Poco-poco: Harussani kena buat penjelasan terbuka, kata Abim

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 5 April — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria agar memberi penjelasan terperinci secara terbuka ekoran keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengharamkan tarian poco-poco di negeri itu berkuat kuasa Januari lalu.

Presiden Abim Muhd Razak Idris berkata, walaupun Jawatankuasa Negeri Perak telah membuat keputusan mengharamkan poco-poco, namun ia perlu dijelaskan supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

“Mufti Perak tentu mempunyai asas-asas syariah tertentu apabila mengambil sikap mengharamkan tarian poco-poco di Perak, memandangkan negara ini mengamalkan sistem pentadbiran Islam yang terpisah maka keputusan fatwa peringkat negeri Perak itu wajar dihormati.

“Mufti Perak wajar membuat penjelasan terperinci dan terbuka tentang isu ini dengan segera memandangkan ia telah menjadi tajuk perbahasan umum,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurut Muhd Razak, penjelasan yang perlu dibuat itu perlu memberikan sebab-sebab terperinci dari sudut tarian poco-poco yang didakwa Harussani bercanggah dengan ajaran Islam.

“Pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak seharusnya membuat penjelasan terperinci aspek-aspek dari tarian yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Penjelasan ini tentu akan dapat memberikan keyakinan kepada semua pihak terhadap falsafah di sebalik sesuatu hukum terutama sekali kepada penganjuran tarian ini,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Ekoran pengharaman itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian.

Semalam, Harussani (gambar) berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak akan kekal dengan pendirian mengharamkan tarian poco-poco.

Sementara itu, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bermesyuarat 20 April ini akan memutuskan pendiriannya.

Muhd Razak, Harussani juga perlu membentangkan keputusan yang dibuat itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mendapat pandangan menyeluruh dalam badan itu.

“Namun, keputusan fatwa ini wajar juga dibentangkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan, ini bagi membolehkan pandangan menyeluruh dapat diambil.

“Ini juga bagi menyeragamkan pandangan tentang sesuatu hukum supaya dapat mengelakkan kekeliruan masyarakat tentang hukum sesuatu amalan.

“Tambahan pula hukum Islam tidak harus dilihat berbeza-beza kerana ia boleh melemahkan kewibawaan dan kehormatannya pada pandangan masyarakat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau mahu semua pihak tidak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang mengharamkan tarian poco-poco di negeri itu.

Bagaimanapun bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.

No comments

Powered by Blogger.