Memartabatkan tamadun Islam

Oleh: AIZAWATI AHMAD

KEINDAHAN dunia Islam terlalu luas untuk dihuraikan satu per satu.

Keistimewaan itu bukan sahaja terletak pada agamanya malah kemajuan Islam itu sendiri dalam bidang ilmu, seni bina, sains dan teknologi serta kesusasteraan tidak dapat kita nafikan lagi.

Ternyata kedudukan Islam itu terlalu unggul di kaca mata antarabangsa dan ramai golongan cerdik pandai dari seluruh pelosok dunia menjadikan Islam sebagai bahan kajian mereka.

Malah kelahiran tamadun Islam sebagai salah satu tamadun yang unggul dalam sejarah peradaban dunia adalah satu realiti yang sering mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Hasil warisan dan budaya peninggalan seniman tamadun ini banyak memberi pengajaran dan kefahaman kepada masyarakat mengenai sejarah Islam itu sendiri.

Ketua Pemasaran dan Perhubungan Muzium Kesenian Islam Malaysia, Saadah Sheikh Mahmud berkata, dalam usaha memartabatkan keagungan tamadun Islam Yayasan Albukhary dengan sokongan penuh kerajaan telah membina sebuah muzium yang dikenali Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Menurut beliau, pada asalnya muzium tersebut telah diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

“Hasrat Perdana Menteri akhirnya menjadi kenyataan apabila Yayasan Albukhary menyuarakan hasrat membina muzium ini,” katanya.

Beliau memberitahu, Muzium Kesenian Islam Malaysia adalah satu-satunya muzium seumpamanya di rantau Asia Pasifik yang dibina khas untuk mempamerkan artifak-artifak Islam.

Muzium itu telah mula beroperasi di sebuah bangunan cantik dekat Masjid Negara, Kuala Lumpur sejak Disember 1998 dan para pengunjung yang datang rata-ratanya golongan pelajar.

Keluasan kawasan pameran meliputi 270,000 kaki persegi merentangi empat aras yang dikhaskan untuk artifak dan dua galeri khas.

Saadah menambah, artifak yang dipamerkan di Muzium Kesenian Islam diambil dari serata dunia.

Ia juga dikumpul dan dipamerkan mengikut beberapa tema yang telah ditetapkan.

Antaranya ialah kesenian masjid yang memberi tumpuan kepada mihrab dan mimbar.

Mihrab merupakan fokus utama dalam setiap masjid dan ia terletak pada sebuah ruang kecil yang menghala ke arah kiblat manakala mimbar pula ialah tempat imam menyampaikan khutbah.

Selain itu, replika mini seni bina Islam turut dipamerkan di galeri kesenian reka bina antaranya termasuklah model Taj Mahal, masjid, Muzium Imam Ismail Al-Bukhari dan Makam Amir Timur.

Di bahagian aras tiga muzium itu terdapat bilik Standard Chartered Uthmaniah yang indah dan pastinya mengundang rasa kagum di kalangan para pengunjungnya.

Muzium tersebut turut memiliki sebuah bilik yang dibina semula secara terperinci dengan menggunakan bahan dan objek yang terdapat pada era Empayar Uthmaniah (1453-1923), yang pada umumnya dianggap sebagai Zaman Pembaharuan Kesenian Islam.

Para pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat lagi koleksi artifak Islam yang luar biasa di sudut galeri kesenian Islam dunia China.

Galeri tersebut mempamerkan sebanyak 30 juzuk al-Quran ditulis tangan pada abad ke-17 yang dipercayai berasal dari Dinasti Ching iaitu sebuah pentadbiran beraja terunggul di negara China.

Di samping itu, para pelawat perlu menggunakan peluang keemasan untuk melihat sendiri rekaan tembikar Islam yang inovatif dan dinamik yang dicipta pada awal abad ke-9 di galeri tembikar dan kaca.

Sesungguhnya rekaan unik itu mencerminkan gambaran sebenar pemikiran masyarakat pada zaman itu yang memiliki ketajaman minda dan daya cipta yang tinggi.

Sementara itu, orang ramai yang menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Muzium Kesenian Islam Malaysia juga dinasihatkan supaya tidak lupa meneliti struktur binaan dan rekaan dalaman muzium berkenaan.

Menurut Saadah, reka bentuk muzium tersebut mempunyai ciri-ciri seni bina Islam yang unik.

“Muzium ini mempunyai lima buah kubah. Empat buah kubah boleh dilihat dari luar sementara sebuah lagi telah direka terbalik dan ia hanya boleh dilihat dari dalam muzium,” ujarnya.

Beliau berkata, rekaan-rekaan seni muzium itu mendapat sentuhan jurubina-jurubina yang diimport dari Iran dan Uzbekistan selain dibantu tenaga kerja tempatan.

Malah apa yang lebih menarik ialah setiap kubah turut dihiasi dengan ayat-ayat suci al-Quran

Pada kubah utama terdapat ayat 35 Surah An-Nur yang membawa maksud sungguh indah iaitu:

Allah pemberi cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca, kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, dinyalakan dengan minyak dari pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah mengetahui segala sesuatu.

Selain galeri, Muzium Kesenian Islam Malaysia juga mempunyai kemudahan seperti auditorium, restoran dan kafe, kedai muzium, perpustakaan kanak-kanak, teres rehal, teres pemandangan, taman pancutan air, bengkel pendidikan seni dan bilik previu.

Bayaran masuk ke muzium tersebut ialah RM8 untuk orang dewasa, warga tua (warganegara Malaysia) RM4, pelajar sekolah beruniform (tidak kurang daripada 30 orang) RM3, manakala kanak-kanak bawah enam tahun masuk secara percuma.

Muzium itu dibuka pada hari Selasa hingga Ahad pukul 10 pagi hingga 6 petang.

“Buat masa ini sambutan daripada masyarakat agak perlahan.

“Masalah pengangkutan awam yang tidak melalui kawasan ini menyebabkan orang ramai sukar untuk datang ke sini malah papan kenyataan mengenai muzium juga tidak mencukupi,” jelas Saadah.

Dalam usaha menarik pelancong tempatan dan asing berkunjung ke muzium tersebut, masalah pengangkutan awam sepatutnya tidak timbul sekiranya pihak yang bertanggungjawab lebih prihatin.

Ini adalah kerana Muzium Kesenian Islam turut berperanan sebagai penyimpan, pembaik pulih, pemelihara dan pendidik kesenian Islam supaya generasi alaf baru tidak terasing untuk mengamati dan menghargai keindahan kesenian Islam yang amat berharga.

No comments

Powered by Blogger.