Keluarga pemandu bas Sani Express mohon kemaafan dari keluarga mangsa

Mohd Kamil pemandu berdisiplin, tiada rekod buruk

PENDANG - Keluarga pemandu bas Sani Express yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan 10 nyawa dan dua cedera memohon secara terbuka agar keluarga mangsa nahas terbabit memaafkan kesalahan anak mereka.

Mohd Rashid Kassim, 65, berkata, dia percaya anaknya, Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, turut mahu meminta maaf di atas kelalaiannya memandu bas namun tidak dapat berbuat demikian kerana masih direman di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Ipoh.

"Saya dengan seikhlas hati dan rendah diri mohon maaf. Tidak ada sesiapa pun yang mahu kejadian seperti itu berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Tembaga, Kuala Nerang dekat sini, semalam.

Mohd Rashid berkata, selama 10 tahun bekerja sebagai pemandu bas, Mohd Kamil tidak bermasalah dan tidak mempunyai sebarang rekod buruk.

"Dia dikenali sebagai pemandu yang berdisiplin dan sangat berminat dengan kerjayanya meskipun saya pernah suruh berhenti dan cari kerja lain," katanya.

Mohd Kamil, bapa kepada tiga cahaya mata merupakan anak sulung Mohd Rashid dengan Norain Hashim, 55, daripada lima beradik.

Beliau berkata, Mohd Kamil pernah berkhidmat sebagai pemandu lori dan bas ekspres untuk beberapa syarikat ternama termasuk Mara Liner dan Durian Burung sebelum bertugas dengan Sani Express sejak tiga bulan lalu sebaik syarikat itu memulakan perkhidmatan untuk perjalanan dari Lembah Klang ke Utara Semenanjung.

”Saya sendiri amat sedih dengan kejadian ini, bukan saja kerana ia melibatkan anak saya tetapi atas rasa simpati saya sebagai manusia terhadap keluarga mangsa. Walau apapun, saya berharap mereka memaafkan anak saya," katanya.:

Mohd Rashid berharap, anaknya itu tidak dianggap seperti penjenayah.

"Kepada pihak berkuasa, sekalipun jika anak saya didapati bersalah kelak, harapnya janganlah dihukum dengan hukuman yang berat kerana dia mempunyai anak dan isteri untuk ditanggung," katanya.

Mohd Rashid berkata, sepanjang pengetahuannya, Mohd Kamil pernah menghadiri pelbagai kursus dalam aspek menjaga keselamatan penumpang.

Pada hari tersebut katanya, dia sepatutnya menjemput Mohd Kamil di Terminal Bas Shah Perdana, Alor Setar sebaik anaknya itu habis bertugas untuk menghadiri majlis kenduri anggota keluarga mereka.

"Saya berharap sangat sudilah kiranya keluarga mangsa memaafkan anak saya," katanya.

sinarharian

No comments

Powered by Blogger.