penyelidikan, penyeliaan dan pencerapan pengajaran dan pembelajaran guru dan murid di bilik darjah. Juga melalui latihan-latihan bertulis dan lisan serta aktiviti murid-murid dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian-andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya. Tidak ada mana-mana Negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, dengan tidak memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia.
Dapatan kajian PEMBINA, dan kajian oleh UPSI yang diketuai oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron serta kajian oleh UKM yang diketui oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long yang akan dibentangkan nanti dengan jelas membuktikan bahawa dasar PPSMI ini amat merugikan negara. Malah kajian-kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Jemaah Nazir Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah juga menunjukkan pola yang sama.
Kajian PEMBINA dalam 90 Sekolah Kebangsaan dan 60 Sekolah Menengah, yang meliputi 15,089 murid dan 553 orang guru (186 SR dan 367 SM) mendapati pelaksanaan PPSMI menimbulkan petaka berganda kepada murid-murid Melayu dan juga bukan Melayu, di bandar dan juga di luar bandar.
Kesan PPSMI akhirnya akan menyebabkan berlakunya kepupusan generasi akibat bertambah ramainya murid gagal Sains dan Matematik di peringkat UPSR dan berlanjutan kepada PMR dan SPM.
Kita perlu menerima hakikat bahawa pelaksanaan PPSMI akan menyebabkan hilangnya identiti bangsa dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Saya amat yakin bahawa penggunaan bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan keputusan yang dicapai oleh murid-murid dalam subjek Sains, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan lain-lain dalam UPSR, PMR, SPM atau STPM. Ini adalah kerana dengan tidak ragu-ragu saya tetap percaya bahawa bahasa Melayu paling berkesan untuk digunakan dan dimartabatkan sebagai bahasa pengantar tunggal sistem pendidikan negara kita.
Bahasa Melayu adalah alat yang terbaik untuk sebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan, mulai dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Buktinya sudah terserlah apabila beribu-ribu pelajar kita BERJAYA dalam semua bidang sains dan teknologi sejak sebelum kita memperkenalkan PPSMI.
Akhir sekali, sekali lagi saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada Pak Engku, semua pembentang kertas kerja dan para hadirin sekalian.
Terima kasih
No comments
Post a Comment