Kenyataan Media – Rakyat Sarawak harus bijak nilai kejayaan negeri PR

Tsunami politik yang melanda Malaysia dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 tidaklah berlaku secara kebetulan. Kejayaan Pakatan Rakyat (PR) menawan lima (5) buah negeri (termasuk negeri Perak yang kemudian dirampas secara biadap oleh Barisan Nasional pada 2009) dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen bukan sekadar menandakan rakyat sudah semakin muak dengan kebobrokan dan kezaliman pemerintahan Umno-BN, malah membuktikan bahawa merekalah sebenarnya “hantu” dan “jembalang” yang harus dinyahkan daripada terus berkuasa di Putrajaya.

Di bawah Umno-BN, Malaysia sedang menuju ke gerbang kemuflisan akibat ketagihan Umno-BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didukung Umno-BN. Hutang Kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 pula memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50% buat kali pertama dalam sejarah negara.

Di Sarawak, bukan PR, sebaliknya BN adalah “hantu” dan “jembalang” kerana banyak memberikan janji-janji manis kepada rakyat dan menipu mereka dengan projek-projek mega yang kononnya menguntungkan rakyat. Saya ingin mengingatkan kepada Kerajaan Barisan Nasional, apakah janji-janji mereka kepada rakyat Sarawak semasa ingin melaksanakan Projek Empangan Bakun beberapa tahun dahulu. Mereka berjanji untuk memberikan pampasan tanah yang luas kepada mereka, menyediakan prasarana yang lebih baik bagi 10,000 penduduk yang dipindahkan atas nama pembangunan dan kemajuan. Sebaliknya 10,000 penduduk Sarawak makin miskin dan sengsara selepas perpindahan mereka ke tanah baru yang dijanjikan. Tanah yang diberikan sebagai pampasan adalah tidak setimpal dengan tanah yang telah dikorbankan untuk Projek Empangan Bakun tersebut. Inikah kemajuan dan pembangunan yang dicanangkan Barisan Nasional memberi manfaat kepada rakyat?

Hal ini sama sekali berbeza dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran PR. Rakyat bukan sahaja menikmati hasil pendapatan negeri, malah negeri-negeri tersebut memperoleh pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding di bawah Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, Selangor mencatatkan pelaburan mencecah RM29.3 bilion dalam tempoh 2008 hingga 2010, yang mana merupakan nilai pelaburan tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri lain. Pulau Pinang berjaya mencapai pelaburan yang tertinggi dalam sejarah negeri dan Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM12.2 juta; iaitu sebanyak 26% daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara. Kedah pula sejak ditadbir oleh Kerajaan PR berjaya menarik perhatian pelabur di Kedah dengan dasar yang dilaksanakan sehingga menjadi negeri kelima nilai Pelaburan Asing Langsung (FDI) tertinggi di Malaysia. Manakala Kelantan pula semenjak 20 tahun lepas walaupun secara berterusan dianaktirikan, namun tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan dan membina ekonomi tempatan secara kendiri tanpa bantuan stimulus daripada kerajaan Pusat.

Selain itu, Buku Jingga yang dilancarkan oleh PR baru-baru ini yang menawarkan tindakan 100 hari pentadbiran PR mampu menepati kehendak rakyat, malah boleh mengatasi ucapan belanjawan negara oleh Najib yang lebih bersifat retorik walaupun bertemakan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Berdepan dengan Buku Jingga, pimpinan Umno-BN bukan sahaja gelisah dan gelabah bahkan seperti cacing kepanasan kerana Buku Jingga telah mendedahkan apa yang sepatutnya rakyat dapat setelah 53 tahun merdeka.

Justeru, Wanita Keadilan menyeru kepada rakyat Sarawak agar bijak membuat penilaian seterusnya membuat pilihan yang tepat sewaktu hari pengundian pada 16 April 2011 sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak. Rakyat Sarawak perlu bijak memilih kerajaan yang mampu memperjuangkan kebajikan rakyat serta telah terbukti berjaya mentadbir negeri dengan baik sekiranya ingin benar-benar menikmati kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan hidup dalam suasana aman dan bersatu-padu.

Seluruh jentera Wanita Keadilan juga haruslah bekerja keras bagi memastikan PR menang besar di Sarawak sekaligus membolehkan rakyat Sarawak mengecapi hasil bumi Sarawak seperti mana rakyat di negeri-negeri di bawah PR kecapi pada hari ini.

YB Rodziah Ismail
Timbalan Ketua Wanita Pusat
Pengarah Pilihan Raya Wanita Pusat
Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)
1 April 2011

No comments

Powered by Blogger.