Izzah gesa DBKL sedia parkir, tandas awam di Little India

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kawasan parkir kereta dan tandas awam di Brickfields bagi keselesaan dan keselamatan pengunjung dan peniaga di situ.

Kawasan yang dikenali dengan jolokan Little India itu menempatkan rata-rata peniaga India dan sering menjadi kunjungan pelancong asing yang datang ke Malaysia.

“Kita ada beberapa isu yang DBKL perlu uruskan dengan baik seperti kemudahan tempat letak kereta yang membebankan pengunjung dan peniaga di sini.

“Memandangkan ramai yang datang membeli-belah di Little India, mereka merungut kerana kenderaan mereka akan disaman polis kerana diletak di bahu jalan, sedangkan kotak khas tidak disediakan DBKL,” kata Izzah .

Beliau yang hadir bersama Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun turut menyuarakan kemudahan lain seperti tandas awam di kawasan itu tidak dibina DBKL.

“Walaupun kawasan ini dinaik taraf, namun kemudahan tandas awam tidak diambil kira DBKL, saya harap pihak berwajib mengambil berat perkara ini kerana melibatkan orang awam dan peniaga-peniaga di sekitar Little India.

“Cukup sekadar DBKL bina tandas awam manual sekiranya tidak mahu memperuntukkan jumlah besar untuk kemudahan itu kerana hanya 50 peratus tandas awam automatik boleh digunakan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan isu keselamatan orang awam di sekitar kawasan itu kerana balai polis Brickfields dipindahkan ke Jalan Sri Petaling awal tahun ini.

“Banyak jenayah yang berlaku di kawasan ini antaranya yang terbaru kes simbah asid yang dilaporkan minggu lepas serta kekerapan kes ragut.

“Sepatutnya DBKL dan pihak polis bersama dalam hal ini supaya sebuah balai polis terdekat dibina untuk menjamin keselamatan orang awam,” ujarnya.

Manakala Fong turut menyuarakan mengenai kenaikan harga sewa lot kedai yang tinggi sekaligus menyebabkan peniaga terpaksa berpindah.

“Fasa pertama Little India sahaja menyebabkan penyewa terpaksa berpindah kerana tidak mampu dengan kenaikan sewa di kawasan itu.

“Kenaikkan sewa lot kedai itu sebanyak 20 hingga 40 peratus dan menyebabkan ramai peniaga mengalami kerugian lebih kurang 30 peratus sehingga Februari tahun ini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.