'Hati-hati dengan kaki bodek PM'

Wakil Kelantan hari ini memberi pesanan kepada 'kaki bodek PM' dan juga kepada wakil Terengganu semalam yang merendah-rendahkan keupayaan Umno Kelantan untuk merampas semula negeri tersebut yang kini dikuasai PAS.

Datuk Noor Zahidi Omar, ketika membahas ucapan dasar presiden hari ini berkata perdana menteri perlu mengambil sikap berhati-hati dengan 'kaki bodek' dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"...Saya nampak banyak sekali GLC pergi ke kawasan PM hulur zakat punya banyak. Takkanlah di kawasan PM banyak orang miskin. Tapi kenapa sejak beliau jadi PM saja, banyak GLC hantar zakat," katanya lagi.

"Saya rasa PM Kena hati-hati dengan kaki bodek. kalau mereka ayik hulur bantuan ke kawasan perdana menteri, hanya kawasan PM yang akan menang, tapi kawasan lain akan kalah. Takut dia tak boleh jadi PM lagi selepas ini," kata Noor Zahidi lagi.

Beliau turut menempelak wakil Terengganu Datuk Dr Haji Rosli Mat Hassan semalam, yang berkata Kelantan tidak mampu merampas semula negeri itu daripada PAS, walaupun hanya berdepan dengan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

"Terengganu pun bukan kita tak tahu macam mana boleh menang. Wang ehsan banyak tuan-tuan," kata Noor Zahidi disambut gelak ketawa para perwakilan.

"Hari raya bagi wang ehsan, bagi basikal macam-macam. Bagi duit macam itu macam mana tak boleh menang?" katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan Umno Terengganu supaya mengambil iktibar daripada ucapan presiden semalam yang menuntut Umno supaya tidak berlagak sombong atau kejayaan yang dicapai.

"Walau kita berjaya, walau kita berada di atas, kita mesti sentiasa tawadduk, jangan sombong, jangan bongkak," katanya lagi.

"Memang selayaknya kita dihina tapi berkat kesepakatan dengan bantuan Allah, bantuan presiden, timbalan presiden dan Majlis Tertinggi kita, Insyaallah yang hina boleh jadi mulia," katanya lagi.

Jelasnya lagi, kekalahan yang dialami BN dalam pilihan raya di Kelantan pada 2008 disebabkan oleh tindakan sesetengah pemimpin di situ yang tidak berpuas hati apabila tidak dicalonkan.

"Datuk Ibrahim Ali ini kalau tak jadi calon, kalau nak bertanding jugak, biarlah dia bertanding. Saya rela berkorban beri kerusi saya," kata wakil rakyat Pengkalan Kubur itu.

"Sebelum nak mati ni nak tengok juga Kelantan diperintah BN dan Umno," katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.