Servis terbaik untuk rakyat- Abe Uji

MANEK URAI BARU, 7 Julai - Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah berjanji akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Manek Urai sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan tersebut.



Ketika menjawab soalan pemberita pada satu sidang media, beliau menegaskan bahawa kemenangan dalam pilihan raya kecil ini merupakan suatu amanah dan tanggungjawab bagi membantu memberikan kemudahan sebagai wakil kepada rakyat.

"Saya bercita-cita untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Manek Urai kerana ia merupakan amanah dan tanggungjawab selepas dicalonkan," katanya.

Pada masa yang sama, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak mengenai hubungan beliau dengan Adun Manek Urai yang terdahulu, Allahyarham Ismail Yaakob yang dikatakan kurang rapat.

"Dakwaan bahawa kami tidak rapat adalah tidak benar kerana saya sememangnya sudah lama rapat dengan arwah paksu Mail," ujarnya.

Ujarnya, beliau yakin bahawa penyokong paksu Mail akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada beliau sebagai pengganti selepas peninggalannya.

Mohd Fauzi yang lebih mesra dikenali sebagai 'abe uji' itu menjelaskan bahawa tumpuan kempen beliau tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.

"Sebaliknya kita akan memberikan tumpuan kepada semua golongan termasuk generasi muda, warga emas tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.

"Alhamdulillah setakat ini kita mendapat sambutan yang baik daripada pengundi di sini," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jentera Operasi PAS Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Abdul Fatah Harun menafikan dakwaan media arus perdana bahawa calon PAS enggan bercakap dengan pihak media seusai proses penamaan calon semalam.

"Kita telah memberikan respon kepada media, dan ianya disiarkan di rtm, Astro Awani dan sebagainya," tegasnya.

Selain itu, pihak Umno-BN kini ujarnya memainkan isu latar belakang pendidikan calon sebagai faktor utama kemenangan seseorang calon dengan menjadikan ianya liabiliti kepada calon PAS.

"Bila dia letak calon yang pendidikan tinggi, dia akan kata calon dia lebih baik daripada kita(PAS).

"Itu adalah strategi mereka yang sudah diketahui umum," demikian ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.