Surat terbuka kepada tok guru nik aziz

Tuan Guru Dato’
Hj Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.
Mursyidul Am
Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan,
Kelantan Darul Naim.

Assalamualaikum wbt.

Tuan Guru,

Semoga di ketika ini Tuan Guru berada di dalam keaadaan sihat
sejahtera dan di beri kemudahan oleh yang maha Esa di dalam
menjalankan pentadbiran negeri serta di beri kesihatan yang baik
olehNya untuk Tuan Guru menerusakan usaha dakwah yang tiada
penghujungnya selagi hayat di kandung badan.

Tuan Guru,

Mungkin di saat Tuan Guru membaca warkah ini isu yang hendak di
bicarakan ini sudah menjadi basi, namun begitu saya tetap juga
meluangkan diri untuk menulis warkah ini kerana merasakan kenyataan
Tuan Guru dengan menyamakan kekejaman dan kekejamanUMNO dengan parti
komunis dan sosialis adalah sama sekali tidak betul. Pertama kalinya
saya memohon maaf kiranya isi warkah ini akan tersasar dari fungsi
ilmu yang tidak saya miliki berbanding dengan ketokohan Tuan Guru.
Apatah lagi sekiranya bicara yang akan menyusul nanti berkait dengan
ilmu dan aqidah islam. Namun begitu sebagai seorang yang manusia saya
berkeyakinan bahawa kita semua ini sudah pasti ada cacat celanya.
Sudah pasti kita yang bernama insan ini mempunyai kelemahan.
Bertepatanlah kita yang di jadikan Tuhan ini bergelar hamba kepada
yang menjadikan.

Tuan Guru yang di kasihi,

Seminggu lalu heboh di dada akhbar tentang bantahan UMNo terhadap
kenyataan Tuan guru menyamakan UMNO dengan komunis dan parti sosialis.
Dalam ucapan Tuan Guru, Tuan guru telah menyatakan bahawa umno itu
sesat seperti Ayah Pin, zalim seperti komunis dan tidak percayakan
tuhan seperti parti sosialis. Saya ingin bertanya kepada Tuan Guru
darimanakah Tuan Guru mendapat fakta ini. Apakah minda Tuan Guru juga
masih terjajah dengan pemikiran penjajah. Apakah Tuan guru yang
bijaksana ini juga termakan dengan propaganda penjajah? Saya tidak
hairan kalau kenyataan seperti ini keluar dari ketua pemuda Pas Batu
Kawan kerana dunia sudah sedia maklum bahawa ketua pemuda pas Batu
Kawan satu-satunya ketua Pemuda Pas yang tidak cukup akal tetapi jika
kenyataan itu keluar dari mulut seorang pemimpin yang mursyid ianya
akan menjadi bahan ketawa orang ramai.

Tuan Guru yang bijaksana,

Ketika tuan guru di lahirkan Parti komunis Malaya telah setahun di
tubuhkan dan di saat tuan guru berangkat ke India untuk melanjutkan
pelajaran pada tahun 1952 di Tanah melayu gerakan menuntut kemerdekaan
semakin memuncak. Di ketika Tuan Guru dapat belajar dengan tenang di
Universiti, tahukah Tuan Guru srikandi Shamsiah Fakeh terpaksa
meninggalkan pengajian agamanya di sekolah pondok Masjid Tinggi Bagan
Serai telah bersama-sama menyertai perjuangan rakyat menuntut
kemerdekaan. Tidakkah Tuan Guru berasa beruntung masih ada insan yang
telah sanggup mengadaikan dirinya demi keselesaan orang lain. Abdullah
CD, Musa Ahmad, Rasyid Maiden, Abu Samah dan lain-lain telah memilih
senjata untuk menghalau penjajah dari tanah air. Boestaman,
Dr.Burhanudin, Pak Sako dan pejuang kiri lain telah memilih penjara
sebagai implikasi kepada pejuangan mereka. Mereka menentang penjajah,
mereka menentang umno dan mereka menentang kezaliman.

Tuan Guru yang di muliakan,

Parti yang Tuan guru pimpin sekarang sebenarnya hanyalah di daftarkan
pada 31 mei 1955 untuk menyertai pilihanraya pertama yang di anjurkan
oleh pihak British. Menurut Subky Latif pendaftaran Pas telah mendapat
kelulusan dalam masa yang cukup singkat, mungkin lebih singkat
daripada kelulusan pendaftaran UMNO(Baru) pada tahun 1987. Tahukah
Tuan guru (Tuan Guru memang tahu) di saat Pas belum lahir daripada
perut UMNO tokoh-tokoh sosialis dan komunis telah ramai yang di
penjara malahan sudah ramai yang mati di tali gantung. Mereka ini rela
memilih penjara dan kematian daripada bersekongkol dengan penjajah
seperti bermuafakatnya UMNO dengan penjajah pada ketika itu. Pas
sendiri hanyalah bangun di ketika Tokoh sosialis islam Dr.Burhanudin
al helmy memimpin Pas. Menafikan pengorbanan pejuangan rakyat adalah
sesuatu cukup menjijikan. Menyamakan perjuangan rakyat dengan
perjuangan pro penjajah juga adalah satu perkara yang wajib di kutuk.

