Loji Lynas: MB Pahang perlu tanya sebab Terengganu batal, kata MP Kuantan

KUALA LUMPUR, 2 April — Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menyambut baik jaminan Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung loji pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, tetapi mendakwa Menteri Besar Pahang itu tidak cukup maklumat untuk memberi jaminan ia benar-benar selamat.

Sehubungan itu kata Fuziah, Menteri Besar Pahang perlu mendapatkan satu kajian dan pandangan daripada badan bebas berkenaan impak pembinaan loji Lynas serta juga impak operasinya ke atas keselamatan awam, kesihatan, kehidupan kekeluargaan dan sosial, ekonomi dan mata pencarian rakyat setempat, alam sekitar serta kesan terhadap kualiti kehidupan bagi rakyat di kawasan Kuantan.

Kelmarin, Adnan memberi jaminan bahawa pembinaan kilang pemprosesan milik Lynas Corporation dari Australia di kawasan perindustrian Gebeng adalah selamat dan tidak akan memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar.

Adnan memberitahu kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan dan pandangan daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom mengenai tahap keselamatan penduduk terhadap kesan radioaktif atau radiasi dari kilang tersebut sebelum bertindak meluluskan tapak pembinaan kilang itu.

“Antara persoalan yang harus telah ditanya oleh Menteri Besar kepada pihak pakar ialah kenapa tiada negara di dunia melainkan negera China telah bersetuju untuk membenarkan loji pemprosesan nadir bumi dibina di negara mereka sejak tiga dekad kebelakangan ini,” kata beliau dalam surat dihantar kepada Adnan, semalam. Salinan surat turut diedarkan kepada media.

Selain itu kata Fuziah, Adnan juga harus bertanya kepada negeri jiran Terengganu yang telah menolak permohonan Lynas Corporation untuk membina loji yang sama di Teluk Kalung pada 2007.

“YAB MB juga harus bertanya berkenaan sisa pepejal hasil dari pemprosesan yang akan mengandungi bahan torium — bagaimanakah ia akan diuruskan dan peraturan apakah yang akan diguna pakai oleh Lynas.

“Adakah Solid Radiactive Waste Management yang akan diamalkan oleh Lynas apabila mula operasi akan menepati piawaian negara China atau piawaian British atau piawaian Australia? Piawaian mana yang akan diguna pakai nanti?” kata Fuziah, yang juga Naib Presiden PKR, dalam surat tersebut.

Fuziah berkata, Menteri Besar juga harus bertanya kepada pakar, apa kesan sisa yang mengandungi radioaktif kepada alam sekitar dan seterusnya terhadap industri perikanan di kawasan Kuantan memandangkan Sungai Balok berada di kawasan Gebeng.

“YAB MB juga harus meminta kaji selidik dijalankan tentang bagaimanakah nanti persepsi pelancong terhadap keselamatan mereka sekiranya mereka memilih Kuantan sebagai destinasi percutian. Sama ada mereka akan masih tertarik dan berminat untuk datang ke Cherating bercuti di sebelah loji pemprosesan nadir bumi?

“Memandangkan loji pemprosesan ini nanti akan menjadi loji terbesar di dunia selain yang ada di China, persoalan di atas adalah amat penting,” katanya lagi.

Fuziah mendakwa Menteri Besar hanya boleh berpuas hati setelah mendapat jawapan yang menyenangkan daripada kesemua persoalan-persoalan tersebut.

“Amanah kepimpinan ialah amanah besar dan rakyat mengharapkan pemimpin untuk bertindak telus serta bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Adnan berkata pembinaan kilang itu sengaja dijadikan isu politik oleh pihak tertentu yang didalangi pihak parti pembangkang.

Kelmarin, beliau dan semua pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri diberikan taklimat kali kedua daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan pakar tenaga atom, yang diketuai Ketua Pengarahnya Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan.

Menurut Adnan, sebelum meluluskan permohonan daripada syarikat berkenaan pada tahun lepas, ia telah melalui beberapa proses yang ketat dan membabitkan beberapa badan teknikal daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan pihak-pihak yang berkaitan dengan nuklear.

Rabu lalu, kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan Parlimen kerana membantah pembinaan kilang pemprosesan bahan kimia itu.

Kumpulan itu bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi kelak.

No comments

Powered by Blogger.