Doa orang hidup untuk si mati

SOALAN: SAYA anak yatim piatu yang dibela oleh nenek tua sehinggalah tamat universiti dan bekerja. Saya amat sedih dengan kematiannya baru-baru ini. Terasa dunia ini seolah-olah kosong, sunyi tidak bermaya.

Saya terasa lega dan puas dalam diri selepas mendoakan kesejahteraannya setiap kali lepas sembahyang, atau pun membacakan al-Quran untuknya bila berkelapangan, terutamanya di waktu tengah malam.

Adakah usaha saya ini memberi manfaat kepada nenek saya itu? – GORRI ARIS, Ulu Klawang.

JAWAPAN: Soalan yang saudara kemukakan adalah soalan lama yang telah banyak dibincangkan. Walaupun demikian keraguan seumpama ini sering timbul apabila ada golongan yang menafikan manfaat doa daripada mereka yang hidup kepada mereka yang telah meninggal dunia. Pelbagai hujah dikemukakan untuk memperkuatkan pendapat ini yang boleh menyebabkan mereka yang berbuat demikian rasa tawar hati.

Dalam sebuah hadis daripada Auf bin Malik r.a. dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyembahyangkan satu jenazah. Auf telah menghafal doa yang dibaca oleh baginda, yang bermaksud: “Ya Allah, ampunilah akan dia, kasihanilah dia dan anugerahkanlah kesejahteraan baginya. Muliakan tempatnya dan lapangkan tempat bersemadinya. Mandikan dia dengan air salji juga air dingin. Bersihkanlah dia daripada kesalahan-kesalahan seumpama Engkau bersihkan kain putih daripada kotoran.

“Gantikanlah baginya tempat tinggal yang lebih baik daripada rumahnya dan keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, isteri yang lebih baik daripada isterinya dan masukkanlah akan dia ke dalam syurga, serta lindungilah dia daripada azab kubur dan azab neraka.”

Pengajaran yang diperoleh daripada hadis ini ialah manfaat daripada doa yang dilakukan oleh orang yang hidup kepada roh orang yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya, segala perbuatan dan kata-kata nabi s.a.w. itu bukan lahir daripada kehendak atau pun hawa nafsu diri sendiri. Amalan Rasulullah s.a.w. menjadi contoh hukum yang perlu dilakukan oleh umatnya.

Andainya doa yang dibaca oleh baginda itu tidak memberi manfaat kepada roh orang yang berkenaan, bererti bahawa apa yang dilakukan oleh baginda itu hanya sia-sia belaka. Rasulullah s.a.w. tidak melakukan sesuatu yang sia-sia, tidak memberi manfaat dan tidak boleh dilakukan oleh umatnya.

Terdapat hadis-hadis lain menjelaskan tentang amalan Rasulullah s.a.w. yang mendoakan kesejahteraan roh seseorang yang baru meninggal dunia, sama ada ketika baginda melakukan sembahyang atau pun selepas ia dikebumikan.

Dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis daripada Othman bin Affan r.a. ia berkata pernah Nabi s.a.w. apabila sempurna mengebumikan mayat, baginda berdiri berhampiran kubur, lalu bersabda kepada orang ramai yang bermaksud: “Pohonkan keampunan untuk saudara kamu dan mohon ketabahan baginya kerana ia sesungguhnya sekarang ini sedang disoal.”

Pada satu ketika, iaitu pada malam giliran di rumah Sayidatina Aisyah, baginda telah keluar lewat malam ke Baqi’. Baginda berkata yang bermaksud: “Assalamualaikum wahai penghuni Baqi’ mukminin. Akan datang kamu apa yang dijanjikan itu esok. Dan kami insya-Allah akan menemui kami: Ya Allah ampunilah ahli Baqi’ al-Gharqad.”

Dalam al-Quran, surah Nuh: 25 dijelaskan tentang azab yang diturunkan oleh Allah s.w.t. ke atas kaum Nabi Nuh akibat daripada keingkaran mereka terhadap seruan baginda. Nabi Nuh telah berdoa kepada Allah agar Ia tidak meninggalkan seorang kafir pun di atas muka bumi ini.

Andainya Allah s.w.t. membiarkan mereka hidup, mereka pasti akan menyesatkan hamba Allah yang lain. Mereka tidak akan melahirkan zuriat, selain daripada anak yang maksiat lagi kufur. Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Nuh memohon keampunan kepada-Nya. Nabi Nuh telah berdoa memohon keampunan untuk dirinya, kedua ibu bapanya, juga mereka yang telah masuk rumahnya dengan beriman, juga mereka yang beriman kepada Allah s.w.t lelaki dan perempuan.

Dalam surah Ibrahim: 40-41 dijelaskan tentang doa Nabi Ibrahim, yang memohon kepada Allah s.w.t. agar anak cucunya dijadikan Allah manusia yang kekal mendirikan sembahyang. Kemudian baginda berdoa yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, ampunilah akan daku juga kedua-dua ibu bapaku dan seluruh mukminin pada hari kiamat kelak.”

Dalil-dalil di atas yang diambil daripada al-Quran membuktikan bahawa doa orang yang masih hidup itu memberi manfaat kepada mereka yang telah meninggal dunia.

Tercatat dalam surah al-Mukmin: 7-9 tentang perihal malaikat-malaikat yang memikul arasy, juga malaikat yang berada di sekelilingnya, yang bertasbih memuji Allah s.w.t dan mereka yang beriman kepada-Nya, serta memohon keampunan bagi mereka yang beriman, sambil mengucapkan: “Wahai Tuhan kami, rahmat dan ilmu-Mu merangkumi segala sesuatu kerana itu berilah keampunan kepada mereka yang bertaubat dan mengikut jalan-Mu.

