BAGAN PINANG: Kenyataan Media Presiden PAS

Keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang telah sama-sama kita ketahui, di mana Barisan Nasisonal (BN) telah mengekalkan kemenangan yang telah diperolehi oleh mereka menerusi Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Serentak dengan itu, pelbagai pihak telah memberikan analisa, ulasan, komen dan cadangan masing-masing terhadap keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Apa yang pasti ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek 'politik tempatan dan nasional' untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan.

Sementara itu saya meminta semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari milikan BN.

Hakikatnya ialah kita menyertai pilihanraya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan.

Walauapapun, PAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi yang masih memilih PAS, para petugas parti yang datang dari segenap pelusuk tanahair dan berkampung di DUN Bagan Pinang, orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihanraya kecil ini.


Presiden PAS


Tuan Guru Presiden sedang berada di Syria dan beliau menghubungi Dr Ahmad Samsuri selaku Setiausaha Politik Presiden PAS untuk kenyataan media ini _

No comments

Powered by Blogger.