Tuan Guru yang rahmati,

Apabila anaknda Tuan Guru di tahan ISA rakyat tanpa mengira fahaman
agama telah bersimpati dengan tindakan zalim kerajaan UMNO/BN menahan
anaknda Tuan guru. Mereka sama-sama berdemo dan ada yang di tahan
kerana membantah akta zalim ini. Mereka-mereka yang membantah itu
bukannya hanyalah ahli Pas tetapi semuanya kecuali UMNO. Disaat
anaknda Tuan Guru berada di dalam tahanan ISA, dia mendapat pembelaan
daripada parti-parti politik, NGO dan orang ramai. Tahukah Tuan Guru
(Tuan guru sememangnya tahu) di saat pejuang-pejuang kiri di tahan ISA
satu ketika dahulu siapakah yang bangun untuk membantah penahanan
mereka? Anaknda Tuan Guru masih beruntung kerana tidak di siksa secara
fizikal oleh SB-SB di pusat tahanan jika hendak di bandingkan dengan
keperitan tahanan-tahanan di tahun 60an dulu, itu pun tahukah Tuan
Guru di kalangan rakan anaknda Tuan Guru yang kononnya pejuang Islam
telah menandatangani perjanjian dengan pihak SB untuk sanggup menjadi
ajen propaganda UMNO di dalam Parti Tuan Guru pimpin sekarang ini.
Dimanakah prinsip Islam yang ada pada rakan anaknda Tuan Turu ini
sehinggakan sanggup untuk menjadi talibarut kepada UMNO parti yang
Tuan Guru tentang selama ini. Bolehkah Tuan Guru senaraikan tokoh
perjuang kiri yang di katakan sesat itu sanggup untuk menjadi agen
UMNO?

Tuan Guru yang fakeh,

Saya merasa sedih bila kenyataan Tuan Guru menjadi bahan ketawa
orang. Bila mana Tuan Guru menyamakan UMNO dengan sosialisme dan
komunisme ianya tealah mengambarkan kerendahan daya intelektual Tuan
Guru. Saya merasa hairan bagaimana Tuan Guru boleh terikut-ikut dengan
tarian UMNO yang dulu kini dan selamanya menipu rakyat. Apakah
rasionalnya Tuan guru menyamakan Sosialisme dan komunisme dengan UMNO.
Apakah kekejaman yang telah di lakukan oleh golongan kiri selama Tuan
Guru mengenal dunia ini? Betulkah Parti Komunis Malaya itu kejam dan
zalim seperti anggapan Tuan Guru? Betulkah golongan mereka yang
berpegang kepada prinsip sosialime itu tidak percayakan Tuhan? Atau
Tuan Guru sendiri tidak pernah faham apa itu komunisme dan sosialisme?
Bukankah Negara kebajikan yang di laung laungkan oleh Parti yang Tuan
Guru pimpin itu bertepatan sama sekali dengan konsep sosialisme dan
komunisme. Apakah yang di katakan sesat dan zalim itu kerana sosilisme
itu memperjuangkan segala perhidmatan seperti perubatan, pendidikan
dan keselesaan tempat tinggal untuk rakyat?

Tuan Guru yang mursyid,

Ketika adanya cadangan daripada parti yang bersekutu dengan parti Tuan
Guru untuk meletakan Calon mereka Dr. Syed Hussin Ali di Parlimen Kota
Baru pada tahun 2004, Tuan Guru dengan sekeras-kerasnya membantah
dengan alasan Dr Syed Hussin Ali ialah seorang sosialis. Betapa
tegasnya Tuan Guru di dalam isu calon di negeri pimpinan Tuan Guru,
tetapi betapa lembutnya hati Tuan Guru bila seorang nasionalis (Betul
ke UMNO ni nasionalis?) memohon untuk menumpang di tangga parti Islam
hanya kerana mahukan kerusi Pasir Mas. Bukankan Tuan Guru mengatakan
semua ideology atau fahaman yang bukan Islam itu sesat? Bagaimana pula
Tuan Guru mudah mengubah hukum dengan sanggup memberi kerusi negeri
Islam kepada seorang nasionalis yang di katakan assobiayah itu?

Bukan Tuan Guru tak tahu selama 6 tahun Dr syed Husin Ali di zalimi oleh
ISA. Apa perlu untuk Syed Husin terus berada di dalam tahanan
sedangkan di luar beliau boleh saja hidup senang lenang dengan jawatan
dan kelebihan intelek yang ada pada dirinya. Apakah Tuan Guru belum
sempat membaca pengalaman Dr Syed Husin di dalam buku Dua Wajah
karangannya? Jika Tuan Guru telah membacanya terlupakah Tuan Guru
berapa kalikah Dr Syed Hussin menolak untuk menandatangani akuan dan
syarat pembebasan yang telah di sediakan oleh pihak Kementerian Dalam
Negeri? Adalah amat malang seorang tokoh yang cukup berperinsip ini di
haramkan untuk bertanding di negeri Kelantan hanya kerana beliau
seorang sosialis sedangkan seorang katak yang telah Tuan Guru sedia
maklum dari dulu, kini dan selamanya mengkhianati Islam di beri
layanan cukup istimewa. Tuan Guru sepatutnya bertanya kepada anaknda
Tuan Guru apakah syarat-syarat yang telah di minta oleh SB ketika
anaknda Tuan Guru dan rakan-rakanya jika mahu di bebaskan segera.

