Pergorbanan askar (pengundi pos) diperlukan di Bagan Pinang

Oleh LanH

Pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober ini membabitkan hampir 5,000 pengundi pos yang kebanyakannya adalah askar, polis dan keluarga mereka.Mereka adalah dua pilihan – memilih calon yang belum pernah didakwa apatah lagi didapati bersalah dalam rasuah atau memilih calon yang didapati bersalah melakukan politik wang (rasuah) oleh partinya sendiri sehingga dilucutkan jawatan tertinggi parti dan kerajaan


Pilihan adalah di tangan anda. Tetapi ingat-ingatlah kuliah-kuliah agama yang kita pelajari selama ini. Tok-tok guru dan ustaz sering mengingatkan di akhirat, malah di dunia lagi, manusia ditempatkan bersama-sama orang disayangi dan dicinta mereka termasuk pemimpin. Di akhirat, orang baik-baik akan ditempatkan bersama-sama para nabi, sadikan, solehin dan syuhada; manakala orang jahat akan ditempatkan bersama Firaun, Hamman, Qarun, Abu Lahab, Abu Jahal dan sahahat-sahabat mereka.

Di dunia ini anda boleh pilih untuk bersama perasuah, penyamun, perompak, pencuri (pemaling), perogol, penzina dan penindas rakyat (termasuklah mereka yang bagaikan musang berbulu ayam, zahirnya nampak baik); tetapi ingat di akhirat nanti anda akan ditempatkan dengan segala bapak penjahat dan pendusta.

Demikian juga di dunia ini jika anda memilih orang salih dan baik-baik untuk menjadi pemimpin dan berkawan dengan mereka, INSYA-ALLAH (saya tidak kata anda sudah dijanjikan syurga), di akhirat nanti akan ditempatkan bersama-sama dalam kumpulan orang diredai-Nya. Bukankah pada doa kita, kita sering meminta ditempatkan bersama-sama orang beriman dan golongan diredai-Nya.

Jika dulu pengorbanan guru berhasil dalam beberapa pilihan raya kecil, kini tiba anggota pasukan keselamatan membuat pengorbanan. Berikut disiarkan artikel lama saya mengenai keberkesanan (pemansuhan PPSMI) apabila guru membuat pengorbanan.

Mansuh PPSMI: Pengorbanan guru diperlukan di ‘dua bukit’

Penulis percaya warga pendidik dan anak buah mereka telah berperanan paling hebat pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu bagi membolehkan calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas teruk dengan majoriti 2,631 kepada calon PAS (Pakatan Rakyat), Mohd Abdul Wahid Endut yang mendapat 32,883 undi.

Syabas warga guru; protes anda sekalian secara senyap melalui peti undi bagi mengajar pemimpin BN yang terus angkuh dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah berhasil dan kini perjuangan perlu disemarakkan pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Bukit Selambau, 7 April ini.

Protes secara senyap ini adalah sejajar dengan saranan Sasterawan Negara (SN), A Samad Said yang meminta rakyat menggunakan kuasa undi mereka supaya jangan memilih Umno-BN pada pilihan raya kecil itu nanti.

“Apabila adanya pilihan raya, anda semua gunakan kuasa undi dan undi siapa saja tapi jangan undi Umno,” katanya yang pada 7 Mac lalu terpaksa merasai gas pemedih mata tembakan FRU apabila mengetuai perarakan 100,000 rakyat ke Istana Negara bagi membantah pelaksanaan PPSMI.

Dulu ketika PM Mahathir Mohamad mengusul dan terus melaksanakan PPSMI pada 2003, guru tidak diajak berunding pun. Ada guru suka dan ada guru tidak suka. Tetapi berdasarkan reaksi tinjauan umum dan surat pembaca di akhbar dan internet, kebanyakan guru tidak bersetuju dengan dasar itu.

