Bagan Pinang: PAS Redah Ranjau Berduri

Kata orang, SPR sebahagian daripada komponen Barisan Nasional. Kata orang lagi, tanpa SPR sukar bagi Barisan Nasional mengekalkan kuasa sehingga ke hari ini. Rasional juga pernyataan itu kerana setiap kali diadakan pilihan raya, sama ada kecil atau besar ada-ada sahaja peraturan baru yang dikeluarkan oleh SPR. Peraturan baru itu untuk memastikan BN menang, atau kalau BN kalah pun, sekurang-kurangnya tidak kalah 5-0.

Entahlah betul atau tidak, tetapi melihat kepada tindak tanduk SPR kebelakangan ini, pernyataan tersebut seperti ada benarnya. Peraturan terbaru di Bagan Pinang ialah PKR dan DAP dilarang memasang bahan kempen, logo parti dan gambar pemimpin mereka.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kebenaran hanya diberikan kepada parti yang bertanding sahaja.

Jadi, logo PKR dan DAP, poster pemimpin mereka, terutamanya muka Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang tidak boleh ada di Bagan Pinang.

Teruk sangatkah muka dua pemimpin ini sehingga tidak dibenarkan berada di Bagan Pinang? Atau takut askar menjadi fobia kerana teringatkan muka Rashid Maidin dan China Peng?

Kalau muka Wan Azizah dan Teresa Kok lagilah tidak boleh kerana takut tertukar dengan muka Ziana dan Altantuya yang boleh menyebabkan pengundi menjadi keliru.

Muka Hasan Ali tidak mengapa kerana dia ini mesra UMNO. Letak bersebelahan dengan muka Isa Samad pun tidak menjadi hal. Kalau dapat diselitkan muka Ibrahim Ali di tengah-tengah lagilah elok.

Walau bagaimanapun, PKR dan DAP tetap akan meneruskan berkempen dengan mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen yang bermula 3 Oktober ini. Sahabat berlawan dengan musuh mana boleh duduk memerhatikan sahaja. Ini bukan sebarang musuh.

PKR dan DAP turut mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk menunjukkan peruntukan undang-undang yang melarang mana-mana pemimpin atau parti politik berkempen bagi seseorang calon di sesuatu pilihanraya kecil.

Tunggu apa lagi SPR? Orang sudah mencabar, tunjukkanlah undang-undang mana yang dipakai. Atau undang-undang sendiri?

Kali ini Haji Hadi Awang tentu mengarahkan seluruh jentera pilihanraya PAS turun berkampung di Bagan Pinang bagi memastikan calonnya Zulkefly Mohamad Omar menang. Hasan Ali dan gerombolannya di Selangor jangan tidak datang. Sebarkan Islam tulen yang cuba diterapkan di Selangor kepada penduduk Bagan Pinang. Serang Menteri Besar Negeri Sembilan sebagaimana Khalid Ibrahim diserang.

Bukan mudah untuk mengalahkan Isa Samad di Bagan Pinang. Itu kubu kuat dia. Apatah lagi sekiranya pengundi Bagan Pinang tidak mengerti tentang politik wang dan kesannya kepada rakyat dan negara.

Bawalah cerita Teoh Beng Hock, tayangkan kembali video pemuda Melayu pijak kepala lembu, huraikan betapa banyaknya RM12.5 bilion yang hilang dalam PKFZ, ungkit isu pembaziran dalam pembelian kapal selam, tunjukkan mahligai Khir Toyo yang bernilai RM24 juta, ceritakan F1 1Malaysia bakal menghanguskan wang rakyat, pamerkan poster Altantuya bersama anak lelakinya di setiap sudut, anjurkan konsert Ziana Zain, bawa kesemua mangsa ISA ke pentas kempen, lakonkan semula adegan rasuah politik dalam tandas sewaktu pemilihan UMNO tahun 2005 yang melibatkan Isa Samad dan bermacam-macam lagi penyelewengan oleh BN, namun PAS tetap sukar menang.

Kenapa? Kerana sejumlah 4,604 undi pos bakal memihak kepada BN. Negara lain, undi pos dijalankan oleh rakyat yang berada jauh dari tempat mengundi, misalnya berada di luar negera. Pihak kedutaan akan menguruskan undi pos.

Manakala di Bagan Pinang, undi pos melibatkan tentera yang tinggal di tempat yang sama dengan tempat mengundi. Orang Kuala Lumpur boleh balik mengundi di Kelantan, kenapa tentera di Bagan Pinang tidak boleh turun mengundi di depan tangga sendiri?

Baca cerita tentang undi pos di bawah.

(1) PAS mendakwa semakannya mendapati hanya 1,200 daripada 4,604 pengundi pos di DUN Bagan Pinang yang masih tinggal di situ.

Mereka terdiri daripada anggota tentera yang tinggal di Kem Seri Rusa – satu-satunya kem tentera dalam DUN Bagan Pinang.

Manakala yang lainnya merupakan mereka yang pencen atau yang telah berpindah atau berkhidmat di tempat lain, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

“(Bagan Pinang) antara DUN paling besar yang banyak undi pos, yang berdaftar sebanyak 4,604 orang.

“Tetapi semakan PAS sendiri, kita dapati yang benar-benar berada dalam kem Seri Rusa ini, hanya 1,200 orang, ini mengikut semakan kita.

“Maksudnya orang yang ada dalam kem tersebut. Senarainya ada 4,604 tetapi berdasarkan semakan kita ada 1,200 pengundi. Yang lainnya, sebahagian besarnya sudah bersara,” kata Mustafa dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negera, pagi ini.

“Mengikut kaedah pilihanraya, yang tidak tinggal lagi dalam kem, sepatutnya dia mengundi sebagai pengundi biasa, sepatutnya begitulah. – Malaysiakini

(2) Dewan Pemuda PAS hari ini mendedahkan pengakuan seorang pesara tentera yang mendakwa pernah bersubahat memanipulasikan undi pos bagi memberikan kemenangan kepada calon BN sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat menulis dalam blognya Bila Kentong Berbunyi… (www.kentong-suhaizan.blogspot.com) hari ini, bahawa pengakuan itu dibuat sendiri oleh pesara tentera kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menemui wakil PAS pada 28 Ogos lalu.

Suhaizan menulis bahawa pesara tentera itu berkata dia terpaksa berbuat demikian atas arahan pegawainya, yang berdiri di belakang dan memerhati kertas undi dipangkah.- Malaysiakini
satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.