Lambaian Kaabah semakin menggamit

LAMBAIAN Kaabah terbayang-bayang. Musim haji telah tiba lagi. Umat Islam di seluruh dunia mula berkumpul di tanah suci Mekah untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima. Setiap tahun, berjuta-juta umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan akan bersatu dan melakukan ibadat tanpa mengira darjat.

Bagi umat Islam di negara ini, urusan pemergian menunaikan ibadat haji akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji atau agensi-agensi pelancongan yang mendapat pengiktirafan daripada agensi tersebut.

Bagi bakal-bakal haji, mempelajari selok-belok mengenai cara-cara menunaikan haji yang Mabrur adalah satu aktiviti yang sentiasa dilakukan sama ada dengan menghadiri kursus Tabung Haji, membaca buku/kitab, menonton video dan sebagainya.

Bagaimanapun, perkembangan Internet telah menambahkan lagi platform pembelajaran golongan bakal haji. Tabung Haji melalu anak syarikatnya, TH Technologies Sdn. Bhd. telah membangunkan satu gerbang maklumat mengenai maklumat Islam, terutama berkaitan urusan haji dikenali sebagai Haj-e.com.

Laman utama gerbang ini memaparkan mengenai panduan haji dan umrah, perjalanan jemaah, perkhidmatan, keterangan am, forum dan maklumat mengenai gerbang Haj-e.

Dalam bahagian Panduan Haji & Umrah, laman ini membahagikan pula kepada bahagian Pengenalan, Penerangan, Mengerjakan Haji, Umrah, Dam, Ziarah, Soal-jawab dan Ujian Kefahaman.

Bahagian Pengenalan memberi maklumat mengenai sejarah, hikmah dan Haji Mabrur. Bahagian Penerangan pula memberi maklumat mengenai perbezaan haji dan umrah.

Bahagian Mengerjakan haji pula membahagi-bahagikan jenis-jenis haji kepada tiga jenis iaitu Haji Ifrad, Haji Tamadttu’ dan Haji Qiran. Setiap jenis haji akan diterangkan dengan terperinci. Begitu juga dengan bahagian mengerjakan Umrah.

Dalam bahagian Dam pula, pengguna diberikan maklumat mengenai pelbagai perkara berkaitannya seperti sebab-sebab diwajibkan dam dan bagaimana melaksanakannya.

Bahagian Ziarah menerangkan mengenai tempat-tempat bersejarah dan adab ketika mengunjungi Mekah dan Madinah. Makam Rasullulah dan para sahabat serta masjid-masjid bersejarah merupakan tempat-tempat yang tidak harus dilepaskan ketika berada di negara kelahiran para nabi tersebut.

Untuk pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat lanjut terutama berkaitan persoalan-persoalan yang timbul, bahagian Soal Jawab memaparkan pelbagai isu dan persoalan yang timbul ketika menunaikan ibadat tersebut. Bermula dari memakai Ihram sehinggalah kepada Wuquf, pelbagai isu ditimbulkan beserta dengan jawapannya.

Satu lagi bahagian yang menarik di laman web ini ialah Ujian Kefahaman. Pengunjung diberikan soalan-soalan untuk dijawab dan akhirnya markah keputusan ujian tersebut akan diberikan.

Bahagian Perkhidmatan dijangka akan mampu memberikan maklumat yang lebih terperinci mengenai jadual kursus haji, jadual penerbangan, aktiviti haji dan umrah di tanah suci, butir perjalanan jemaah dan penempahan pakej umrah. Bagaimanapun, ketika kunjungan Utusan Megabait Selasa lepas, kebanyakan maklumat di bahagian ini belum dikemaskinikan.

Ruangan Forum pula memberi peluang kepada pengunjung untuk berkongsi pengalaman, mengemukakan kemusykilan, berbincang dan memaklumkan sebarang perkaran berkaitan ibadat haji/umrah.

Secara keseluruhan gerbang web sangat menarik dan bermanfaat kepada bakal-bakal haji dan juga umat Islam yang ingin mempelajari mengenai ibadat tersebut. Reka bentuk dan grafik yang dipaparkan juga agak menarik yang memudahkan pengguna mendapat terus kesan daripada maklumat diberikan.

Bagaimanapun, setakat ini, gerbang ini masih menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan dijangka akan memperkenalkan pelbagai bahasa lain tidak lama lagi. Jika anda ingin mendapatkan maklumat mengenai haji dalam bahasa Inggeris anda boleh juga mengunjungi satu laman web di http://www.haji.com.

No comments

Powered by Blogger.