Evolusi budaya dalam membaca

Sains
Oleh MIZAM RAHIM

Kita perlu mengakui bahawa masyarakat kita tidak (atau belum lagi) mempunyai tradisi membaca yang kukuh. Mengambil contoh negara maju, tradisi membaca yang kukuh memerlukan masa penekalan yang panjang, beratus-ratus tahun.

Persoalan menekalkan tradisi membaca adalah persoalan budaya. Untuk menerapkan budaya positif kukuh secara tekal dalam jiwa masyarakat, sehingga menjadi adat resam, bukan sedikit jumlah masa yang diperlukan. Menerapkan budaya adalah proses evolusi, perubahan yang diinginkan seharusnya berjalan secara konsisten untuk satu jangka masa yang lama, bahkan sehingga melewati beberapa generasi.

Kemudian, ia akan menjadi sebahagian daripada paten genetik yang dipetakan menerusi zuriat dan keturunan. Maknanya, jika datuk nenek dan ibu bapa kita berupaya mengamalkan sesuatu budaya secara konsisten, ia mempunyai harapan yang cerah untuk diturunkan kepada diri kita dan anak-anak kita.

Tambahan pula kemungkinan untuk budaya ini diamalkan secara terus-menerus adalah cerah sekiranya kita turut dibesarkan dalam persekitaran atau kelompok yang sama-sama mengamalkannya.

Bukankah dalam sains genetik malah dan psikologi, kita diberitahu bahawa sifat-sifat seseorang itu dipengaruhi oleh dua faktor utama, iaitu genetik dan persekitaran? Dalam hal budaya, paten genetik yang dipetakan akan menjadi sebahagian faktor genetik, manakala suasana kita dibesarkan adalah sebahagian daripada faktor persekitaran.

Hujah asas ini adalah mukadimah untuk kita memahami mengapa budaya membaca belum lagi menampakkan tunas-tunas hijau subur dalam masyarakat kita. Kita perlu memahami bahawa amalan membaca karya berat (sama ada fiksyen serius, ilmiah atau hasil kajian berkaitan perkembangan ilmu) perlu dimulakan oleh individu yang mempunyai banyak pengaruh. Faktor pengaruh atau model tentunya menjadi salah satu faktor penting mengapa seseorang itu bersifat atau mengambil sesuatu tindakan. Kerana ada model, maka langkah itu diikuti.

Dalam konteks masyarakat hari ini, setiap orang adalah model kepada sekurang-kurangnya seorang lagi insan dalam dunia ini. Seorang bapa atau ibu adalah model kepada anak-anaknya, guru model kepada pelajarnya, penyanyi model kepada peminatnya, jurutera model kepada pekerja-pekerja kilangnya, dan diri kita ini adalah model kepada kawan-kawan baik kita.

Cetuskan azam dalam diri kita sebagai model-model positif ini untuk membaca. Kalau tidak pun, bercakaplah fasal buku, isinya, pengarangnya atau apa sahaja. Apabila dimulakan dengan sedikit percakapan, walaupun dalam masa lima minit mengenai buku setiap hari, orang yang mendengar akan lama-kelamaan `teracun’ dengan apa yang kita sogokkan.

Salah satu cara untuk membina budaya adalah melalui komunikasi. Secara verbal melalui percakapan dengan orang lain. Atau kita boleh mulakan dengan singgah `sekejap’ di kedai-kedai buku dan membelek buku-buku `berat’. Ini dilakukan walaupun kita tidak membeli atau membacanya, setiap kali kita pergi membeli-belah dengan kawan-kawan atau keluarga.

Teknik-teknik yang nyatakan di atas membawa kesan positif, walaupun memerlukan masa untuk membentuk kelompok-kelompok rajin membaca di kalangan kawan dan keluarga.

Kajian yang dilakukan, suatu ketika dahulu, oleh Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat mendapati bahawa pelajar-pelajar yang cemerlang dan mendahului rakan-rakan mereka yang lain dalam tahun-tahun awal persekolahan terdiri daripada yang telah tahu membaca sebelum bersekolah lagi. Rumusan kajian ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa berperanan besar dalam memperkenalkan A, B, C, dan buku-buku kepada anak-anak, jauh lebih awal sebelum anak-anak melangkah ke sekolah dn bertemu guru.

Cinta kepada amalan membaca buku yang tidak hanya menumpu kepada karya-karya popular yang ringan dan santai, tetapi lebih kepada mahakarya berat dan perlukan introspeksi, adalah proses penyebatian sikap dalam diri. Budaya ini adalah berkaitan secara terus dengan cara, sifat dan persepsi diri individu. Justeru penulis tidak percaya kepada kenyataan bahawa budaya membaca mahakarya berat boleh diubah dalam sehari dua, atau seminggu dua, menerusi kursus-kursus motivasi atau beberapa program menyentakkan kesedaran tertentu.

Jika ini berlaku, penulis percaya, paling lama pun seseorang itu boleh berubah dan tekal meminati buku-buku berat adalah dalam masa setahun dua. Lama kelamaan, motivasi itu akan luntur dan individu tersebut seolah-olah kehilangan momentum peribadi untuk melandaskan semula daya bacaannya.

Caranya adalah dengan evolusi membaca. Sedikit demi sedikit, secara beransur-ansur. Syarat pertama yang perlu kita terima adalah, jangan letakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap hasil yang kita jangkakan. Katakanlah, wawasan kita dalam masa tiga tahun ini adalah untuk merekrut 10 orang rakan kita untuk rajin membaca dan cintakan buku. Selepas tiga tahun, janganlah kita terlalu berharap yang kesemua 10 orang tadi akan bertukar menjadi ulat buku. Mungkin yang benar-benar menjadi adalah sekitar tiga atau empat orang sahaja. Dan ini pun sudah cukup baik untuk kita jadikan model kepada setiap satunya 10 orang lagi.

