Politeknik Sultan Mizan ditutuo akibat H1N1

KUALA TERENGGANU: Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun ditutup selama lapan hari berkuatkuasa hari ini berikutan empat pelajarnya disyaki menghidap selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajarnya, Khairul Azhar Mohamed, berkata penutupan kampus berkenaan berikutan kebimbangan penularan wabak itu di kalangan pelajarnya.

Beliau berkata empat pelajar berkenaan, yang juga pelajar semester pertama dan mula mendaftar di kampus berkenaan pada 6 Julai lalu, kini dikuarantin di asrama kampus berkenaan.

"Selepas mendapat nasihat daripada Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, kita mengambil tindakan menutup kampus ini serta-merta sehingga 1 Ogos depan.

"Sehubungan itu, pihak Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin telah mengarahkan semua pelajar, pengajar dan kakitangan supaya tidak berada di kawasan kampus untuk tempoh berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berharap dalam tempoh penutupan kampus itu, kerjasama daripada pelajar, kakitangan dan tenaga pengajar diperlukan untuk mematuhi peraturan-peraturan bagi mengawal penularan wabak itu.

Khairul Azhar berkata pendaftaran pelajar lepasan industri yang sepatutnya pada Isnin ini (27 Julai) ditangguhkan sehingga 2 Ogos manakala pelajar lama akan mendaftar pada 3 Ogos depan.

Dua hari lalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun ditutup selama 10 hari bagi mengawal penularan virus berkenaan di kalangan pelajarnya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.