Percayakah Tuan Guru di kalangan rakan-rakan anaknda Tuan Guru ada
yang telah menandatangani perjanjian untuk berkompromi dengan pihak SB
hanya kerana mahu segera dibebaskan. Ya! sepatutnya Tuan Guru
bertanya kepada diri sendiri mengapakah anaknda Tuan Guru paling akhir
dibebaskan berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Ini tidak lain
hanyalah anaknda Tuan Guru enggan untuk berkerjasama dengan pihak SB
tetapi ada antara mereka yang telah sanggup mengadaikan prinsip
perjuangan dan sanggup menjadi ajen SB kini telah menjadi pimpinan
Pas. Si laknat ini kini telah berjaya menyusup masuk di dalam
kepimpinan Pas untuk mencuri maklumat dan memecahbelahkan Pas.
Alangkah hinanya seorang yang mengaku pejuang Islam tetapi sanggup
mengadaikan perjuangan hanya kerana sedikit ujian. Sayang sekali orang
seperti Dr Syed Husin yang berperinsip teguh tanpa boleh di tawarkan
dengan kesenangan memlih untuk tidak mengkhianati perjuangan di
katakana sesat.

Tuan Guru yang di hormati,

Sebenarnya kami sendiri tidak tahu siapakah yang sebenarnya yang di
maksudkan sebagai sesat yang di samakan dengan umno itu. Apakah Tuan
Guru maksudkan secara umum atau kepada orang tertentu. Apakah
rasionalnya Tuan Guru menyamakan mereka-mereka yang sanggup
meninggalkan kesenangan hidup demi menjadi pembela kepada rakyat. Tuan
Guru bandingkanlah gaya hidup pemimpin Pas yang tidak sesat itu dengan
pimpinan parti haluan kiri seperti Dr Nasir Hasim yang memimpin Parti
Sosialis Malaysia sekarang ini. Selama ini rakyat begitu kagum dengan
kesederhanaan hidup Tuan Guru tetapi pernahkah mereka menyelami
kehidupan pemimpin golongan kiri.

Kami juga tidak tahu kekejaman apakah yang telah dilakukan komunis
sehinggakan Tuan Guru berkata UMNO itu kejam seperti komunis. Begitu
mudah Tuan Guru termakan propaganda penjajah dan UMNO tentang
kekejaman komunis. Apakah sama orang yang menentang penjajah dengan
orang yang bersekongkol dengan penjajah? Atau Tuan Guru sendiri keliru
dengan itilah komunis itu sendiri.

Tuan Guru Yang Di Sayangi,

Sebagai seorang yang di hormati dan di anggap guru yang mursyid
sepatutnya Tuan Guru mendapat sendiri maklumat sahih tentang
pergerakan komunis dan perjuangan sosialisme di Malaysia ini. Seorang
guru yang mursyid sepatutnya mendapat maklumat yang sahih daripada
sumber yang betul sanadnya. Maklumat kini sudah di hujung jari.
Layarilah blog-blog yang di kendalikan sendiri oleh anggota PKM untuk
mendapat cerita sebenar dari mereka atau Tuan Guru sendiri boleh
melawat mereka-mereka yang di katakan sesat dan kejam ini di sebuah
perkampungan di selatan Thailand. Jika mereka sesat perbetulkanlah
mereka kerana pintu taubat sentiasa terbuka kepada kita hambanya
sehinggalah nyawa di hujung halkum. Menuduh orang-orang yang terdahulu
yang telah berkorban segalanya untuk apa yang kita dapat pada hari ini
adalah tidak adil bagi kita yang mengaku sebagai orang yang berada di
jalan yang lurus.

Tuan Guru yang di muliakan,

Akhir kata saya memohon maaf sekira warkah jahil saya ini hanyalah
menjadi sampah pejabat Tuan Guru, namun begitu saya tetap merasakan
bahawa ucapan Tuan Guru menyamakan UMNO dengan Parti sosialis dan
Komunis adalah sesuatu yang sama sekali tidak tepat. Tuan Guru boleh
menghukum golongan kiri ini sesat kerana Tuan Guru alim dalam agama
tetapi sejarah pengorbanan mereka hanya Allah saja yang akan
menilainya. Belum ada pemimpin Pas yang di buru barua-barua penjajah
(askar melayu) sehinggakan melahirkan anak di dalam hutan tanpa
pakaian sehelai di badannya dan anaknya yang baru lahir itu tetapi
Shamsiah Fakeh yang dikatakan sesat dan kejam itu telah lalui semua
itu. Apakah Allah tidak tahu?

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua.

Sekian,

Sosialis Hijau.

Sosialis Hijau

http://greensocialis.blogspot.com

No comments

Powered by Blogger.