Suruhanjaya Di Raja Menyiasat RM100 Bilion Dan Kehilangan Enjin Pesawat

Gesaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat kebenaran dakwaan Barry Wain; penulis buku Malaysian Maverick, bahawa Perdana Menteri Malaysia yang ke empat telah melesapkan sejumlah RM 100 billion khazanah negara dan juga isu yang memalukan apabila enjin pesawat milik tentera udara didapati hilang tidak sewajarnya dipandang remeh.

Kedua-dua isu tersebut ternyata berkepentingan umum dan rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar dan memperolehi penjelasan yang munasabah. Malahan kesudian mantan perdana menteri untuk disiasat oleh Suruhanjaya Di Raja perlu disambut pentadbiran sekarang. RM 100 billion bukanlah sedikit jumlahnya.

Sungguh pun sudah ada beberapa tindakan susulan, misalnya penyiasatan terhadap kehilangan enjin pesawat itu, rakyat sebenarnya meragui kredibilti serta kebebasan mereka yang mengendalikannya. Kita jemu apabila meletusnya isu besar, yang dipersalahkan ialah penjawat awam, sedangkan jerung besar dibiarkan terlepas. Ini bukanlah kali pertama, lihat sahaja tindakan susulan terhadap Laporan Audit Negara. Kerugian berbillion ringgit, namun kambing hitam jua menjadi mangsa.

Oleh itu saya memandang serius sebarang usaha untuk mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar. Tidak semena-mena “whistle blower” pula yang menjadi sasaran. Sekonyong konyong sahabat saya Lim Guan Eng disiasat di bawah Akta Hasutan. Ini bukanlah kali pertama Guan Eng berhadapan dengan rencana sebegini. Sebelumnya kerana bermaksud melindungi maruah seorang anak gadis Melayu, beliau terpaksa merengkok dalam penjara.

Turut dukacita apabila gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada bulan Disember tahun lalu ,Dr Munawar Ahmad Anees hari ini sekali lagi gagal dalam usaha membersihkan namanya dengan memohon agar dipadamkan sebahagian daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung fitnah liwat yang membabitkan beliau. Beliau mencabar keputusan Mahkamah Sesyen yang telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadapnya pada tahun 1998 kerana beliau telah dipaksa supaya membuat pengakuan dalam kes tersebut.

Sepatutnya institusi keselamatan dan keadilan menumpukan usaha untuk membanteras jenayah demi menjamin keamanan rakyat keseluruhannya. Tidakkah kematian dan kehilangan anak anak kecil kita mengetuk keinsafan pimpinan tertinggi pihak polis terhadap kelalaian mereka. Sedarlah rakyat bukan musuh anda! Rakyat sebenarnya sudah mual dengan kebobrokan yang berlaku. Mereka tidak mahu institusi yang sepatutnya melindungi kepentingan mereka bersekongkol dengan pimpinan umno-bn menutupi pekung busuk.

ANWAR IBRAHIM

No comments

Powered by Blogger.