Kalah tidak jejas reputasi Pas: Azizan

ALOR SETAR - Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Ahad lalu tidak menggugat kedudukan Pas kerana jumlah undi Pas melebihi 2,000 undi, iaitu jumlah yang melebihi jangkaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, jumlah undi terhadap calon Pas yang melebihi daripada jumlah jangkaan itu adalah satu pencapaian yang baik dan beliau turut berasakan rakyat di kawasan itu juga telah memberikan kepercayaan terhadap Zulkefly Mohamad Omar termasuklah kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Pas.

Menurutnya, kemenangan yang berpihak kepada BN itu bukanlah kerana kelemahan pada calon mahupun Pas itu sendiri tetapi kemenangan yang diperoleh itu disebabkan kawasan itu adalah kawasan yang melibatkan jumlah pengundi pos yang ramai.

“Saya tidak berasakan ini kekalahan yang disebabkan oleh kelemahan Pas tetapi BN menang di kawasan itu kerana kawasan itu ramai pengundi pos sebab itulah mereka menang.

“Bagi saya juga, kekalahan ini bukanlah kekalahan yang mematahkan semangat Pas malah ia akan memberikan semangat kepada Pas dan kekalahan tempoh hari juga bukanlah satu kekalahan yang akan berterusan untuk pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Pas langsung tidak berasakan kekalahan ini bersifat kekal kerana setelah tujuh pilihan raya kecil diadakan ini adalah kekalahan yang pertama Pas sekali gus memberikan kemenangan kepada BN.

Azizan berkata, sekiranya pilihan raya kecil Kota Siputeh diadakan nanti, beliau akan memastikan kemenangan BN di Bagan Pinang itu akan dirampas semula oleh Pas.

No comments

Powered by Blogger.