World Youth Day 2008: Haji Orang Kristian?

oleh: ibn_affandi

wyd

Pengenalan

World Youth Day 2008 (WYD) yang telahpun berlangsung pada 15 hingga 20 julai merupakan event terbesar di Australia untuk tahun ini, dengan pembelanjaan sebanyak 129 juta AUD. Secara kasar, WYD adalah acara yang dianjurkan oleh Catholic Church untuk mengajak muda-mudi kristian di seluruh dunia dalam satu ‘pilgrimage' untuk mengenal dan kembali kepada ajaran agama tersebut. Program ini diasaskan oleh Pope John Paul II pada tahun 1986. Pada tahun ini WYD dihadiri oleh figure terbesar dalam Kristianiti iaitu Pope Benedict XVI

WYD telahpun diwarwarkan di Universiti saya, UNSW seawal semester ke-2 tahun 2007. Saya sendiri tersalah faham dengan perkataan WYD, membayangkan ianya merupakan acara untuk meraikan golongan muda secara umum kerana namanya yang tiada langsung mengaitkan dengan kristianiti bagi sesiapa yang baru mendengarnya.

kelihatan perkataan jesus ditulis di langit dengan menggunakan bantuan kapal terbang sehari sebelum WYD bermula.


Aktiviti Sepanjang WYD

15 Julai, Berlangsung upacara pembukaan dengan ‘Opening Mass' di Barangaroo. Lebih kurang 150 000 pilgrim atau ‘jemaah' majoriti dari luar negara dan Australia berkumpul di sana untuk meraikan acara pembukaan yang seolah-olah seperti sebuah konsert. Berdasarkan maklumat yang diberi di dalam web rasmi WYD, seramai 100000 orang pilgrim berdaftar dari Australia sendiri dan rombongan luar negara paling ramai ialah dari eropah dengan anggaran 54000 orang.

Pada 17 Julai, Pope Benedict XVI tiba di Sydney. Ketibaan beliau disambut baik oleh Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd. Sepanjang kehadiran beliau di Sydney, Pope Benedict selalu diiringi oleh Archbishop of Australia dan sepasukan pengawal peribadi bagi menjamin keselamatan beliau. Kereta yang dinaiki oleh Pope dibuat khas oleh Mercedez-Benz dengan kelengkapan bullet-proof, kemungkinan besar untuk mengelak kes cubaan membunuh Pope John Paul II yang pernah berlaku suatu masa dahulu semasa beliau sedang membuat perarakan umum di Vatican pada 13 Mei 1981.

Sepanjang program WYD berlangsung kelihatan kelibat ‘jemaah-jemaah' mereka bergerak dalam kumpulan seramai 10 -30 orang selalunya mewakili negara masing-masing (mereka akan membawa bendera negara bersama-sama) di sekitar kawasan sydney. Ada diantara rombongan tersebut yang menyanyikan lagu-lagu gereja sambil berarak, seolah-olah seperti jemaah haji yang melaungkan talbiah. Saya juga pernah ternampak rombongan dari Malaysia.

Semasa melawat Circular Quay (tempat terletaknya Syndey Opera House dan Harbour Bridge yang menjadi pujaan pelajar-pelajar Civil Engineering) pada petang 18 haribulan, sedang berlangsung acara ‘lakonan semula' babak penting dalam kehidupan Jesus berdasarkan ‘blibical history', antara babak yang di'highlight' ialah ‘The Last Supper' dan ‘The Agony in the Garden of Gethsemane', iaitu persiapan sebelum Jesus disalib. Saya berkesempatan melihat sendiri seorang pelakon yang melakonkan watak Jesus ( yang kelihatan seperti seorang latin,??) memikul kayu salib dari Sydney Opera House ke Sydney Harbour sambil di iringi dua askar Roman yang lengkap berpakaian dengan kelengkapan era ‘Roman 2nd Age' (yang biasa nampak dalam permainan komputer). Pelakon tersebut kemudian dinaikan di atas sebuah platform dan disalib dengan salib kayu yang dipikulnya, untuk tatapan semua pilgrim yang hadir sebagai memperingati pengorbanan Jesus.


Pada 19 Julai di St. Mary's Cathedral, Pope Benedict XVI melakukan permohonan maaf secara besar-besaran kepada mangsa penderaan sex kanak-kanak yang dilakukan oleh paderi-paderi kristian katolik. Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai suatu kejahatan dan melahirkan perasaan simpati terhadap mangsa-mangsa. Dalam kesempatan itu juga, beliau memohon maaf atas kenyataan yang mengaitkan Islam dan keganasan yang menyebabkan kemarahan dunia Islam terhadapnya pada tahun 2006.

