Ciri-ciri pelampau agama

Wacana Islam
Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID
AGAMA adalah umpama pedang yang bermata dua, kedua-dua belah sama tajam. Apabila seseorang itu melaksanakan ajaran-ajaran agama dengan baik maka ia boleh menolongnya menghadapi pelbagai kesukaran dan kesulitan. Jikalau agama itu digunakan untuk tujuan yang tidak baik maka orang itu akan dibinasakan oleh pedangnya sendiri. Sebagai contoh di awal perkembangan agama Islam, golongan Khawarij (kaum pembelot) membenarkan penggunaan senjata atas nama agama untuk mengubah status-quo. Kelompok inilah yang bertanggungjawab atas pembunuhan khalifah ketiga dan keempat Uthman dan Ali r.a.

Mereka berpendapat bahawa adalah kewajipan umat Islam untuk berjihad (mengangkat senjata) untuk menegakkan keadilan sesuai dengan perintah Tuhan. Mereka secara bijaksana memberi tekanan kepada aspek tertentu daripada ajaran Islam tanpa mempedulikan akibat sampingan daripada tekanan tersebut. Sikap sebenarnya kaum Khawarij telah terkeluar daripada landasan agama yang betul dan sunnah yang biasa diamalkan.

Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang mendorong serta menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut. Yang anehnya situasi begini kadang-kadang mendorong sesetengah pergerakan Islam hari ini cuba menampilkan keperibadian seorang insan daripada kalangan orang yang warak. Tetapi hakikatnya mereka melampau daripada batas keadilan dan kasih sayang.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada seseorang, tetapi Dia akan mencabut ilmu dengan cara mematikan para ulama, apabila tidak ada lagi ulama, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang jahil. Ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, lalu mereka memberi fatwa tanpa ilmu. Akhirnya mereka menjadi sesat lagi menyesatkan.

Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ekstrem. Rasulullah s.a.w berjaya meletakkan prinsip-prinsip yang bijaksana dalam menunjukkan sikap kesederhanaannya. Demikian juga para ulama salaf yang mengamalkan dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat.

Golongan pelampau agama merupakan orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Ia merupakan satu tindakan yang terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam.

Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. (Riwayat Ahmad, Nasai, Ibn Majah dan Al-Hakim).

Biasanya golongan pelampau agama dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama. Namun golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya.

Maka inilah taksub yang dibenci di mana ia merasakan dirinya sahaja yang betul, menolak pendapat yang selain daripadanya. Inilah yang dikatakan ciri-ciri pelampau agama yang sebenar. Misalnya dari segi berpakaian yang kononnya menutup aurat iaitu menutup keseluruhan anggota badan dengan kain putih atau hitam (purdah). Sedangkan mengikut pendapat yang masyhur di kalangan para ulama muktabar, menutup aurat bagi wanita bermaksud menutup anggota tubuh kecuali muka dan tangan kerana kedua-duanya bukan aurat kecuali kerana mengelak daripada fitnah semata-mata.

Golongan pelampau agama lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Allah s.w.t memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekasaran. Al-Quran tidak pernah menyebut perihal perlakuan yang kasar dan keras kecuali dalam dua keadaan iaitu ketika di medan perang dan berhadapan dengan musuh, dan sewaktu melaksanakan hukuman yang disyariatkan ke atas orang yang berhak menerima hukuman dan tidak boleh merasa belas kasihan dalam menjalankan hukuman hudud. Umpamanya berzina, apabila cukup empat orang saksi yang beriman yang dapat membuktikan secara sahih, barulah pelaksanaan hukuman hudud harus dilaksanakan.

Sudah menjadi tabiat golongan pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap orang lain serta memandang mereka dengan pandangan yang negatif. Berburuk sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama membesar-besarkan keburukan orang.

Kemuncak kepada ciri-ciri melampau dalam agama ialah mereka menggugurkan hak Muslim yang lain sehingga ke tahap menghalalkan darah sepertimana golongan Khawarij yang mengkafirkan semua orang yang tidak sependapat dengannya pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib. Mereka ini adalah golongan yang paling taat menyembah Allah, berpuasa, mendirikan sembahyang dan membaca al-Quran. Tetapi mereka telah rosak dari segi ideologi dan bukannya jasmani.

- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

No comments

Powered by Blogger.