Setia lebih unggul daripada nafsu

Keghairahan segelintir lelaki Melayu meninggalkan isteri ‘tua’ kerana keseronokan mendapat teman wanita yang lebih muda. Sebagai seorang wanita yang sudah meningkat usia, saya juga kadangkala bertikam lidah dalam debat yang tuan gambarkan dengan jelas, di mana lelaki Melayu Islam menggunakan argumen agama untuk melindung diri mereka daripada mengakui masalah mereka sebenarnya, iaitu kesukaran kaum lelaki membendung hawa nafsu, satu kelemahan dalam perwatakan lelaki.

Saya berpendapat bahawa kelemahan lelaki Melayu ini dipupuk oleh masyarakat kita sendiri. Kita bersalah kerana sanggup meremeh-temehkan soal ketidaksetiaan (infidelity) suami jika ia berlaku. Masyarakat Melayu amat toleran terhadap poligami dan lelaki yang berkahwin lebih daripada satu, atau menceraikan isteri tua yang enggan bermadu. Kelazimannya, isteri kedua, ketiga dan keempat jauh lebih muda daripada isteri pertama. Tidak ramai suami Melayu yang muda daripada isterinya.

Namun, saya fikir fenomena suka kepada wanita yang lebih muda ini bukan monopoli lelaki Melayu sahaja. Perkara ini adalah fenomena sejagat. Di mana-mana pun tidak kira apa bangsa dan agama, perempuan muda nampak lebih segar, lebih berdandan dan lebih menarik. Kalau lemah imannya seorang lelaki memang mudah tertarik.

Daripada kaca mata wanita pula lelaki tua juga nampak kurang segak dan anggun daripada lelaki muda. Ini memang adat dunia. Tetapi pada umumnya wanita tidak tergesa-gesa menukar selera dalam hal mencari pasangan seumur hidup. Tanggungjawab dan kesetiaan tidak mengizinkan kami berbuat demikian.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa yang muda lebih bertenaga dalam usaha memenuhi keperluan zahir batin. Sama ada lelaki atau perempuan, kita harus menerima hakikat bahawa tubuh badan manusia akan diserangi penyakit letih lesu dan hilang semangat lantaran semakin tua. Ini termasuk selera bagi benda-benda yang bercorak seksual.

Yang bernasib baik mungkin dapat menangguhkan proses penuaan ini buat beberapa ketika. Yang kurang bertuah akan ditimpa penyakit dan ketidakselesaan perhubungan kelamin kerana mengalami menopaus atau andropaus. Tetapi kita sering diperingatkan bahawa ini tidak semestinya berlaku. Perhubungan kelamin yang baik boleh berterusan jika minda dan psikologi kedua-dua pasangan sihat.

Lagipun, seperti yang dikemukann dengan bijak oleh Tuan, hubungan pasangan orang yang meningkat usia lebih berasaskan ketemanan (companionship) bukan sekadar memenuhi kehausan batin.

Masalah yang lebih serius dari segi perkembangan masyarakat dan budaya kita ialah masalah yang sudah berakar dan mungkin tumbuh melata jika ianya tidak dikawal dengan baik. Yang saya maksudkan ialah budaya kemudaan yang muncul saban hari dalam masyarakat yang lebih luas.

Parti-parti politik negara sedang ghairah meraih sokongan daripada golongan muda. Media dan Internet sibuk mempaparkan iklan dan seksyen-sekyen tertentu yang menonjolkan kejayaan dan pencapaian remaja.

Saya bimbang liputan yang memihaki golongan tertentu akan membuat golongan tersebut perasan bahawa semua ini adalah satu kebenaran dan hak semula jadi mereka dan bukannya satu-satu keistimewaan yang dijanjikan kepada mereka. Mana-mana keistimewaan pun memang berasaskan syarat-syarat yang tertentu.

Orang muda harus menyedari bahawa tidak ada benda yang boleh menandingi kematangan dan kemantapan pemikiran serta kebijaksanaan golongan orang yang berusia.

Kelebihan dan kekuatan ini berlandaskan pengalaman yang luas dan mendalam. Kecekalan minda orang yang lebih tua adalah sebahagian hasil daripada kesabaran dan ketabahan mereka menghadapi segala pahit maung hidup, termasuk pasangan hidup yang meninggalkan mereka.

- HALIMAH MOHD. SAID, Damansara Heights, Kuala Lumpur.

No comments

Powered by Blogger.