Pemuda Gerakan Mohon Sembah Derhaka Kepada Najib!

Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap demonstrasi besar membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal bulan depan dan akan turut menyertainya.

“Pemuda Gerakan akan menggerakkan sekumpulan ahli Pemuda untuk menyokong perhimpunan aman MANSUH pada 1 Ogos ini bersempena ulang tahun ke-49 pelaksanaan ISA. Begitu kenyataan Ketua Biro Khidmat Guaman dan Aduan Awamnya, Andy Yong.

Menurut Yong, Pemuda Gerakan beriltizam melindungi dan mempertahankan hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UHDR) 1948.

Berani sungguh Pemuda Gerakan. Betul-betul anak bapa. Pemuda Gerakan di bawah Lim Si Pin nampaknya ada kelainan. Selain tidak mendengar suara orang bawahan, dia juga tidak mempedulikan orang atasan. Panas buntut Koh Tsu Koon andainya Pemuda Gerakan betul-betul bersatu dengan MANSUH membantah ISA.

Tahukah Pemuda Gerakan bahawa ISA adalah tiup penyambung nafas BN. Dengan tiup itulah BN boleh survival sehingga hari ini.

BN tidak boleh ditumbangkan kerana adanya ISA. Walaupun asas penubuhannya untuk mempertahankan negara daripada musuh, tetapi BN menggunakannya untuk mencantas musuh politiknya. Sebab itulah ISA mahu diharamkan. Selagi ada ISA, sukar bagi pembangkang mahu menumbangkan BN. Terlepas cakap sikit, walaupun yang terlepas itu benar, akan ditangkap, disoal dan didera. Lebih teruk daripada binatang, kata Tuan Guru Nik Aziz.

Kalau mahu tahu betapa teruknya tahanan ISA, bacalah buku “Dua Wajah” tulisan Syed Hussein Ali. Atau bertanyalah kepada mereka yang pernah menjadi mangsa ISA.

Namun, ISA amat mujarab untuk menutup mulut celupar yang cuba membuka pekung BN. Kerana adanya ISA, bertimbun-timbun rahsia BN tersimpan kaku di dalam kepala Karpal Singh, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim atau Hadi Awang. Kerana adanya ISA juga cita-cita para reformasi untuk mengembalikan demokrasi yang hilang tertunda.

ISA tiup penyambung nafas BN. Sekarang Pemuda Gerakan, parti komponen BN mahu mencabut tiup itu. Mereka mahu membunuh BN demi mempertahankan hak asasi manusia dan kebebasan asas. Patut diberikan tabik. Tetapi betulkah begitu niat sebenarnya? Tiapa apa-apa yang tersembunyi di celah batu dua ketul itu?

Kalau betul Pemuda Gerakan mahu menyertai MANSUH, maka mansuh juga kedudukan Koh Tsu Koon. Beliau sedang sibuk dan pusing kepala menilai KPI, tiba-tiba anak buah sendiri membuat kejutan. Mana boleh komponen BN buat menyertai demonstrasi jalanan menentang dasar kerajaan BN.

Soalnya, kenapa baru sekarang Pemuda Gerakan sedar akan kezaliman ISA? Kalau kesedaran itu datang daripada pucuk pimpinan barunya (Lim Si Pin), ini bererti pucuk pimpinan lama(Mah Siew Keong) tidak ada kesedaran kemanusiaan. Teruknya Saudara Mah Siew Keong yang saya kenal.

Harap-harap tindakan Pemuda Gerakan bukan bersifat pukul anjing, sindir babi. Marah kepada pucuk pimpinan parti, tetapi BN pula yang mahu dikorbankan. Fikir masak-masak Saudara Lim Si Pin. Selantang-lantang Lim Keng Yaik, belum pernah benarkan ahli parti sertai demonstrasi bantah dasar kerajaan.

Bagi UMNO, ISA ialah lambang kekuasaan Melayu. Ini mesti diketahui oleh Pemuda Gerakan. Kekuasaan Melayu datang daripada Ketuanan Melayu. Menentang ISA umpama menentang Ketuanan Melayu UMNO yang buruk padahnya.

Dalam bukunya “Saya Pun Melayu”, Zaid Ibrahim melahirkan keganjilan beliau terhadap UMNO kerana berbangga dengan ISA sebagai lambang kekuasaan Melayu sedangkan tahanan ISA yang ramai ialah orang Melayu. Melayu berbangga dengan kekuasaan Melayu untuk menangkap Melayu!

Barangkali pendirian Pemuda Gerakan kerana mahu menyahut pesanan bekas Presiden, Lim Keng Yaik selepas PRU 2008 yang menegaskan bahawa Gerakan kini tiada sebarang jawatan dalam kerajaan, oleh itu tidak terikat dengan peraturan Kabinet, maka Gerakan bebas mengkritik – tegas dan berani terhadap dasar kerajaan yang difikirkan menyeleweng. Maksudnya zaman Gerakan menjadi “yes man” telah berakhir.

Akan tetapi pesanan itu berlalu setahun sudah. Sekarang Gerakan ada wakil dalam Kabinet. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan menjaga KPI. Ini bukan sebarangan menteri. Tindakan Pemuda Gerakan sertai MANSUH 1 Ogos ini, seandainya benar seperti dilaporkan dalam Malaysiakini, ibarat menconteng arang ke muka Presiden parti.

Melahirkan bantahan terhadap ISA adalah wajar, tetapi menyertai demonstrasi dilihat kurang matang oleh parti komponen yang lain. Ini tindakan derhaka kepada nilai BN – lurah sama dituruni, gunung sama didaki, lautan sama direnangi adalah falsafah BN.

Namun, apabila diperhalusi pendirian pemuda Gerakan adalah selari dengan kehendak Perdana Menteri. Perdana Menteri menggesa umat Islam menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup bagi membina kekuatan, sekali gus dapat muncul sebagai Khaira Ummah (umat yang terbaik). ISA tidak ada dalam al-Quran. Maka kerajaan wajar menghapuskan segera ISA.

Kerajaan tidak boleh menjadi seperti sesetengah orang Islam yang munafik yang selalu bertanya kepada rakannya yang kafir: “Bila kamu nak masuk Islam?” Sendiri pun tidak mengamalkan nilai Islam (menjadi munafik tanpa disedari), ada hati bertanya kepada orang lain kapan mahu memeluk Islam. Maklumlah rakyat Malaysia dibentuk sebegitu rupa oleh kerajaannya yang bernama Barisan Nasional.

satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.