Hanya calon boleh menang pilihan BN

lOleh Kadir Dikoh

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako di Kuching, Rabu lalu, ramai ingin bersalam dengannya termasuk mereka yang bukan ada kaitan secara langsung dengan mesyuarat yang akan dipengerusikannya di situ.

Mesyuarat itu adalah bagi tujuan memperkemas jentera pilihan raya empat parti komponen Barisan Nasional (BN) tetapi tumpuan utama adalah bagi menyaring senarai calon untuk bertanding di 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 April ini.


Malah, dikatakan ada cubaan untuk menyerahkan “sampul surat” kepada Timbalan Perdana Menteri, tanpa diketahui isi kandungannya sama ada melobi untuk jadi calon atau mengemukakan permasalahan rakyat pada peringkat bawah dan sebagainya.

Di dalam blog, Facebook atau perbualan biasa di kedai kopi kini lebih menjurus kepada soal calon. Apakah A akan dipilih mempertahankan kerusinya dan mengapa pula B tidak dicadangkan, sedangkan populariti A menurun dan B menjadi pilihan rakyat.

Ada juga persoalan mengapa nama C dicadangkan, sedangkan C bukan anak tempatan tetapi D, anak tempatan tidak dikemukakan namanya. Menurut sumber, ini menyebabkan di sesetengah kawasan hingga ada tiga atau empat nama dicadangkan untuk saringan lanjut.

Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyebut yang beliau cuma mahu “winnable candidate” iaitu calon yang boleh menang, untuk dicadang dan dicalonkan sama ada dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Formula Perdana Menteri itu terbukti memberi kesan apabila BN menang dalam pilihan raya kecil di Galas (Kelantan), Batu Sapi (Sabah), Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan Kerdau (Pahang).

Kita percaya dan yakin Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud membawa bersamanya senarai calon “winnable” itu dalam pertemuan dengan Najib. Menurut sumber, Abdul Taib yang juga Pengerusi BN negeri dijangka mengumumkan senarai calon itu di Ibu Pejabat PBB, esok.

Inilah yang lazim dilakukan menjelang 48 jam sebelum hari penamaan calon Rabu depan. Menjelang hari ini dan esok, sudah pasti bakal calon yang sudah “diluluskan” oleh Najib sudah diberitahu untuk membuat persiapan terakhir.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan, didapati kriteria utama menjadi pilihan rakyat ialah ketokohan calon, kewibawaan, mesra rakyat, calon yang dilihat bersih dan mampu membawa pembangunan selain berkelayakan,” kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.

Tetapi katanya, apa yang lebih mengejutkan ialah kecenderungan wakil rakyat yang lebih suka untuk menabur janji, dengan purata sekurang-kurangnya 15 janji seperti projek tidak ditunaikan antara pilihan raya negeri lalu (2006) hingga sekarang.

Beliau berkata, rakyat tidak suka kepada Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen yang sombong dan rakyat masih mahu mengekalkan nilai tradisional iaitu seseorang wakil rakyat yang suka datang menjenguk sewaktu ada kematian atau majlis perkahwinan.

“Inilah yang dikatakan sebagai ‘sentuhan kerakyatan’ (common touch). Satu lagi faktor ialah anak tempatan bagaikan tidak dititikberatkan sangat jika seseorang itu mampu membawa pembangunan,” katanya.

Bagaimanapun, pemerhati berkata, di sesetengah tempat persoalan mengenai anak tempatan memang dikehendaki dengan alasan hanya anak tempatan yang tahu denyut hati penduduk di kawasan yang diwakilinya.

Kelmarin, Najib menasihatkan pemimpin BN supaya jangan terlalu formal dan mengikut protokol ketika bersama rakyat, sebaliknya sentiasa merendah diri.

Menurut Perdana Menteri, sikap mementingkan protokol ketika bersama rakyat boleh mewujudkan tembok pemisah antara mereka, sekali gus menyebabkan BN gagal mempertahankan kuasa kerana dalam sistem demokrasi kuasa mutlak terletak di tangan rakyat.

Nasihat Najib ini perlu diambil iktibar oleh pemimpin sama ada pada peringkat atasan atau bawahan.

Tentu ramai masih ingat “tsunami politik” pada pilihan raya umum 2008 apabila rakyat “memberontak” dengan menunjukkan perubahan sikap apabila mempamerkan jangkaan dan pandangan berbeza terhadap kepemimpinan negara.

Justeru, seperti kata Najib, pemimpin BN perlu berubah mengikut selera rakyat hari ini kerana generasi sekarang mahukan perubahan. Yang perlu ialah transformasi, bukan reformasi.

Faktor ini jugalah yang perlu diambil kira dalam pemilihan calon. Jika ramai pemimpin atasan sudah berusia melebihi 60 tahun dan 70 tahun, pilihlah muka baru di kalangan generasi muda berusia 30-an dan 40-an untuk memberi keseimbangan dan menyegarkan keadaan politik.

Berdasarkan statistik semasa, pengundi muda yang bakal mengundi 16 April nanti terdiri daripada 100,000 masyarakat Cina, 71,000 Melayu dan 140,000 lagi adalah Bumiputera lain.

Malah, 27 peratus daripada golongan belia itu berusia 21 hingga 30 tahun dan 73 peratus berusia 31 hingga 40 tahun. Apa yang membimbangkan, seperti kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir ialah generasi muda berusia 31 hingga 40 tahun ini kebiasaannya antipembangunan.

Oleh itu kerajaan perlu menyediakan program jangka panjang kepada mereka seperti peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik. Ini juga termasuk menampilkan calon seusia atau segenerasi dengan mereka.

Bagaimanapun, ada juga yang menyatakan bahawa golongan berusia 31 hingga 40 tahun ini sebenarnya bukan antipembangunan, sebaliknya kumpulan yang mahukan perubahan dilakukan sama ada dalam politik kepartian atau pentadbiran kerajaan.

“Saya berharap BN menampilkan ramai calon muda kali ini supaya ia memberi nafas baru dan menyegarkan barisan kepemimpinan negeri,” kata seorang pemerhati. — Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.