United janji aksi berbeza
AKSI yang berbeza dengan keputusan yang berbeza.
Itu janji pengurus Manchester United, Alex Ferguson menjelang pertemuan skuad bimbingannya itu dengan pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Selepas hampir dimalukan Malaysia sebelum menang 3-2 kelmarin, Ferguson kini mula menconggak strategi baru dengan membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya ketika menjalani latihan tertutup di padang Majlis Sukan Negara (MSN), pagi semalam.
'Budak baru', Michael Owen yang meledak gol kemenangan United, mungkin akan digandingkan dengan penyerang England, Wayne Rooney di jentera serangan, manakala pemain veteran Ryan Giggs pula akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
"Kami akan turun berdepan pilihan Malaysia sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok (hari ini) dan susunan pemain juga mungkin akan berubah," kata Ferguson.
"Saya akan menurunkan barisan terkuat dan saya jamin pertemuan kedua ini pastinya berbeza dengan aksi pertama semalam (kelmarin)."
Pertemuan kedua dalam siri jelajah pra musim kelab Liga Perdana England itu ke Asia terpaksa diadakan di Kuala Lumpur selepas kunjungan ke Jakarta, Indonesia dibatalkan atas faktor keselamatan.
Bagi Ferguson, perlawanan kedua ini akan menjanjikan persembahan yang berbeza selepas pemainnya sudah mendapat rehat yang cukup setelah mengharungi penerbangan yang panjang sebelum tiba ke Kuala Lumpur Jumaat lepas.
"Pembatalan kunjungan ke Indonesia telah memberi kami lebih banyak masa untuk menjalani latihan.
"Pemain juga akan mendapat rehat yang secukupnya untuk memberi aksi yang lebih bertenaga. Jadi dengan masa yang kami ada sekarang, saya harap pemain dapat menggunakannya dengan baik," kata Ferguson.
Sebaik saja tamat sesi latihan pagi semalam, skuad Manchester United kembali semula ke hotel penginapan mereka, Mandarin Oriental sebelum turun menjalani latihan ringan di gimnasium pada sebelah petang.
No comments
Post a Comment