Pada hari malam terakhir program (19 haribulan) hampir semua ‘jemaah' berkumpul di Randwick Racecourse untuk bermalam di sana. Suasana seolah-olah bagaikan di padang Arafah, terdapat khemah-khemah yang juga berwarna putih yang didirikan di sana untuk menampung bilangan jemaah yang dianggarkan seramai 153 000 orang. Randwick Racecourse merupakan pusat lumba kuda yang terkenal di sydney dan bersebelahan dengan UNSW. Aktiviti lumba kuda yang biasa dilakukan pada hari sabtu dihentikan untuk memberi laluan kepada WYD.

Untuk pengetahuan pembaca, Malaysian Hall terletak betul-betul bersebelahan Randwick Racecourse. Saya pada masa yang sama juga sibuk membantu Junior yang baru tiba di Sydney mengalami kesusahan untuk berulang-alik dari rumah ke Malaysian Hall kerana kesesakan lalu-lintas dan banyak jalan yang ditutup.

Kritikan Dalam Australia.

WYD mendapat tentangan dari segelintir penduduk Australia sendiri. Antara kumpulan protes yang kelihatan sepanjang program adalah dari golongan atheist di Australia. Golongan atheist menunjukan tentangan mereka terhadap Pope Benedict yang mengkaitkan Atheism dengan kekejaman dan kerosakan dalam ucapan beliau ketika lawatannya ke Amerika November tahun lepas. Golongan Atheist dan sekular di Australia telah bergabung dan menubuhkan NoToPope Coalition.

Terdapat juga kumpulan protest yang mewakili mangsa-mangsa penderaan sex kanak-kanak yang dilakukan oleh paderi-paderi Catholic di Australia. Kumpulan ini telah menyatakan bahawa terdapat 107 orang paderi/pegawai agama Kristian yang tertuduh dalam kes ini semenjak tahun 1993. Anthony Foster Seorang ayah kepada dua orang anak yang diperkosa melahirkan perasaan kecewa selepas pertemuannya dengan Pope Benedict di St Mary Cathredal, beliau kecewa dengan kata-kata Pope yang hanya mengulangi ucapan kesal Gereja Katolik tanpa menghulurkan sebarang bantuan terhadap mangsa (The Australian).

Sepanjang program berjalan, lebih 300 jalan sekitar sydney terpaksa ditutup untuk membolehkan pergerakkan ‘jemaah'. Setengah penduduk di sydney terutamanya yang mereka yang terlibat dalam perniagaan dan komersial melihat WYD sebagai beban berbanding peluang. Ini kerana banyak jalan-jalan yang ditutup sepanjang program berlangsung merupakan jalan-jalan utama seperti Alison Road, Anzac Parade, Clevekand Street dan Oxford street secara langsung menyekat pergerakan pernigaan mereka selama beberapa hari.

Sistem pengangkutan mengalami perubahan jadual dan ‘route', akibat jalan-jalan yang terpaksa ditutup. Ini menyulitkan pengguna perkhidmatan awam di sydney.

Penutup

Seorang rakan saya sempat berborak dengan salah seorang pilgrim. Rakan saya menyatakan bahawa mereka sangat baik dan ramah. Ini tidak salah, kebanyakan kristian yang bersungguh dengan agama mereka merupakan orang yang baik-baik, dalam hati mereka lahir perasaan sebagai seorang hamba yang ingin patuh kepada Tuhan yang Maha Agung sebagaimana kita Muslim, cuma mereka tidak bernasib baik untuk dilahirkan dalam keluarga Islam dan seterusnya mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Sebagai muslim, kita tidak boleh memandang mereka dengan perasaan jijik dan berbangga-bangga dengan kelebihan kita yang dilahirkan islam. Ingatlah peristiwa syaitan laknatullah yang enggan sujud kepada Adam ketika diperintahkan Allah, berbangga diri kerana diciptakan dari api. Janganlah berbangga diri tapi kita perlulah bersyukur dan merendah diri kerana kita juga tidak mampu memilih untuk lahir dalam keluarga Islam, dan ketika menerangkan Islam kepada mereka perlulah dilakukan secara berhikmah dan berakhlak.

"Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri."
(Al-Ankabut:46)

*******************


Rujukan:

World Youth Day 2008 Official Website, viewed on 3/8/08.

The Australian, <> , viewed on 3/8/08.

Yahoonews, <>, viewed on 3/8/08.

Wikipedia on World Youth Day, viewed on 3/8/08.

Wikipedia on World Youth Day 2008, viewed on 3/8/08.

Wikipedia on Pope John Paul II, viewed on 3/8/08.

No comments

Powered by Blogger.