RON 97: Najib pilih kayakan kroni banding bela nasib rakyat

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menyifatkan tindakan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menaikkan harga petrol RON 97 sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi, bertujuan mengkayakan kroni daripada membela nasib rakyat.

“Harga minyak dapat dikekalkan jika kerajaan memotong subsidi syarikat korporat dan kenaikan minyak sama sekali tidak berlaku.

“Tapi, Najib mementingkan kroni daripada mengurangkan beban rakyat,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily, mengulas tindakan kerajaan menaikkan harga petrol hingga menambahkan beban rakyat akibat pengurusan negara tidak berterusan.

Untuk rekod, harga petrol sejak Malaysia diterajui Najib naik sebanyak lima kali.

Kata Rafizi, jika kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang diberi mandat mentadbir negara, perkara seumpama itu tidak akan berlaku kerana nasib rakyat akan dibela terlebih dahulu.

“Walaupun subsidi elektrik naik, tapi jika PR berkuasa, kita akan potong subsidi korporat supaya tidak memberi kesan kepada rakyat. Tapi, nampaknya BN tidak pedulikan rakyat kerana mereka akan bela nasib kroni,” katanya.

Beliau juga tidak terkejut jika harga petrol RON 95 akan naik jika BN terus berkuasa akibat sifat tamak dan rakus mereka.

“Tidak mustahil RON 95 akan naik kepada RM2.40 jika BN terus memerintah negara memandangkan tahun ini sudah tiga kali harga minyak naik,” katanya.

Rafizi juga tidak menolak kemingkinan kenaikan petrol itu menjadi sebahagian dana kerajaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

“Kerajaan tidak mahu beri subsidi kepada rakyat, tetapi duit kenaikan itu turut dijadikan simpanan untuk PRN. Pendekatan ini yang dilakukan BN yang tidak langsung membantu rakyat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.