SOKONGAN TINGGI KEPADA KERAJAAN PAKATAN RAKYAT DAN MENTERI BESAR SELANGOR

SHAH ALAM: Satu kajian pendapat yang dijalankan oleh sebuah organisasi bebas mendapati sokongan tinggi daripada rakyat di negeri Selangor terhadap pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.

Pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga mendapat penilaian tinggi dalam kajian tersebut yang sudah dijalankan oleh Merdeka Centre.

Kajian tersebut yang dilakukan di antara 5 Jun dan 15 Jun 2009 mendapati sebanyak 60 peratus daripada rakyat Selangor merasakan Kerajaan Negeri berada dalam hala tuju yang betul.

Sebanyak 63 peratus berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar dengan hanya 19 peratus sahaja yang tidak berpuas hati.

Sebanyak 64 peratus rakyat negeri Selangor berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selepas memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008, manakala 22 peratus adalah tidak berpuas hati.

Mengikut pecahan kumpulan etnik pula, kajian mendapati 59 peratus Melayu, 69 peratus Cina dan 69 peratus India adalah berpuas hati.

Mengikut komen yang diperolehi, antara sebab yang mengapa mereka berpuashati adalah program kebajikan kerajaan, ketelusan dan pentadbiran yang cekap serta menolak amalan rasuah.

Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, Kerajaan negeri sudah memperkenalkan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor termasuklah beberapa program kebajikan seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas, 20 meter padu air percuma kepada rakyat, dana pendidikan anak pekerja ladang dan Hadiah Anak Masuk Universiti.

Dalam urusan pentadbiran ekonomi negeri pula, 58 peratus menyatakan mereka berpuas hati dimana 13 peratus adalah amat berkeyakinan manakala 45 peratus menyatakan yakin.

Kerajaan Negeri sudah mendapatkan perkhidmatan Merdeka Centre untuk menjalankan kajian ini dengan bertujuan untuk menilai pandangan dan persepsi rakyat Selangor terhadap prestasi pentadbiran.

Kajian ini juga mengenalpasti beberapa bahagian yang perlu diperbaiki, termasuk sistem komunikasi, mewujudkan kesedaran tentang program yang sudah dilancarkan, mengurangkan kerenah birokrasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.

Kerajaan Negeri amat berterima kasih di atas keyakinan yang diberikan oleh rakyat Selangor dan dan kepercayaan ini bakal menjadi pemangkin kepada kepimpinan negeri bagi meningkatkan lagi mutu pentadbiran yang berlandaskan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.