Menggerakkan budaya membaca melalui revolusi besar-besaran mungkin berkesan jika dilihat secara kuantitatif. Zahirnya, kaedah ini mungkin mampu melahirkan individu-individu yang menekuni buku, sekali gus menjana perkembangan industri perbukuan dari sisi komersialisasi. Atas tiket ekonomi, pertumbuhan positif dua angka yang bakal tercatat seolah-olah menampakkan bahawa tradisi membaca dalam sesebuah masyarakat adalah `rancak’ dan hidup dengan suburnya.

Hakikatnya, menggerakkan secara revolusi tidak lebih dari sekadar lipstik dan `make-up’ sahaja. Tidak ada jiwa dan roh dalam perlakuan tersebut. Sana sini orang membaca kerana `terpaksa’ atau ada ganjaran untuk aktiviti itu. Dalam kata lain, ia akan menjadi perlakuan yang tidak ikhlas.

Maka, tidak ada unsur-unsur penyerapan ilmu dan falsafah secara kolektif dalam diri orang yang membaca. Pembaca tidak menjiwai apa yang dibaca. Apabila gagal untuk menjiwai, maka apa yang ditulis dalam helai-helai halaman buku tidak mampu untuk ditafsir kembali, diungkapkan dalam gaya sendiri atau digunakan untuk tujuan menyelesaikan pelbagai kemaslahatan hidup.

Lama-kelamaan, kita akan mengalami susutan nilai tamadun dan kerugian akibat krisis sosial. Ramai orang akan merasakan mereka adalah ilmuwan, kerana mereka boleh menyenaraikan kembali berjela-jela naskhah yang telah mereka baca. Mereka juga mampu menyebut kembali apa yang telah dibaca (tanpa tafsiran sendiri), seperti burung kakaktua yang diajar bercakap.

Melimpahnya orang semacam ini dalam masyarakat akan menyebabkan kita menghampiri fenomena brain-drain. Kita mampu malah berkeupayaan melahirkan pemikir-pemikir, intelektual, mahupun cerdik pandai, tetapi revolusi membaca (jika ia dilaksanakan) bakal melahirkan hanya penghafal-penghafal buku yang terkandung di dalamnya segala macam teori, huraian, fakta atau analisis orang lain.

Sebab itulah kita sebenarnya memerlukan satu proses evolusi; terancang, sistematik dan menyerap secara kukuh ke dalam akar umbi sistem masyarakat, dalam usaha melahirkan individu-individu yang benar-benar menghayati falsafah membaca. Apabila perkara ini dilaksanakan, kita bakal mempunyai anggota masyarakat yang `berisi’, kerana di dalamnya terkandung ahli – ahli yang mampu menggunakan kembali apa yang dibaca.

Kita bergerak ke arah masyarakat berteraskan kepenggunaan (aplikasi), dan bukan semata-mata hidup hanya untuk berteori sahaja. Banyak masalah dalam hidup yang perlu diselesaikan segera. Masalah-masalah ini tidak mungkin dapat diselesaikan jika kita mencekup bulat-bulat teori-teori dalam buku, tanpa ada pemikiran semula, penyesuaian dan penilaian bercorak pragmatis – realisme.

Mengapa kebanyakan orang akan hilang momentum membacanya selepas tamat belajar? Kita boleh kelaskan fenomena ini sebagai penyakit sosial atau krisis intelektual. Tentu ada sesuatu yang tidak kena pada sistem nilai dan budaya masyarakat kita. Masalahnya sekarang, punca-punca konkrit yang menyebabkan fenomena ini berlaku, belum lagi digali secara tuntas. Belum ada lagi satu hujah konkrit yang munasabah, dibuktikan dengan fakta-fakta yang kukuh, terhadap persoalan mengapa orang hilang minat membaca.

Apa yang kita ada sekarang cumalah beberapa faktor yang bersifat andaian atau spekulasi. Andaian ini, kerana sifatnya yang tidak dicabar dan seolah-olah menghampiri teori, maka ia diterima umum untuk diguna pakai semenjak sekian lama. Justeru, apabila ada orang yang bertanya kepada kita mengapa orang hilang minat membaca, kita sebenarnya menjawab dengan alasan atau sebab yang bersifat andaian juga.

Sebenarnya, masyarakat tidak nampak kesan atau faedah langsung bersifat material daripada amalan rajin membaca ini, selain untuk lulus dalam peperiksaan. Selain tujuan ini, apa lagi kesan serta merta yang ketara? Apa yang kita dapat menerusi amalan membaca karya-karya serius adalah terlalu luas. Keupayaan akal untuk menjalin tele-idea yang konkrit dan membina daya tahan kendiri melalui input idea adalah sebahagian daripadanya. Malangnya, ia tidak bersifat material.

Rumusan akhir yang dapat diberikan adalah: Terlalu banyak faktor `andaian’ yang wujud di sekeliling kita sehingga menyebabkan kita tidak mampu menjana amalan membaca karya serius dalam kehidupan kita. Namakan apa sahaja faktor itu; sistem pendidikan yang dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan berteraskan hafalan, harga buku yang juga dirunguti terlalu mahal, budaya hidup yang tidak mementingkan kesungguhan dan keseriusan, tarikan keseronokan atas tiket hiburan dalam kehidupan sehinggalah kepada sindrom melihat orang yang rajin membaca sebagai orang `skema’ dan `seperti budak sekolah’.

No comments

Powered by Blogger.