“Peliharalah mereka daripada seksaan mereka yang menyala-nyala. Wahai Tuhan kami, masukkan mereka ke dalam syurga yang kekal, yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang yang saleh di antara bapa-bapa mereka, juga isteri-isteri mereka dan keturunan mereka semua.

“Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana dan peliharalah mereka daripada balasan kejahatan. Orang yang terpelihara daripada balasan kejahatan pada hari itu, sesungguhnya Engkau telah anugerahkan rahmat kepadanya. Itulah kemenangan yang besar.”

Dalam surah al-Zalzalah: 6-8 dijelaskan tentang keadaan manusia di hari kiamat kelak. Pada hari itu manusia akan keluar dari kubur masing-masing dalam keadaan yang berbeza untuk diperlihatkan kepada mereka balasan amalan ketika hidup. Mereka yang melakukan kebaikan akan mendapat balasannya, biar pun kebaikan itu sedikit sekecil zarah, begitu juga mereka yang melakukan kejahatan, nescaya akan mendapat balasan.

Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukkan bahawa Allah akan memberi ganjaran di akhirat kelak kepada setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh hamba-Nya. Oleh itu amalan mendoakan roh orang yang dikasihi akan menerima ganjaran Allah s.w.t. kerana amalan itu adalah amalan baik.

Sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Agung dan tidak pernah mengingkari janji-janji-Nya (Ali Imran: 194). Walaupun demikian perlu difahami bahawa anugerah balasan itu adalah atas ihsan dan keagungan-Nya semata-mata bukan atas dasar terpaksa atau pun tergagah.

Dalam sebuah hadis dijelaskan tentang seorang perempuan daripada kaum Bani Juhainah yang datang menemui Nabi s.a.w. menyatakan yang ibunya telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak berkesempatan sehinggalah beliau meninggal dunia. Perempuan ini telah bertanyakan baginda, sama ada dia boleh melakukan haji nazar ibunya.

Mendengarkan pertanyaan itu baginda menjawab menyatakan, “Tidakkah kau lihat, andainya ibumu mempunyai hutang, tentu engkau boleh membayar hutangnya. Sempurnakan hutang Allah. Hutang kepada Allah lebih berhak untuk dibayar.”

Bagi orang yang pernah mengerjakan haji, haji berikutnya adalah sunat. Namun demikian andainya seseorang itu bernazar untuk menunaikan haji, maka haji tersebut menjadi wajib baginya. Bernazar bererti ikatan janji di antara seorang hamba kepada Allah yang wajib dilakukan.

Dalam peristiwa itu perempuan yang bernazar ini tidak berkesempatan menyempurnakan nazarnya, sehinggalah meninggal dunia. Bererti beliau masih tidak menunaikan janjinya kepada Allah s.w.t. sehinggalah meninggal dunia.

Apabila anak kepada perempuan ini bertanyakan tanggungjawab yang tidak terlaksana itu, baginda menyatakan bahawa dia boleh melakukan haji menggantikan nazar ibunya yang masih tidak disempurnakan.

Sesungguhnya hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan atau pun dibayar. Peristiwa yang dijelaskan oleh hadis ini membuktikan bahawa amalan manusia yang masih hidup itu memberi manfaat kepada mereka yang telah meninggal dunia. Andainya tidak memberi manfaat, Rasulullah s.a.w. tidak akan menyuruh perempuan tadi menunaikan nazar haji ibunya yang telah meninggal dunia.

Dalam sebuah hadis Tarmizi, daripada Khans, daripada Ali dijelaskan bahawa Saidina Ali pernah berkorban menyembelih dua ekor kambing kibas. Seekor untuk Nabi Muhammad, manakala seekor lagi untuk dirinya sendiri. Ketika ditanya tentang korban yang dilakukan, ia menjawab bahawa apa yang dilakukan itu adalah suruhan Rasulullah s.a.w. dan beliau tidak pernah meninggalkannya.

Doa yang dipohon oleh seseorang untuk orang lain selalunya dikaitkan dengan kualiti diri orang yang berdoa, yang dianggap sebagai lebih hampir dirinya kepada Allah, membolehkan doa-doanya mudah diperkenankan. Demikianlah yang berlaku dan dimaklumi umum. Namun doa tersebut tidak semestinya dilakukan oleh mereka yang mempunyai maqam lebih tinggi.

Ketika Saidina Omar memohon untuk melakukan umrah, Rasulullah s.a.w. memperingatkan agar beliau tidak melupakannya dalam doa-doanya. Itulah kata-kata yang memberi kegembiraan kepada Saidina Omar, yang tidak dapat dibandingkan dengan kegembiraan lain yang dimiliki.

Peristiwa tersebut dalam tercatat sebuah hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a. Beliau berkata: “Aku telah meminta izin kepada Nabi s.a.w. untuk mengerjakan umrah dan baginda mengizinkannya seraya berkata: Jangan engkau lupakan kami dalam doa-doamu wahai saudaraku. Saidina Omar berkata: Itulah kalimah yang aku tidak akan berasa gembira biar pun diberi dunia kepadaku sebagai gantinya.”

Hakikatnya, doa yang dilakukan oleh seorang hamba dengan manfaat yang diperoleh oleh roh orang yang telah meninggal dunia itu adalah dua perkara atau fenomena yang berlainan. Tugas manusia ialah berdoa, memohon kepada Allah s.w.t. dengan penuh harapan dan keyakinan manakala kemustajaban doa yang dipohon adalah urusan Allah s.w.t. Yang Maha Berkuasa lagi bersifat sempurna. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak pernah mengingkari janji-janji-Nya.

No comments

Powered by Blogger.