Punca sakit belakang

Oleh Dr. Abdul Malik Mohamed Hussein

Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Bedah Spinal salah sebuah hospital swasta
TULANG belakang adalah penyokong utama seluruh berat kepala dan bahagian atas tubuh anda.

Tanpa disedari, setiap tindakan dan pergerakan yang dilakukan saban hari meskipun hanya dengan memalingkan kepala membabitkan bahagian belakang tubuh.

Justeru, seperti juga jangkitan selesema, sakit belakang merupakan masalah kesihatan yang paling kerap dialami oleh ramai orang.

Hakikat yang perlu difahami ialah tanpa melakukan sebarang aktiviti lasak anda juga sebenarnya boleh terdedah dengan masalah sakit belakang.

Sakit belakang boleh berlaku dengan mudah walaupun hanya dengan melengkungkan tubuh untuk mendukung anak.

Menurut satu laporan dalam laman web Spine-health.com, lapan daripada 10 orang dewasa mengalami sakit belakang secara tiba-tiba dalam kehidupan mereka.

Bagaimanapun, dianggarkan 50 peratus daripada serangan sakit belakang ini akan sembuh dalam jangka masa dua minggu dan 40 peratus lagi dalam tempoh tiga bulan.

Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Bedah Spinal salah sebuah hospital swasta, Dr. Abdul Malik Mohamed Hussein berkata, keadaan baki 10 peratus pesakit lagi mungkin semakin teruk yang disebabkan oleh masalah-masalah lain.

Menurut beliau, walaupun sebahagian besar masalah sakit belakang boleh sembuh dengan sendirinya namun mereka yang menghadapinya dalam jangka masa panjang memerlukan perhatian serius.

“Terdapat kemungkinan jika sakit yang dihidapi berpanjangan, masalah yang dihadapi akan lebih serius,” katanya.

Sakit belakang didefinisikan sebagai kesakitan yang dialami oleh seseorang pesakit pada bahagian tulang atau otot belakang bermula dari pinggang ke atas.

Sama ada dari segi bentuk atau fungsinya, anatomi tulang belakang begitu unik.

Ia memang terbentuk untuk melindungi akar-akar saraf yang begitu sensitif, kuat, fleksibel dan mudah bergerak dalam apa juga kedudukan.

Ia merupakan masalah kesihatan kedua paling kerap berlaku yang menyebabkan ketidakhadiran bekerja dan menjadi penyebab utama orang hilang upaya melakukan rutin harian.

Menurut Dr. Abdul Malik, sakit belakang terbahagi kepada dua iaitu secara akut (tiba-tiba) atau kronik.

“Gejala sakit belakang secara akut ini biasanya sembuh kurang daripada tiga bulan dan mudah dirawat, manakala bagi kategori yang kronik, gejalanya berlarutan melebihi tiga bulan,” jelasnya.

Sakit belakang kronik agak sukar dirawat.

Faktor sakit belakang
Dr. Abdul Malik memberitahu, punca sakit belakang dalam tempoh yang panjang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

Ini termasuklah kepatahan, kanser, jangkitan kuman, slipped disc atau disebabkan oleh proses penuaan (degeneratif).

Meskipun sakit belakang dihidapi oleh semua individu daripada pelbagai peringkat umur, namun puncanya berbeza-beza.

“Bagi golongan muda sakit belakang yang dihadapi biasanya disebabkan oleh otot-otot dan ligamen.

“Keadaan ini terjadi disebabkan sama ada mereka mengangkat objek-objek yang berat atau duduk di depan komputer dalam jangka masa yang lama,” jelasnya.

Sebaliknya, bagi mereka yang berumur, sakit belakang yang dialami mungkin disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu seperti kanser, jangkitan atau proses penuaan.

Bagaimanapun, kanak-kanak turut tidak terkecuali daripada berdepan dengan masalah seumpama ini.

“Kanak-kanak juga boleh menghidapi sakit belakang tetapi biasanya ia jarang berlaku.

“Jika ada sekalipun, ia mungkin disebabkan oleh penyakit-penyakit serius yang memerlukan perhatian doktor seperti scoliosis atau ketumbuhan,” katanya.

Mengulas tindakan sesetengah pihak memijak belakang untuk melegakan sakit belakang, Dr. Abdul Malik tidak menggalakkan ia dilakukan.

Jika dibandingkan kaedah mengurut dengan memijak, mengurut adalah lebih selamat.

Katanya, mereka yang mencecah usia 40-an kemungkinan boleh mengalami kepatahan dan kerosakan pada tulang belakang jika bahagian tersebut dipijak dengan kuat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang menghadapi masalah sakit belakang yang tidak sembuh dalam jangka masa antara dua hingga tiga bulan supaya mendapatkan rawatan doktor.

“Apabila sakit belakang yang dialami menyebabkan mereka mengalami kesukaran tidur, susah melakukan rutin harian termasuk bekerja, tidak boleh berjalan atau duduk dalam jangka masa yang lama, golongan ini perlu mendapatkan rawatan doktor seberapa segera,” katanya.

Antara punca yang kerap dikaitkan dengan sakit belakang ialah:

-Otot-otot
-Ligamen
-Tulang vertebra
-Saraf tunjang
-Trauma
-Kemurungan
-Osteoporosis
-Kepatahan
-Teranjak cakera

Komplikasi sakit belakang
Bergantung kepada tahap ketegangan yang dialami otot-otot, seseorang akan mengalami rasa sakit pada belakang.

Komplikasi sakit belakang ini bergantung kepada puncanya.

Jika pesakit mengalami kelumpuhan dalam jangka masa yang lama atau tidak boleh membuang air kecil, ini bermakna ada sesuatu yang menekan bahagian saraf tunjang pesakit.

Sekiranya kelumpuhan dialami dalam jangka masa 48 jam, kerosakan pada bahagian tulang belakang akan kekal.

Apabila sampai pada tahap ini, pembedahan tidak akan merobah atau membantu memulihkan pesakit.

Rawatan

Sebelum sesuatu rawatan diberi kepada pesakit, doktor akan menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca sakit yang dialami sama ada ia disebabkan oleh ligamen, tulang atau saraf.

Biasanya, doktor akan mengenal pasti kawasan, bahagian dan punca kesakitan yang dialami.

Bagi sakit belakang biasa, memadai sekiranya individu terbabit diberi rehat antara dua hingga tiga hari.

Pada masa yang sama, mereka juga digalakkan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh membantu mengurangkan sakit belakang seperti berehat dan bersenam.

Aktiviti seumpama ini yang dapat menguatkan otot-otot belakang bukan saja merawat masalah sakit belakang, malah ia mencegah sakit belakang.

Lain-lain rawatan sakit belakang merangkumi:

-Ubat-ubatan
-Fisioterapi
-Ultrasound
-Pek ais
-Alat penyokong leher (traction)

Tip mencegah sakit belakang

- Mengekalkan gaya perawakan yang baik seperti cara duduk, berdiri dan berjalan tegak.
- Mengangkat sesuatu benda berat dengan cara yang betul.
- Duduk yang betul semasa memandu. Selain itu, beberapa jenis senaman seperti berenang, bermain bola tampar, berkayak dan melakukan sit up dapat membantu mengelakkan kecederaan pada otot-otot belakang.

No comments

Powered by Blogger.