Menurut laporan, RM3 bilion telah dihabiskan untuk projek itu, jadi untuk pemimpin seperti Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein (yang kini berhabis-habisan untuk menjadi Naib Presiden Umno), berusaha ke arah pembatalannya hampir mustahil. Oleh itu beliau menggunakan taktik melambat-lambatkan penyelesaian isu ini. Pendekya beliau mahu ‘makan kanan dan kiri’ (mendapat sokongan semua pihak) ke arah usahanya menjadi Naib Presiden Umno.

Jadi jelas Hishammuddin bermain politik dalam isu PPSMI ini. Cakap PM Abdullah Ahmad Badawi yang mahu isu ini diselesaikan segera pun tidak dihiraukannya. Jika Hishammuddin sanggup mempertaruhkan nasib anak bangsa dalam isu ini, apa kata warga pendidik mengajar beliau dan kuncu-kuncunya di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan di mana-mana saja.

Sejarah telah membuktikan bagaimana guru-guru berperanan hebat dalam perjuangan bahasa ini. Sebagai contoh pada 31 Disember 1957 Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) dalam mesyuarat agungnya meminta kerajaan menyegerakan pelaksanaan Sekolah Menengah Melayu.

KPGMS telah memberi kata dua kepada Umno sekiranya sekolah menengah Melayu lambat ditubuhkan ahli-ahli mereka yang menjadi ahli Umno akan menarik diri dan keluar daripada Umno beramai-ramai. Akibat daripada tindakan Umno yang tidak menghiraukan tuntutan KPGMS tersebut setelah memberi notis selama 15 hari maka seramai 10,000 orang guru yang menjadi ahli KPGMS telah keluar beramai-ramai daripada Umno.

Peristiwa keluarnya 10,000 ahli KPGMS daripada Umno in telah meyaksikan mereka tidak menyokong Umno dan akibatnya mereka menyokong PAS dan hasilnya pada pilihan raya 1959 Umno kalah dan kehilangan pemerintahan di Terengganu dan Kelantan.

Pada peristiwa Keranda 152 pada 3 Mac 1967 pula, di mana 150 pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili 2,000 orang Melayu termasuk guru-guru telah berarak membawa keranda yang bertulis Pasal 152 ke kediaman Tunku Abdul Rahman Putra. Perjuangan mereka berkesan sehingga membawa kepada antara lain, pendidikan dalam pengantar bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan Inggeris pada semua peringkat mulai 1970.

Kini peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ‘dimandulkan’ (dikuncupkan kata SN A Samad Said) dengan membuangnya terus daripada pengajaran dan pembelajaran subjek begitu penting (Sains dan Matematik) di sekolah.

Apabila bahasa Melayu tidak digunakan oleh golongan cendekiawan (pelajar, guru, mahasiswa, pensyarah dan golongan profesional lain) apa akan jadi pada masa depannya? Inilah yang dibimbangi kerana puluh ribuan istilah saintifik dan teknologi yang telah dicipta dan bina sejak sekian lama akan tersadai begitu saja. Apakah kita mengharapkan suri rumah, penoreh getah atau nelayan menggunakannya?

Hishammuddin sebagai Ketua Pemuda Umno kerap menghunus dan mengucup keris pada Perhimpunan Agung Umno, kononnya mahu mempertahankan kedaulatan Melayu, tetapi kini apa yang dibuatnya bagi mempertahankan salah satu dari legasi Melayu iaitu BAHASA-nya? Mati bahasa Melayu bermakna matilah Melayu, jadi jelas sangat Hishammuddin hanya pentingkan masa depan politiknya, bukan Melayu!

Jadi sekarang rakyat termasuk guru-guru perlu menyatakan undi protes mereka terhadap pemimpin Umno-BN yang telah nyata bertindak gila, memandul atau menguncupkan bahasa mereka sendiri. Benamkan Umno-BN melalui peti undi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan di mana-mana saja.

Warga pendidik dan anak buah mereka di Kuala Terengganu telah melakukannya; kini guru-guru di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, perlu bertindak sama; marilah bersama-sama kembalikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan membuang jauh pemimpin Umno-BN yang telah begitu jauh terpesong daripada perjuangan ayah dan datuk nenek mereka sendiri!

No comments

Powered by Blogger.